#ExpoNegaraku 2017 Pamer Kejayaan, Perancangan Infrastruktur Negara

Sebaran :

KUALA LUMPUR, 15 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota Kabinet ketika melawat tapak pameran selepas melancarkan Expo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka malam ini.
–foto BERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

#ExpoNegaraku yang sedang berlangsung menjadi platform menonjolkan kejayaan negara sehingga kini, dan perancangan pembangunan akan datang. Ia diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur mulai 15 November hingga 15 Disember ini. Ekspo ini bermula 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.

#ExpoNegaraku memaparkan projek-projek infrastruktur semasa dan masa hadapan yang dirancang dan dilaksanakan demi menyediakan kehidupan yang lebih bermakna buat seluruh rakyat Malaysia. #ExpoNegaraku tidak akan mengecewakan anda malah ekspo infrastruktur terbesar Malaysia ini akan membuatkan anda berasa kagum dengan kemampuan Malaysia.

Sementara itu terdapat berbagai-bagai gerai yang menjual makanan, kraftangan serta terdapat juga Pesta Buah-Buahan yang sedang berlangsung di #ExpoNegaraku.



Kubah

Dengan tema ‘Tuah Dikongsi Bersama’, Kubah 1 adalah permulaan kembara pengunjung dalam laluan menghayati limpahan nikmat pembangunan dan kemajuan negara yang ada kalanya tidak dihargai seperti sepatutnya.

Generasi pasca merdeka pasti sukar membayangkan kisah negara bertuah ini bermula, namun mereka juga mempunyai tanggungjawab berat dalam memastikan kemajuan sedia ada berlipat ganda apabila mengambil alih teraju pimpinan masa depan.

Kesedaran itu membawa pengunjung ke Kubah 2. Evolusi infrastruktur dan pengangkutan awam menjadi paksi segmen diberi tema ‘Kemudahan Infrastruktur’, bermula dari darat merentasi udara.

Kubah 3 bertema ‘Kehidupan dan Kesejahteraan’ memungkinkan pengunjung bertuah berbual di telefon bersama barisan pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kalangan pengunjung Generasi X (Gen-X) pasti tersenyum sendiri mengimbau kenangan silam tatkala melihat deretan telefon talian tetap yang digunakan sekitar era 1960-an hingga 1990-an memenuhi ruang pameran dan pastikan anda menjawab deringan, kalau-kalau berpeluang mendengar sendiri suara pemimpin negara.

Pelbagai sesi interaktif seiring ledakan teknologi massa semestinya membangkitkan keinginan pengunjung untuk cuba menyelami kemajuan hanya dengan sentuhan di hujung jari, selain mendengar amanat dan pesanan berguna ke arah bersama mensejahterakan Malaysia.

Kubah 4 yang berteraskan ‘Gaya Hidup Malaysia’ menjanjikan pengharapan besar rakyat negara ini dalam membentuk masa depan gemilang, bersandarkan kemajuan mencakupi darat hingga udara.

Tiada ruang yang dipinggirkan daripada arus kemajuan, malah perhatian sama rata diberi terhadap pembangunan infrastruktur pelancongan serta kebudayaan supaya semua lapisan masyarakat mengecapi limpahan rahmat kemerdekaan.

Tema ‘Masa Depan Gemilang’ menanti di Kubah 5. Ambil sedikit masa untuk berlapang dada bagi menyingkap segala nikmat kemajuan yang sudah sebati dalam kehidupan harian rakyat Malaysia, hingga ada masanya kita terlalai untuk menghargai.

Dicetuskan hasil ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, buat julung kalinya ekspo dalam skala besar itu dizahirkan untuk segenap peringkat usia dengan pelbagai pengisian – bukti yang menunjukkan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif.

Seperti dikatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap Ekspo Negara 2017: “Ini adalah gambaran masa depan Malaysia dan segala-galanya harus bermula hari ini.”

Di sebalik pengalaman menakjubkan Ekspo Negaraku 2017, terselit pelbagai mesej berharga untuk dijadikan azimat ke arah membawa Malaysia meluncur laju mengharungi pelbagai cabaran.

Paling utama, Ekspo Negaraku 2017 membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memberi yang terbaik buat kira-kira 32 juta rakyatnya tanpa batasan kaum, lokasi atau apa saja sempadan yang menjadi ukuran perbezaan buatan manusia.

Akhir sekali, marilah kita semua mengunjungi ekspo ini dan melihat sendiri kejayaan yang telah kita kecapi dan bakal kita kecapi.

Pandu kereta api terpantas dunia di Ekspo Negaraku 2017


Sebaran :

Leave a Reply