Mukhriz Pun PAS Kedah Tak Mampu ‘Hadap’?

Share

Beberapa rakan di utara semenanjung menghubungi penulis petang tadi. Kebetulan mempunyai kelapangan, penulis meluangkan masa beberapa jam bersama, bergosip mengenai suasana politik Kedah yang hangat diperkata baru-baru ini.

Kurang berbicara mengenai UMNO dan BN di negeri itu, namun perbualan lebih bertumpu kepada kedudukan PAS Kedah kini yang sedang bergelut mengawal pemimpin-pemimpinnya supaya tidak berpaling tadah menyertai parti ‘cap bunga’ dan PAN.

Tolak 3 pemimpin PAS yang dikatakan berstatus ‘harum manis’ dan telah ‘disenarai hitam’ sebelum ini, dikatakan Pesuruhjayanya sedang bertungkus-lumus memastikan tiada lagi aksi ‘lompat-melompat’ di kalangan kepimpinan parti itu.

Pada pandangan penulis, Pesuruhjaya PAS Kedah perlu berbuat demikian sejak dari awal lagi. Pihaknya perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan khususnya berdepan ‘hasutan’ dari 3 pemimpin yang dikatakan menjadi ‘duri dalam daging’ PAS Kedah itu.

Mungkin benar, reputasi Dato’ Mahfuz Omar, Dato’ Amiruddin Hamzah dan Nasir Mustafa kini menjadi bahan kecaman majoriti penyokong PAS di sana. Malah, pantang saja sebut nama ketiga-tiga pemimpin PAS itu, teruk mereka hentam di laman sosial.

Pada hemat penulis, para penyokong PAS lebih wajar mengecam Mukhriz yang selama ini dipercayai menjadi ‘dalang’ kepada usaha memecah-belahkan PAS di negeri tersebut. Dari sudut kepentingan politik, Mukhriz juga merupakan ancaman utama bagi PAS Kedah.

Sebelum ini, Mukhriz pernah ‘memancing’ supaya PAS Kedah bertindak ‘derhaka’ terhadap pendirian PAS Pusat. Dia meminta supaya PAS Kedah tidak mempedulikan keputusan PAS Pusat, sebaliknya bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRU ke-14 nanti.

Penulis melihat, PAS Kedah ketika menolak ‘lamaran’ Mukhriz itu agak berbelah bagi keadaannya, seolah-olah sedikit ‘termakan’ dengan pujuk rayu itu. Namun mungkin risau tidak terpilih sebagai calon PRU, mereka menolak.

Mungkin kerana penolakan itu, Mukhriz menganggap PAS Kedah telah memalukan dirinya. Lalu dia ‘curi’ Amiruddin, dan mungkin bakal ‘curi’ dua lagi pemimpin PAS ‘harum manis’ itu, walaupun mereka sebelum ini lebih cenderung menyertai PAN.

Timbul juga desas-desus yang mengatakan Mukhriz menawarkan jawatan Menteri Besar kepada Amiruddin sekiranya Pakatan Harapan berjaya menguasai Kedah pada PRU ke-14. Walaupun hanya khabar angin, namun logik kemungkinannya agak tinggi, bukan?

Justeru itu, PAS Kedah nampaknya berdepan cabaran getir. Jika tidak bertindak, parti ‘cap bunga’ dan PAN akan ‘membaham’ pemimpin mereka. Jika tidak mampu mengatasi Mukhriz, bagaimana PAS Kedah hendak menewaskan BN Kedah, bukan?

Pokok pangkalnya, jika PAS mahu terus ‘hidup’ di Kedah, sekurang-kurangnya sebagai pembangkang paling ramai dalam Dun Kedah penggal depan, mahu atau tidak, mereka perlu ‘matikan’ terus survival Mukhriz pada PRU ke-14 nanti.

Mukhriz dan Pakatan Harapan di Kedah sebenarnya tidaklah hebat mana pun. Hanya gah dengan ‘like’ saja di laman Facebook oleh ‘cytroo fake account’ dari beberapa individu yang sama. Takkan itu pun PAS Kedah tidak mampu ‘hadap’, bukan?

Leave a Reply