‘Prewet’ VS Uber: Bila Terlalu Taksub, Inilah Jadinya…

Sebaran :

Kadang kala, agak ‘lorat’ untuk melayan kerenah warga emas yang terlalu taksub dan mudah mindanya terpengaruh dengan seorang lagi warga emas yang ‘lebih emas’ daripadanya. Agak menjengkelkan, tapi jika tidak dilayan makin menjadi-jadi pula ‘lorat’nya…

Warga emas itu menulis tentang ‘Najibnomics’. Lalu dia bandingkan dengan peluang pekerjaan yang wujud di negara ini pada zaman ‘purba’ dan zaman sekarang. Dia seolah-olah cuba menyalahkan kerajaan, kononnya ‘beratus ribu lulusan universiti yang dibiayai ibu bapa, JPA dan MARA tidak ada kerja’.

Dia juga menyalahkan ‘Najibnomics’, kononnya ia menjadi punca kepada graduan yang ‘lulus kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan dan macam-macam lagi jadi pemandu Grab, Uber dan teksi’.

Pertamanya penulis ingin memberitahu warga emas yang hebat menulis itu bahawa di zaman bapanya dulu, kita mungkin hanya mempunyai kira-kira 15 juta hingga 15 juta rakyat sahaja berbanding sekarang yang mencecah lebih 31 juta penduduk.

Di kala itu juga, tidak ramai yang berpendidikan tinggi, manakala perubahan zaman yang berlaku menyaksikan peningkatan kepada permintaan tenaga buruh separuh mahir dan mahir. Maka disebabkan itu, rakyat di negara ini digalakkan menimba ilmu hingga ke menara gading untuk membolehkan mereka menjadi pekerja mahir dan profesional.

Di zaman warga emas yang ‘terlebih emas’ itu misalnya, dikatakan hanya 8 orang saja yang mampu dibiayai kerajaan dengan wang biasiswa. Berbanding sekarang, bukan setakat biasiswa untuk yang cemerlang, yang kurang cemerlang pun mudah dapat pinjaman PTPTN dan institusi kewangan yang lain.

Benarlah kini, hasil dari dasar kerajaan yang beriltizam melahirkan generasi berilmu itu telah tercapai. Memiliki ijazah kini merupakan suatu yang biasa berbanding zaman dulu yang riuh kenduri sekampung meraikan seorang anak yang berjaya membawa pulang ijazah ke kampung.

Memang ‘bersepah’ mereka yang memiliki ijazah di zaman ini. Kini ramai pula yang memajukan diri dengan kursus Sarjana dan Kedoktoran. Benar kita kini melahirkan ratusan ribu individu terpelajar termasuk doktor, jurutera, peguam, akauntan dan sebagainya.

Namun begitu, apakah kerana wujudnya generasi berilmu mengikut pelbagai jurusan itu maka ia mewajibkan pihak kerajaan untuk mewujudkan pekerjaan bagi setiap mereka? Mungkin bagi sektor yang masih memerlukan, maka mereka akan diambil bekerja. Namun bagaimana jika berlaku lambakan seperti sekarang?

Sebagai contoh, sekiranya negara ini menghasilkan kira-kira 30,000 graduan ijazah pendidikan dalam tempoh setahun, apakah kerajaan wajib membina sekolah sebanyak 200 buah sekolah juga setiap tahun bagi menjamin pekerjaan mereka?

Contoh lain, jika negara ini menghasilkan 10,000 doktor, 20,000 jurutera dan 15,000 akauntan setiap tahun, apakah kerajaan perlu membina puluhan hospital dan klinik, serta memaksa wajib setiap syarikat pembinaan dan firma perakaunan untuk menerima graduan-graduan ini bekerja dengan mereka setiap tahun?

Sebenarnya, apakah tujuan utama kerajaan mahu melahirkan ramai graduan di negara ini? Bukankah untuk melahirkan generasi berilmu pengetahuan dan hasil dari ilmu yang dibekalkan itu maka terpulanglah kepada cerdik pandai itu melangkah mencorak hidup masing-masing, bukan?

Tentang ‘lari bidang’, dari graduan jurusan perundangan yang kini membawa Uber, Grab dan teksi, perkara tersebut sudah lama berlaku di zaman 1990’an lagi. Ramai saja graduan sastera dan sains sosial yang terpaksa goreng pisang tepi jalan, kerja di restoran makanan segera dan berniaga sendiri di zaman warga emas ‘terlebih emas’ itu memerintah.

Bezanya, kami di zaman itu tidak memilih kerja dan sedia menghadapi cabaran tanpa mengeluh hidup susah. Mana ‘laku’ graduan sastera dan sains sosial di zaman perindustrian. Kami tidaklah dikenali Perdana Menteri ketika itu untuk diberi keistimewaan sebagai ‘kroni’ dengan kontrak mega. ‘Bau-bau bacang’ pun tidak ada, nak minta jadi wartawan pun payah!

Justeru itu penulis harap, warga emas yang besar taksubnya itu tidak perlulah tunjuk jaguh mempolitiknya tentang suatu yang tidak rasional. Ia bukan saja menjengkelkan, malah tidak rasional sangat bunyinya. Sudah-sudahlah…


Sebaran :

Leave a Reply