Anak Pahang Usaha Bina Hospital Pendang, Dua Beranak Itu Tak Malu?

Sebaran :

Penulis diberitahu tentang kritikan seorang anak bekas Perdana Menteri terhadap projek pembinaan Hospital Pendang. Dia mendakwa kononnya projek berkenaan hanyalah satu ‘penipuan’ dan hanya untuk menarik sokongan rakyat.

Kadang kala, penulis agak lucu dengan sikap dan retorik anak bekas Perdana Menteri ini. Dia bercakap bagaikan ‘tidak tahu apa-apa’, seolah sama seperti bapanya juga yang semakin hari semakin lupa dan serba ‘tidak tahu’.

Sebagaimana yang kita maklum, dia merupakan bekas Menteri Besar Kedah. Kira-kira tiga tahun dia diberi peluang mengemudi Kedah sejak PRU ke-13 pada 2013 hingga 2015, namun tidak pula kita dengar dia menyebut tentang hospital di Pendang. Manakala bapanya pula telah naik menjadi ‘diktator’ selama kira-kira 22 tahun, sejak tahun 1981.



Untuk rekod, projek pembinaan Hospital Pendang telah lama bermula. Malah proses pengambilan tanah untuk tujuan pembinaan hospital tersebut telah lama dibuat sejak tahun 1980, kira-kira setahun sebelum bapanya menjadi Perdana Menteri.

Fakta berkenaan boleh disahkan oleh Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul yang ketika itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah Pendang. Beliau sendiri pernah bertanyakan soalan berkenaan hal ini di Dewan Rakyat pada tahun 2013. Pengambilan tanah itu selesai pada 1989.

Jadi, adalah jelas sekali bahawa perancangan pembinaan hospital bagi daerah di Kedah itu telah lama bermula. Sebagai seorang Perdana Menteri yang konon berbangga sebagai anak kelahiran Kedah, mengapa bapa bekas Menteri Besar itu tidak terus bina hospital tersebut?



Apakah sebagai seorang Perdana Menteri yang sangat ‘berkuasa’ dan dilabel sebagai ‘sangat berjasa’ itu tidak dapat merealisasikan harapan dan hasrat yang menjadi keperluan masyarakat di Pendang dalam tempoh 22 tahun pentadbirannya?

Apakah kerana Pendang ketika itu dikuasai oleh bekas Presiden PAS, Almarhum Dato’ Fadzil Noor, maka bapa kepada bekas Menteri Besar Kedah itu sengaja menyekat keperluan rakyat Pendang? Tidak hairan jika PAS sudah ‘masak’ sangat dengan cara ‘diktator’ tersebut…

Pada tahun 2008 hingga 2013, Kerajaan Negeri Kedah jatuh ke tangan PAS. Anak bekas Perdana Menteri itu diamanahkan sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah. Mengapa dia tidak sebut langsung tentang keperluan rakyat Pendang itu?



Apakah kerana dia terlalu sibuk sebagai Timbalan Menteri ketika itu sehingga tidak betah untuk pulang ke Kedah mengambil berat hal rakyat di sana? Atau dia sebenarnya kurang selesa untuk menghirup udara sawah bendang di negeri Jelapang Padi itu?

Kemudian, dia diberi peluang oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, untuk menjadi Menteri Besar di Kedah. Meskipun menyedari keputusan itu berisiko tinggi gara-gara cuba meletakkan ‘budak aristokrat metropolitan’ ditempat ‘budak kampung’, keputusan itu mungkin mengharapkan dia dapat membangunkan Kedah.

Pada 2016, ketika membentang RMK11, tiba-tiba seorang Perdana Menteri dari Pahang pula yang umumkan supaya disegerakan projek pembinaan Hospital Pendang? Menghairankan, apa yang dibuat oleh Perdana Menteri dari Kedah sejak 1989 hingga 2002? Lena?



Tidak malukah Perdana Menteri dari Kedah itu apabila orang Pahang pula yang lebih mengambil berat terhadap keperluan rakyat di negeri Kedah? Dia boleh bina KLCC, KLIA dan Putrajaya, tapi tidak mampu membina hospital yang lebih diperlukan rakyat?

Ketika berkuasa dalam tempoh 2013 hingga 2015, mengapa anak bekas Perdana Menteri itu langsung tidak menyebut soal Hospital Pendang? Sebagai Menteri Besar, apakah dia melihat lapangan terbang mega antarabangsa di Kulim menjangkau keperluan hospital untuk rakyat Pendang?

Apakah bekas Menteri Besar itu lebih mengutamakan yang ‘mega-mega’ untuk mendapat nama yang ‘gah’ seperti bapanya berbanding menyediakan keperluan yang lebih diperlukan rakyat di sana? Dia mahu namanya jadi sebutan hingga lupa pada keutamaan rakyat?



Setelah Najib umumkan semula pembinaan Hospital Pendang sebagai keutamaan dalam RMK11 dan mengumumkan kelulusan projek itu pada Bajet 2016, barulah projek itu ‘bernafas’ semula. Dan kini dia pertikai pula kenapa lambat? Tak malukah dia?

Untuk makluman anak ‘negarawan’ itu, projek Hospital Pendang itu kini difahamkan bakal ditender pada November ini dan pembinaannya dijangka bermula pada awal tahun depan, 2018. Ia dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan dapat digunakan pada tahun 2021.

Siapa yang usahakan agar Hospital Pendang di Kedah itu segera dibina dan diberi keutamaan? Jawapannya adalah Najib yang hampir setiap hari ditohmah dua beranak itu. Untuk rekod, Najib itu anak Pahang dan bukan Kedah seperti dua beranak itu.

Siapa pula yang Menteri Besar yang berusaha merealisasikan projek untuk rakyat Pendang itu? Jawapannya adalah Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang sering dihina konon lulusan SRP. Biar bukan lulusan universiti di Jepun, tapi mampu berbakti.

Anak ‘negarawan’ itu selalu menghina dan memperlekeh konon Ahmad Bashah ‘lena’? Terbukti dalam ‘lena’ pun beliau mampu usaha segerakan Hospital Pendang. Kalau ‘celik’, silap-silap lebih dari KLCC pun dia boleh usahakan..!


Sebaran :

Leave a Reply