Aboy anak saudara kesayangan Azmin

Share

Adik kepada Menteri Besar Selangor, Azwan Ali mendakwa anak saudara mereka, Mohd. Nuzul Fadli, 37, yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes melombong pasir secara haram di Kajang, adalah anak saudara ke­sayangan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dakwaan itu dibuat selang sehari selepas adiknya, Ummi Hafilda mendakwa dia tahu mengenai aktiviti anak saudaranya itu bersama Mohamed Azmin hingga membawa kepada penahanan pemuda terbabit oleh SPRM.

Siri pendedahan adik-beradik itu yang dibuat secara terbuka melalui Facebook mencetuskan persoalan tentang kebenaran di sebalik peranan Mohd. Nuzul Fadli dan Mohamed Azmin dalam isu skandal pasir tersebut.

Azwan dalam luahannya semalam menyuarakan kekecewaan terhadap Mohamed Azmin dan Mohd. Nuzul Fadli yang lebih dikenali sebagai Aboy atas penahanan itu kerana disifatkan memalukan keluarga.

Malah, Azwan yang juga pelakon dan pengacara turut menyifatkan penahanan itu sebagai balasan Allah kepada Mohamed Azmin dan Mohd. Nuzul Fadli atas perbuatan mereka.

“Dahlah kena saman berbi­lion dengan Syabas (Puncak Niaga Holding Berhad), anak saudara ke­sayangan pula kena cekup SPRM.

“Ni (ini) ke ilmu agama yang arwah bapa ajar? Ni ke semangat pulut kuning arwah mak yang baru meninggal dunia? Muhasabahlah,” katanya yang dipetik daripada akaun Facebook mi­liknya semalam.

Kelmarin, Mohd. Nuzul Fadli direman tujuh hari bersama tiga individu lain bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes melombong pasir tanpa lesen di Sungai Long, Kajang dan wang berjumlah RM4 juta turut dibekukan.

Mohd. Nuzul Fadli dikatakan tidak bekerja tetapi mampu menjalani kehidupan mewah hasil peranannya yang menjadi perantara untuk urusan dengan agensi penguat kuasa dan kerajaan negeri supaya kegiatan haram di Sungai Long itu tidak diganggu.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin dalam kenyataan pertamanya berhubung isu tersebut menafikan kononnya terlibat dalam penganugerahan tender kepada anak saudaranya itu.

Sebaliknya jelas Timbalan Presiden PKR itu, semua tender untuk perlombongan pasir di negeri ini dikendalikan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Menteri Besar Diperbadankan (MBI Inc).

Utusan

Leave a Reply