Huru-Hara Bila ‘1 Bukit 3 Kepala’, Siapa Menang?

Dalam satu program dialog dengan seorang bekas Perdana Menteri dan sahabat karibnya yang merupakan seorang ‘maharaja’ dari ‘dinasti Lim’, mereka ditanya oleh anak-anak muda yang hadir di program tersebut.

Bekas Perdana Menteri ditanya tentang perihal bekas Timbalannya dahulu yang dikatakan tidak bermoral terlibat dalam salah laku seks luar tabii’, manakala ‘maharaja’ itu ditanya sama ada dia akan menubuhkan RCI untuk menyiasat salah laku bekas Perdana Menteri itu.

Jawapan dari bekas Perdana Menteri itu menjelaskan dia percaya bekas Timbalannya itu terlibat melakukan salah laku seks luar tabii selepas menemubual mangsa-mangsa. Jika dia tidak percaya, tak mungkin dia akan bawa isu tersebut ke Majlis Tertinggi dan berbincang tentang tindakan yang wajar diambil, bukan?

Manakala ‘maharaja’ itu pula mengaku konsisten dengan dakwaannya terhadap bekas Perdana Menteri itu dan cenderung bersetuju untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat skandal-skandal yang didakwanya ketika ‘diktator’ itu memerintah.

Sebagaimana yang kita maklum, Pakatan Harapan boleh dikatakan hampir sebulat suara mahu bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini berada di penjara Sungai Buloh sebagai Perdana Menteri jika mereka menang pilihan raya.

Namun begitu, bekas Perdana Menteri itu boleh mencelah untuk menafikan banduan itu sebagai Perdana Menteri atas alasan ‘malu melantik seorang banduan yang terpalit dengan salah laku seks luar tabii’ untuk menjadi Perdana Menteri.

Hujah tersebut mungkin amat payah untuk dipatahkan oleh parti di dalam Pakatan Harapan kerana ia membabitkan isu moral, maruah dan imej kerajaan. Mana mungkin rakyat dapat menerima seorang yang dipercayai ‘mel*anc*pi lelaki’ sebagai Perdana Menteri, bukan? Itu boleh menyebabkan Pakatan Harapan ditolak rakyat sepenuhnya.

Maka bekas Perdana Menteri itu secara tidak langsung boleh memasukkan ‘jarum politik’nya di dalam Pakatan Harapan dengan mencalonkan individu pilihannya. Pada pandangan penulis, itulah yang dia tunggu-tunggu selama ini.

Untuk mencalonkan Presiden ‘cap bunga’, dia boleh memberi alasan bahawa pengaruh pemimpin Pagoh itu tidaklah sehebat mana berbanding dirinya dan anaknya. Pada hemat penulis, hampir pasti dia akan calonkan anaknya itu sebagai Perdana Menteri.

Dia boleh menggunakan alasan dengan mengatakan imej anaknya yang kelihatan ‘bersih’ dan popular. Malah dia boleh memberi sebab usia anaknya yang masih nampak muda itu sebagai paling sesuai untuk menjadi Perdana Menteri bagi tempoh yang lama.

Jika ada yang menentang cadangannya itu, maka seperti biasa, dia akan ‘membelasah’ penentang itu semahu-mahunya. Apa saja peluru akan digunakan, malah untuk buat ‘u-turn’ pun dia sanggup, asalkan calon pilihannya itu menjadi Perdana Menteri.

Apa tindakan ‘maharaja’ ketika itu? Penulis yakin, ‘maharaja’ itu akan mengerah segenap kuasa yang ada bersama pakar-pakar perundangan dan perlembagaan untuk segera menubuhkan RCI, ‘khas’ buat bekas Perdana Menteri itu.

Sekiranya berjalan mengikut perancangan dan plot jalan cerita yang dirangka, maka jangka hayat ‘anak bekas Perdana Menteri’ itu memegang tampuk pemerintahan berkemungkinan besar akan ‘pendek sependek-pendeknya’. Maka dia sekali lagi terpaksa meletak jawatan…

Penulis dapat bayangkan ketidakstabilan politik negara bakal berlaku jika ia benar-benar berlaku. Walaupun hanya kemungkinan buat masa ini, ia pasti akan memberi kesan buruk kepada segenap aspek di negara kita, khususnya ekonomi.

Itupun jika Pakatan Harapan mampu menang di peringkat persekutuan. Itupun jika parti ‘cap bunga’ itu lulus pendaftaran dan tidak diharamkan RoS. Jadi, jangan gelabah. Kita perlu pastikan BN terus mengemudi negara dan biarkan bekas ‘diktator’ itu gigit jari…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *