#BAJET2018: SASARAN MANFAAT DARI SUDUT CUKAI INDIVIDU

Sebaran :

Bertemakan “Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi Dan Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50”, Bajet 2018 telah selamat dibentangkan dengan jayanya di dewan Parlimen oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.
Kesejahteraan rakyat merupakan salah satu agenda dan matlamat utama dalam meringankan beban rakyat dalam memperkukuhkan ekonomi keluarga khasnya dan ekonomi Malaysia amnya.

Bajet 2018 ini dilihat lebih komprehensif dengan mengambil kira seawal kepentingan bayi yang masih dalam kandungan sehingga lahir ke dunia ini, pendidikan anak bangsa sehinggalah urusan masa hadapan negara.

Jika dilihat dari segi bantuan kerajaan melalui Bajet 2018 terhadap sasaran dan manfaat langsung kepada individu antaranya pemberian pinjaman melalui Amanah Ikhtiar Malaysia & TEKUN, dana tabungan bagi anak yang baru lahir, bantuan biasiswa untuk pendidikan sehingga termasuklah galakan menabung Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia (SSP1M), kelolaan PTPTN .

Di sini, pelepasan tempoh pelepasan cukai pendapatan individu dilanjutkan, terhad kepada enam ribu ringgit, bagi simpanan bersih yang dibuat ke dalam SSP1M selama tiga tahun mulai tahun taksiran 2018.

Sejak BR1M diperkenalkan dan dilaksanakan yang merupakan suatu bentuk subsidi bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukannya, telah terbukti keberkesanannya. BR1M tahun ini telah memanfaatkan 7 juta penerima dengan peruntukan 6.8 bilion ringgit, maka bagi tahun 2018, 7 juta penerima itu akan terus menikmati pemberian ini, dengan kadar maksimum sehingga 1,200 ringgit.

Sebagai menghargai sumbangan wanita kepada negara, kerajaan mengumumkan 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita. Kerajaan mencadangkan layanan pengecualian cukai pendapatan individu disediakan ke atas pendapatan yang diperolehi dalam tempoh 12 bulan berturut-turut, kepada mereka selepas tempoh sekurang-kurangnya dua tahun berhenti daripada pekerjaan. Pengecualian ini layak dituntut bagi tahun taksiran 2018 hingga 2020.

Begitu juga kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan 2 mata peratusan bg banjaran pendapatan bercukai antara RM20 ribu hingga RM70 ribu. Langkah ini akan meningkatkan jumlah pendapatan boleh guna rakyat antara RM300-RM1,000. Ini bermakna, dianggarkan sejumlah 1.5 bilion ringgit lebihan pendapatan boleh guna, dapat dibelanjakan oleh rakyat. Dengan langkah ini juga, lebih 261 ribu orang kini tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan.

Bagi mereka yang mempunyai pendapatan sampingan melalui pendapatan hasil sewa, pengecualian cukai ke atas pendapatan sewaan rumah kediaman sebanyak 50 peratus bagi pendapatan sewa sehingga dua ribu ringgit sebulan kepada individu rakyat Malaysia yang bermastautin di Malaysia.

Bajet 2018 kali ini memperlihatkan banyak manfaat yang akan diperolehi untuk individu bagi memperkasakan ekonomi keluarga. Kesaksamaan dalam pengaliran perbelanjaan negara kepada golongan sasar menjadikan Bajet 2018 tepat dengan temanya demi kesejahteraan kehidupan rakyat.


Sebaran :

Leave a Reply