Hamidah Kecewa Krisis PPBM Perak Tak Berkesudahan

Sebaran :

KUALA LUMPUR – Perkembangan terbaru menyaksikan PPBM Bahagian Batu Gajah dibubarkan menyebabkan Datuk Hamidah Osman tampil meluahkan kekecewaan dengan krisis tak berkesudahan dihadapi parti serpihan UMNO itu terutama di Perak.

Pembubaran PPBM Batu Gajah itu diumumkan serentak dengan perletakan jawatan Ketua Penaja Bahagian, Mohd Shirin Adenan bersama 18 Ahli Jawatankuasa selepas hilang kepercayaan pada kepimpinan Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi PPBM Perak.

Tindakan tersebut disokong kira-kira 1,000 ahli PPBM di bahagian itu.

Memetik laporan The Mole, Hamidah yang merupakan bekas Naib Presiden PPBM berkata beliau cukup sedih dengan kemelut yang berlaku namun tidak terkejut kerana ianya berpunca dari kelemahan pimpinan parti di peringkat negeri itu sendiri.

“Saya sedih tapi tidak terkejut kerana saya sudah nampak perkara ini akan berlaku. Saya telah cuba membangkitkan isu ini tetapi mereka (pemimpin PPBM) menuduh saya ada motif tersembunyi.

“Faizal tidak layak menjadi ketua parti di Perak dan ini dapat dilihat jelas menerusi rasa tidak puas hati ramai pihak dalam parti. Jika pemimpin atasan parti terus mengekalkan Faizal, masa depan Pribumi Bersatu (PPBM) akan dipertaruhkan,” katanya.

Tindakan drastik PPBM Batu Gajah itu bukan yang pertama berlaku kerana sebelum ini Bahagian Gopeng, Parit dan Kuala Kangsar turut menghadapi masalah sama apabila pimpinan bahagian meletakkan jawatan dan keluar parti kerana tidak puas hati dengan pimpinan negeri.

Krisis dalaman PPBM lebih parah apabila parti itu juga berdepan dengan masalah kemungkinan pendaftarannya dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) ekoran penubuhan sayap parti, Armada yang tidak mengikut perlembagaan parti.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui struktur parti itu agak lemah dan tidak tersusun mengakibatkan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang sepatutnya diadakan September lalu telah ditangguhkan.

“Jadi, kita tidak dapat tentukan siapa akan hadir AGM,” katanya, dipetik dari laporan BH Online.- MyKMU.Net


Sebaran :

Leave a Reply