Rafizi diminta hentikan memutarbelit isu FIC

KENYATAAN AKHBAR
31 Oktober 2017

Yang Berhormat Rafizi Ramli (Y.B. Rafizi) telah membuat pelbagai dakwaan yang tidak tepat dan mengelirukan ketika beliau mengadakan siar web pada 26 Oktober 2017. Ini dianggap sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) kecewa berikutan beberapa kenyataan oleh Y.B. Rafizi itu yang telah dibuat tanpa memastikan ketepatannya terlebih dahulu. FIC ingin memperbetulkan kesilapan tersebut dan berikut merupakan kenyataan pihak kami:

1. Y.B. Rafizi hanya menunjukkan satu dokumen sahaja, yang menyatakan bahawa harga sebidang tanah dengan nombor hak milik NGL705102, iaitu: Dexion House (2-4 Empire Way, Wembley) dan Howerine House (5-6 Empire Way, Wembley) berjumlah GBP20 juta. Y.B. Rafizi kemudiannya mendakwa bahawa FIC telah ditipu dengan nilai wang berjumlah GBP14 juta, apabila mendapati bahawa harga tanah tersebut direkodkan sebagai GBP34 juta dalam Penyata Kewangan FIC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 yang telah diaudit.

2. Pada hakikatnya, wang sejumlah GBP34 juta (termasuk cukai yang dikenakan) telah dibayar untuk dua bidang tanah dan bukan satu bidang tanah sahaja sebagaimana yang didakwa Y.B. Rafizi dalam siar webnya. Dua bidang tanah tersebut adalah:

a. NGL676298: Felda House (dikenali sebagai Dexion House 1 di Nota 37 dalam
Penyata Kewangan FIC tahun 2014 yang telah diaudit); dan
b. NGL705102: Grand Felda House (dikenali sebagai Dexion House 2 di Nota 37 dalam Penyata Kewangan FIC tahun 2014 yang telah diaudit).

3. Kami ingin menegaskan sekali lagi kenyataan-kenyataan yang telah kami buat pada 22 Oktober 2017 dan 24 Oktober 2017 bahawa dua buah syarikat di British Virgin Islands (BVI); iaitu FIC London Hotel (Private) Limited (FLH) dan FIC Global Limited (FGL); termasuklah hartanah hak milik masing-masing iaitu The Park City Grand Plaza Kensington, Felda House dan Grand Felda House, kesemuanya merupakan hak milik FIC sepenuhnya.

4 Ahli-ahli Lembaga Pengarah FIC yang baru dilantik ingin memberi jaminan kepada orang ramai akan komitmen mereka untuk menaik tarafkan aktiviti-aktiviti perniagaan dan proses urus tadbir korporat FIC.

Kami percaya kesemua kenyataan di atas dapat menjelaskan sebarang kemusykilan orang ramai yang mungkin timbul. Kami juga yakin fakta-fakta yang diputarbelitkan berserta dakwaan-dakwaan tidak sahih yang dibuat oleh beberapa pihak dengan niat untuk mengelirukuan orang ramai ini akan dihentikan.

Dikeluarkan oleh:
Bahagian Komunikasi Korporat (FIC)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.