Malaysia Perlukan Kesederhanaan – PM

Sebaran :

Kesederhanaan atau Wasatiyyah bukanlah hanya sebahagian daripada tradisi Malaysia tetapi ia merupakan keperluan bagi rakyat negara ini yang mempunyai pelbagai kepercayaan dan etnik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata ia hanya dapat dicapai dengan mengamalkan kesederhanaan yang merangkumi saling menerima, saling menghormati dan adanya persefahaman antara satu sama lain.

“Ini tidak mudah bagi semua. Kesederhanaan bukanlah pilihan yang ringan. Ia adalah sesuatu yang kita perlu usahakan untuk menjadikannya sebahagian daripada kehidupan kita, sebahagian daripada cara kita berfikir tentang orang lain dan cara kita bertindak.

“Inilah sebabnya saya memperjuangkan kesederhanaan sebagai jalan yang terbaik kerana kesederhanaan merupakan kesempurnaan manusia, yang diajar oleh Islam serta agama-agama lain juga.

“Kita memahami dan menghargai perbezaan yang ada di antara kita, dan ingatlah bahawa ia sebenarnya mengayakan kita. Malah, itulah yang menjadikan Malaysia,” kata beliau semasa berucap melancarkan laman web dan dua penerbitan terbaharu Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) di Perdana Putra di sini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata Wasatiyyah membawa mesej supaya melakukan kebaikan dengan penuh tekun, adil, dalam semangat persaudaraan serta kebenaran selain menolak semua bentuk kejahatan seperti ekstremisme.

“Kita gembira apabila rakan-rakan senegara yang berlainan agama meraikan perayaan mereka, dan kita mengucapkan selamat sejahtera kepada mereka. Itulah cara yang sepatutnya, dan ia adalah manifestasi kepada jalan kesederhanaan,” kata beliau.

Najib berkata tujuh tahun lepas, beliau membangkitkan tentang penubuhan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York, dan dalam ucapan sulungnya itu, beliau menekankan bahawa isu sebenar bukanlah di antara orang Islam dan bukan Islam tetapi di antara mereka yang sederhana dan ekstremis dalam semua agama.

Menjelaskan lebih lanjut, perdana menteri berkata: “Kita tidak perlu melihat jauh untuk merealisasikan matlamat untuk mengamalkan kesederhanaan.

“Apabila kita lihat keadaan di bandar Marawi baru-baru ini, kita lihat kesan maut yang berpunca daripada ekstremisme kumpulan yang bersekongkol dengan Daesh, yang turut membawa kemusnahan dahsyat di sebahagian besar Syria dan Iraq, selain mencetuskan serangan yang mengejutkan di seluruh dunia.”

Beliau berkata Malaysia juga tidak terkecuali daripada keganasan Daesh dan bersyukur dengan tindakan pantas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mematahkan 16 serangan di negara ini termasuk dua cubaan semasa majlis penutupan rasmi Sukan Asia Tenggara dan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka.

“Daesh berjaya melakukan satu serangan di Malaysia pada Jun tahun lepas. Walaupun ada yang cedera, tetapi syukurlah kerana tiada yang terkorban. Kini, ada banyak cara untuk menentang dan memerangi pengganas. Kerajaan telah memperkenalkan undang-undang antikeganasan sejak beberapa tahun lepas bagi membendung ancaman ini.

“Tetapi, kita boleh dan mesti memeranginya dengan menggalakkan kesederhanaan. Ini bukanlah untuk kita sahaja. Ini adalah untuk generasi muda dan generasi yang akan datang,” kata beliau sambil memberitahu bahawa Malaysia bangga dapat bersama-sama dengan negara-negara lain dalam Gabungan Global Menentang Daesh di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata usaha-usaha yang dilaksanakan GMMF adalah sebahagian daripada sebab mengapa kepimpinan Malaysia, yang menggalakkan kesederhanaan dalam deradikalisasi dan menentang semua bentuk ekstremisme, menerima pengiktirafan dunia.

Beliau berkata kerjasama erat yang terjalin di antara Kementerian Luar dan GMMF telah membawa kepada penggalakan dan perbincangan tentang pentingnya kesederhanaan di seluruh dunia, yang bakal menyaksikan Malaysia membentang resolusi mengenai kesederhanaan dan inisiatif GMMF pada Perhimpunan Agung ke-72 PBB.

“Saya ingin memuji usaha-usaha murni yang telah dan akan terus dilakukan GMMF. Saya percaya bahawa laman web baharu ini akan menampilkan usaha dan misi mereka kepada lebih ramai pihak, dan akan menggalakkan lebih ramai lagi untuk menyertai kita dalam menuju keamanan, kewujudan bersama dan keharmonian,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GMMF Datuk Dr Nasharudin Mat Isa berkata kedua-dua buku itu yang bertajuk ‘The Movement of the Moderates: The Revitalisation of an Ancient Philosophy’ dan ‘The Movement of Moderates: Building Bridges, Breaking Barriers’ adalah selari dengan inisiatif GMMF ke arah Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Buku pertama merupakan kompilasi ucapan Najib mengenai kesederhanaan dan GMM, manakala buku kedua adalah siri kertas kerja dan wacana mengenai gerakan itu sepanjang dua tahun lepas.

“Domain baru iaitu gmmoderates.org adalah langkah penjenamaan semula yang merangkumi ciri-ciri utama laman web responsif yang direka bentuk untuk integrasi media sosial dan mengoptimumkan enjin carian. Dengan ini, pihak berkepentingan dapat terus berhubung dengan GMMF pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” katanya.

Beliau berkata pelancaran laman web dan penerbitan buku baharu itu jelas menunjukkan komitmen GMMF dalam menambah nilai kepada peranannya sebagai pusat sumber kesederhanaan dengan mewujudkan platform perbincangan untuk golongan sederhana mengambil tindakan bersama ke arah mewujudkan dunia yang lebih baik.

— BERNAMA


Sebaran :

Leave a Reply