Pembangkang Tiada Pendirian, Bajet Alternatif Hanyalah Madah Politik

Share

1) Pembangkang semalam telah melancarkan bajet alternatif mereka.Seperti sebelum ini, bajet alternatif yang menjanjikan bulan bintang ini digarapkan dengan penulisan bermadah yang cuba memukau rakyat Malaysia. Tetapi persoalan utamanya, kenapa pendirian pembangkang sentiasa berubah?

2) Kalau dilihat pada rekod bajet alternatif pembangkang beberapa tahun kebelakang, kita dapat saksikan bagaimana mereka secara tidak bertanggungjawab menjanjikan bulan bintang kepada rakyat. Pada masa yang sama juga, setiap tahun pendirian mereka berubah-ubah. Contoh mudah adalah GST. Pada suatu ketika mereka berjanji untuk menghapuskan GST, pada suatu ketika pula mereka akan kekalkan GST.

3) Begitu juga janji mereka tentang PTPTN. Dahulu mereka janji akan menghapuskan PTPTN, pada tahun ini pula mereka hanya berjanji untuk menangguhkan pembayaran PTPTN kepada graduan baru bergaji kurang RM4,000.


4) Tun Dr. Mahathir berulang kali menyatakan sebelum ini pemberian BR1M adalah suatu bentuk rasuah oleh pihak kerajaan. Tetapi dalam bajet alternatif pembangkang ini mereka telah menyatakan kepentingan BR1M kepada rakyat terutamanya golongan yang memerlukan bantuan. Mereka mengakui keberkesanan BR1M dalam mengurangkan tekanan kos sara hidup dan mereka akhirnya berjanji untuk meneruskan pemberian BR1M.

5) Sebelum ini juga pemimpin pembangkang menggunakan penarikan subsidi gula utk menghentam kerajaan, tetapi dalam bajet alternatif mereka ini, mereka telah menyatakan tidak akan mengembalikan subsidi gula dan pada sama mengulang gesaan kerajaan agar rakyat mengambil gula pada kadar yang perlu sahaja demi kebaikan kesihatan.

6) Kalau dibaca sehingga habis bajet alternatif pembangkang ini, dalam mukasurat 76 tentang naratif keluarga di Malaysia pada tahun 2030, pembangkang secara jelas menyatakan kerajaan BN berdekad-dekad gagal membina Lebuhraya Pan-Borneo. Adakah secara tidak langsung mereka memperleceh Pengerusi mereka, Tun Dr. Mahathir yg lebih dua dekad menjadi PM tetapi gagal membawa perubahan besar untuk Sabah dan Sarawak? Mengikut rekod, Perdana Menteri Najib Razak belum sampai sedekad pun menjadi Perdana Menteri, tetapi kita boleh lihat Lebuhraya Pan-Borneo sedang rancak dijalankan.


7) Saya sebagai rakyat Malaysia berasa sangat bersyukur mereka ini tidak menjadi kerajaan. Sudahlah pakatan lama mereka musnah, ditubuhkan pula pakatan baru yang tidak jelas arahan dan siapa ketuanya. Dasar dan janji mereka juga berubah-ubah yang menunjukkan mereka ini langsung tiada pendirian dan tidak layak menjadi kerajaan.

Jika mereka ini menjadi kerajaan, kita tidak pasti bagaimana mereka mampu mengemudi bahtera negara ini.

8) Rakyat Malaysia seharusnya melihat dengan sudut pandang yang lebih luas tentang kredibiliti pihak pembangkang ini. Apa yang pasti, bajet alternatif mereka ini hanyalah sekadar madah politik untuk mengaburi mata rakyat! Bertahun-tahun mereka melakonkan peranan yang sama.


*Budiman Mohd Zohdi*
Ahli Parlimen Sungai Besar / ADUN Sungai Panjang
26 Oktober 2017 / 9 pagi
25/17 v1

Leave a Reply