Kerajaan Tidak Pernah Tarik Kemudahan Mana-mana Bekas PM – JPM

Kerajaan tidak pernah menarik apa-apa kemudahan yang disediakan kepada mana-mana bekas perdana menteri termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM).

JPM dalam kenyataan hari ini berkata pejabat Dr Mahathir telah dibekalkan dengan perjawatan yang meliputi pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) serta kediaman beliau di The Mines Resort City, Selangor selaras dengan Akta Ahli Parlimen (Saraan), 1980 (Akta 237).

Menurutnya perjawatan yang diperuntukkan kepada Dr Mahathir adalah sebanyak 21 perjawatan.



“Semua perjawatan ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan meliputi pembayaran gaji, elaun tuntutan dan lain-lain kemudahan yang layak dinikmati sebagai penjawat awam,” kata JPM berhubung status semasa kemudahan untuk Dr Mahathir.

Baru-baru ini tular di media sosial bahawa kemudahan bagi Dr Mahathir dikatakan dikurangkan atau ditarik balik.

JPM berkata kerajaan turut menanggung bayaran-bayaran utiliti di YKP serta kediaman rasmi beliau sehingga kini.

Selain itu, menurut JPM, kerajaan juga menanggung kos bagi bayaran elaun makan dan lain-lain kos kepada juruiring, pengawal peribadi, pegawai perubatan dan penolong pegawai khas bagi lawatan yang dihadiri oleh bekas perdana menteri itu ke luar negara.

“Justeru, kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa tiada sebarang kemudahan yang ditarik balik dan layanan sama rata diberikan kepada kesemua bekas perdana menteri,” kata JPM.

— BERNAMA

One thought on “Kerajaan Tidak Pernah Tarik Kemudahan Mana-mana Bekas PM – JPM

  • November 11, 2017 at 3:54 PM
    Permalink

    Admin.. tolong detialkan jumlah keseluruhan bayaran utk seorang bekas PM termasuk bayaran pencen dn bayaran kemudahan lain supaya rakyat tahu apa sebenarnya peranan seorang bekas PM yg begitu beria-ia hendak menjatuhkan kerajaan utk dijadi iktibar.

    Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.