Cara Kreatif Untuk 'Menyangak' Selama Dua Dekad? · MYKMU.NET

Cara Kreatif Untuk ‘Menyangak’ Selama Dua Dekad?

Share

Perkataan ‘penyangak’ dan ‘pencuri’ tidak pernah lekang dari bibir warga emas itu sejak kebelakangan ini. Bukan saja dia, malah anaknya juga ‘terjangkit’ dengan sindrom gemar menyebut dua perkataan yang kini menjadi ‘zikir harian’ dua beranak itu.

Penulis yakin, dua perkataan tersebut sudah lama wujud di negara ini. Malah penulis juga sangat positif mengatakan kedua perkataan itu telah lama wujud di dalam dunia politik negara, khususnya di era 80’an dan menjelang milenium.

Cumanya di zaman tersebut mungkin ramai yang tidak berani menyebut dua perkataan tersebut. Jika disebut juga seperti beberapa pemimpin pembangkang, mungkin beberapa hari kemudian dia akan dihantar ke tahanan Kamunting untuk tempoh tertentu.

Berkenaan dua perkataan tersebut, ianya merujuk kepada pengertian yang agak subjektif dari sudut amalan, terutama bagi perkataan ‘penyangak’. Maksud penulis, perbuatan ‘menyangak’ ini mungkin boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk.

Sebagai contoh, sekiranya penulis berkuasa penuh, maka penulis boleh memaksa GLC kaya di negara ini seperti Petronas untuk ‘selamatkan’ syarikat milik anak penulis yang rugi besar. Dalam tindakan ini, penulis juga boleh diandaikan sebagai ‘penyangak’.

Dari aspek tindakan tersebut, penulis boleh dianggap telah ‘menyangakkan’ limpahan wang GLC negara yang sepatutnya boleh digunakan untuk manfaat rakyat umum, dan dilencongkan untuk menampung kerugian anak penulis sendiri.

Misalnya lagi, jika berkuasa, penulis juga boleh ‘menyangakkan’ wang GLC negara ini untuk memberikan kontrak fiber optik yang bernilai ratusan juta kepada syarikat milik anak penulis secara ‘anugerah’, tanpa perlu fikirkan tentang syarikat lain yang mungkin lebih layak.

Itu baru dua contoh tindakan seorang ‘penyangak’ terhadap syarikat-syarikat GLC negara untuk kepentingan diri sendiri. Walau pun tidak masuk ke dalam akaun bank penulis, keuntungannya masuk ke kocek anak penulis. Jika perlukan wang, minta saja pada anak, bukan?

Penulis yakin, dalam tempoh pentadbiran yang melebih dua dekad, maka sudah tentu banyak bentuk tindakan ‘menyangak’ yang boleh dilakukan mengikut kreativiti, kelicikan dan kebijaksanaan individu tertentu.

Jika tidak, masakan pula boleh dikatakan semua anak-anak dan kaum kerabat jadi kaya-raya, bergaya hidup mewah dan senang lenang tidak seperti rakyat biasa yang lain. Berapa banyak GLC di negara ini dan cuba selidik sendiri hubung kaitnya dengan keluarga tertentu itu…

Bagaimana pula jika perkataan ‘penyangak’ dan ‘pencuri’ itu dipadankan pula dengan perkataan lain seperti ‘kronisme’ dan ‘nepotisme’ yang begitu lantang dilaungkan di zaman reformasi sekitar lewat zaman 1990’an dulu?

Mungkinkah kronisme dan nepotisme itu merupakan kaedah-kaedah kreatif yang difikirkan untuk ‘menyangak’ wang negara di zaman tersebut? Bukan penulis yang kata begitu, tapi cubalah tanya pada seorang banduan yang kini dilaporkan berada di penjara Sungai Buloh…

Kata orang ramai, jika seseorang itu begitu gemar menuduh orang dengan suatu perlakuan itu tanpa memberi sebarang bukti kukuh, maka selalunya dialah sebenarnya yang melakukan apa yang dituduh tersebut. Benarkah begitu?

Dia menuduh orang lain sebagai ‘penyangak’ dan ‘pencuri’, tapi gagal membawa sebarang bukti malah kerap pula ‘kantoi berbohong’ serta ‘lupa’, apakah yang cuba dia sembunyikan? Apakah dia cuba sembunyikan segala tindakannya ‘menyangak’ dan ‘mencuri’ dulu?

Penulis tidak menuduh sesiapa. Namun begitu, siapa yang termakan cili, maka sudah tentulah dia yang akan terasa pedasnya. Di dunia ini mungkin dia boleh terlepas, tapi penulis yakin dia pasti akan ‘kantoi’ di akhirat kelak. Itu pasti!

Leave a Reply