Cuti Sekolah Bermula: KLIA, Langkawi ‘Lengang’ Tak Ada Orang?

Sebaran :

Cuti sekolah sudah bermula beberapa hari lalu. Namun penulis yakin bahawa musim cuti sekolah ini tidak akan meriah seperti di zaman pemerintahan ‘negarawan ulung’ mentadbir negara ini. Segalanya dikatakan berubah di zaman Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Baru-baru ini, penulis terbaca laporan berita dari media arus perdana yang dikatakan konon ‘tidak laku’. Akhbar itu melaporkan tentang keadaan KLIA yang sesak teruk dengan kebanjiran orang ramai menanti giliran menaiki pesawat.

Jika di KLIA2, mungkinlah ia hanya melibatkan perkhidmatan pesawat tambang murah. Tapi bila dilaporkan KLIA yang sesak, maka ia membuat penulis ‘hairan bin ajaib’. Mengapa perkhidmatan penerbangan premium menjadi pilihan ramai?

Lalu penulis hubungi sepupu penulis yang lebih 20 tahun bertugas dengan MAS di KLIA. Memang benar, katanya KLIA sesak teruk dengan warga tempatan. Jelasnya, ia merupakan satu kebiasaan setiap kali musim cuti sekolah bermula. Penulis diam.

Kemudian, terbaca pula laporan akhbar arus perdana yang dikatakan selalu ‘menipu’ pembaca. Laporan itu mengatakan jeti Kuala Perlis dan Kuala Kedah pula dibanjiri orang ramai yang mahu bercuti ke Langkawi.

Sekali lagi, penulis hubungi seorang rakan yang merupakan anak jati Langkawi. Ketika penulis menghubunginya, dia sedang berada di jeti Langkawi. Katanya sedang buat ‘part time’, cari rezeki lebih sempena musim cuti sekolah.

Penulis bertanya, ramaikah yang melancong ke Langkawi kali ini? Dia jawab, memang ramai yang datang setiap kali musim cuti sekolah. Malah katanya, kali ini lebih ramai dari biasa dan dia sudah 4 kali berulang alik ke Jeti pagi tadi. Sarapan pun tak sempat, katanya.

Rakan penulis berkata, boleh dikatakan hampir semua hotel 4 bintang ke atas sudah penuh ditempah, dan begitu juga kebanyakkan homestay yang ada. Jika ada yang mahu ‘menyelit’, katanya adalah beberapa rumah orang yang sedia bertukar menjadi ‘homestay sementara’!

KLIA merupakan ‘pintu sempadan’ bagi laluan udara negara. Manakala Langkawi pula merupakan pusat pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong. Kadar harga tambang dan sewa bilik pastinya melambung ketika musim cuti sekolah ini, bukan?

Ketika ini, kadar GST yang dikenakan adalah pada kadar 6 peratus. Kita pun maklum bagaimana mereka-mereka itu mengutuk kerajaan kerana mengenakan cukai 6 peratus yang kononnya menyebabkan mereka papa kedana, ikat perut ‘skip’ makan setiap hari.

Tapi, adakah MAS atau mana-mana syarikat penerbangan di KLIA itu yang tidak mengenakan cukai GST terhadap penumpang pesawat mereka? Bagaimana dengan kedai-kedai di KLIA? Semuanya ‘bebas’ GST sempena musim cuti sekolah?

Kadar Ron95 pula kini pada tahan RM2.30 seliter, kadar yang cukup dikecam kononnya terlalu tinggi. Tapi penulis tidak tahu sama ada Ron95 dan Ron97 di Langkawi dijual pada kadar RM1.50 seliter barangkali? Hotel di sana berapa ratus ringgit untuk satu malam?

Sebenarnya, penulis menjangka KLIA, KLIA2 dan semua lapangan terbang di negara kita tetap lengang seperti bukan musim cuti sekolah. Rakyat di negara kita semuanya miskin gara-gara GST, mana mampu untuk menaiki pesawat penerbangan premium, bukan?

Penulis juga menjangka semua hotel 3 bintang ke atas di semua pusat peranginan dan pelancongan negara kosong tidak berpenghuni. Jika mahu melancong ke Langkawi pun, penulis jangka mereka berbasikal dan bawa khemah untuk menginap di persisir pantai di sana.

Sebaliknya, lokasi air terjun yang percuma akan menjadi tumpuan majoriti kita. Jika ‘sesak’ sangat, kolam plastik yang dijual di pasaraya Tesco pun boleh dipasang di depan rumah masing-masing. Asalkan anak-anak boleh berkelah dan berendam kolam, bukan?

Malangnya jangkaan penulis meleset sama sekali. Nampaknya penulis ‘tertipu’ lakonan pihak yang mendakwa kononnya kini mereka hidup terseksa miskin gara-gara kos kenaikan sara hidup. Padahal, merekalah yang mengawal ‘kocek’ sendiri, bukan?

Nampak gayanya, mereka ‘ikat perut’ untuk bercuti dan melancong? Nampaknya mereka sengaja susahkan diri mereka untuk menikmati khidmat penerbangan premium? Nampaknya ramai yang makin kufur dengan nikmat yang Allah berikan pada ‘kocek’ mereka.

Tapi tidak mengapalah. Sedari dulu kita sedar bahawa lakonan-lakonan itu hanyalah sekadar propaganda mengada-ngada mereka. Hakikatnya, mereka kufur dengan rezeki yang Allah berikan tanpa rasa bersyukur kepadaNya, apatah lagi berterima kasih kepada yang menyampaikan rezeki Allah itu.

Hanya mereka yang kuat minda dan menggunakan akal sahaja yang mampu menyedari hakikat ini. Dan kita boleh saksikan sendiri ‘posting-posting’ menarik ‘orang miskin’ dari lokasi-lokasi pelancongan di dalam dan luar negara dengan aksi-aksi ‘poyo’ mereka, kan?


Sebaran :

Leave a Reply