Mahathir, Muhyiddin sembunyi rekod kewangan?

Sebaran :

Pucuk kepemimpinan ter­tinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muh­yid­din Yassin didakwa menyembunyikan rekod ke­wangan parti yang antara lain menghuraikan sumbang­an atau derma yang di­terima daripada pihak luar.

Peng­a­sas PPBM, Kamarul Zaman Habibur Rahman yang tidak lagi bersama parti itu mendedahkan, berdasarkan Per­lembagaan PPBM, parti sepatutnya mengisy­tihar sumbangan dana atau derma kepada Majlis Pimpinan Tertingginya, namun setiap kali beliau hadir ke mesyua­rat parti perkara itu tidak dibuat.

Dakwanya, keadaan itu amat mengelirukan beliau serta ahli-ahli PPBM kerana parti selama ini begitu melaung-laungkan soal ketelusan dan mengkritik musuh politik yang didakwa tidak mengamalkan integriti tinggi.

“Saya ingin melihat PPBM mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM) kerana mahu ahli-ahli mempersoalkan perkara ini. Saya harapkan ada ketelusan untuk mengisytihar berapa jumlah dana yang dikumpul daripada ahli dan derma yang diterima.

“Selama ini PPBM mengkritik pihak luar kononnya ada berlaku penyelewangan, tetapi mereka sendiri tidak pernah isytiharkan kewangan sendiri (kepada ahli parti),” katanya semasa menjadi seorang daripada ahli panel bual bicara bertajuk Krisis Perlembagaan PPBM: Apa Kesudahannya? di sini Khamis lalu.

Beliau mendakwa, terdapat kemungkinan AGM sengaja tidak mahu diadakan oleh PPBM kera­na terdapat beberapa individu yang kini memegang jawatan tinggi di dalam parti tidak mahu kedudukan mereka tergugat.

Beliau juga percaya sekiranya AGM PPBM diadakan, satu malapetaka boleh berlaku terhadap parti itu memandangkan ahli-ahli­nya sendiri mempunyai banyak perkara mahu yang dipersoalkan terutamanya mengenai kedudukan dan perjuangan parti.

“Sikap pucuk kepemimpinan PPBM mengecewakan dan membuatkan ahli-ahli parti yang selama ini bertungkus-lumus mencari ahli baharu, menghabiskan wang ringgit dan tenaga untuk menggerakkan parti menjadi mangsa keadaan,” katanya.

Pada masa sama, kata beliau, kegagalan PPBM mematuhi Perlembagaannya untuk mengadakan AGM dalam tempoh setahun atau meminda Perlembagaan tanpa mendapat persetujuan perwakilan sudah dijangka sewaktu parti itu belum ditubuhkan lagi kerana mendapati pimpinan ter­tingginya tidak mengambil tahu usaha menggerakkan parti di pe­ringkat negeri dan bahagian.

“Mungkin ada perkara lain bermain di fikiran mereka yang baru dipecat daripada UMNO. Tetapi kerana tidak mempedulikan soal parti, PPBM semakin lama semakin bermasalah,” katanya.

Utusan


Sebaran :

Leave a Reply