Pandu kereta api terpantas dunia di Ekspo Negaraku 2017

Share

Orang ramai yang mengunjungi Ekspo Negaraku 2017 berpeluang memandu kereta api terpantas dunia dengan kelajuan sehingga 350 kilometer sejam.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman pekerja mengorek laluan bawah tanah untuk pembinaan terowong Transit Aliran Massa (MRT) serta berpeluang duduk di tempat pemandu bas dan menguji kecekapan mengharungi laluan banjir.

Semua itu boleh dialami dengan mengunjungi Kubah Dua ekspo yang menempatkan pelbagai alat simulasi bagi membolehkan pengunjung mendapatkan pengalaman sebenar.

Ekspo Negaraku 2017 menawarkan lima kubah besar berskala besar yang dihubungkan antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, pengunjung harus memasuki kubah satu hinggalah ke kubah lima untuk mengetahui apa yang menarik di dalamnya.

Sehubungan itu, dengan ‘menerjah’ kubah-kubah yang bertemakan Tuah Dikongsi Bersama, Kemudahan Infrastruktur, Kehidupan dan Kesejahteraan, Gaya Hidup Malaysia serta Masa Hadapan Kita, jati diri, semangat patriotisme dan rasa cinta akan negara dapat ditingkatkan.

Keluasan setiap kubah itu adalah berukuran di antara 25 hingga 30 diameter dan mampu memuatkan bilangan pengunjung seramai 1,200 orang dalam satu masa.

Ekspo Negaraku 2017 anjuran Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri itu diadakan selama sebulan di Dataran Merdeka mulai hari ini dan ekspo dibuka percuma kepada orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!