Mudahnya Saifuddin Tertipu Dengan Keluhan ‘Miskin’

Sebaran :

Penulis terpanggil untuk mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, yang dilihat tidak berpuas hati dengan laporan Jabatan Perangkaan pendapatan isi rumah kumpulan sederhana meningkat kepada RM5,228 pada tahun lalu.

Saifuddin mendakwa, laporan tersebut kononnya tidak mencerminkan realiti takrifan sebenar tentang ‘kemiskinan’ yang dihadapi oleh masyarakat di negara ini, sekaligus memperlihat bagaimana ‘dengki’nya mereka terhadap kecekapan kerajaan menguruskan ekonomi negara.

Menyebut mengenai ‘kemiskinan’, perkataan itu membawa pengertian yang cukup subjektif dan melambangkan kehidupan sebenar masyarakat di negara ini. Laporan itu menjelaskan tentang tahap kehidupan golongan sederhana, tapi dia mengaitkannya dengan ‘kemiskinan’?

Penulis cukup suka mengulas mengenai kemiskinan. Bukan hanya penulis sahaja, namun ramai di kalangan rakan-rakan penulis sendiri berasal serta membesar dalam lingkungan golongan miskin dan susah.

Kami pernah mengharungi getir payah hidup ketika kecil sehinggalah dewasa. Melihat murid, pelajar dan siswa-siswi yang hidup selesa di zaman ini sering membuat kami bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepada kerajaan.

Takrifan kemiskinan bagaimana yang Saifuddin mahu ia ditakrifkan untuk golongan sederhana di negara ini? Apakah dia mahu ia dinilai dari sudut pendapatan, pemilikan harta atau gaya hidup golongan sederhana?

Pada pandangan penulis, dari sudut pendapatan majoriti rakyat, sememangnya ia meningkat setiap tahun. Sama ada penjawat awam atau swasta, normalnya memang meningkat. Lainlah berlaku sesuatu yang ‘luar biasa’.

‘Luar biasa’ yang penulis maksudkan mungkin membabitkan faktor dalaman seperti dibuang kerja gara-gara tidak berdisiplin atau faktor luaran seperti syarikat bankrap dan sebagainya. Itu normal dan mana-mana negara pun berlaku. Tapi sangat minimum berlaku di negara ini.

Dari sudut pemilikan harta, terbukti di hadapan penulis sendiri di mana ramai di kalangan rakan penulis yang dulu hanya naik bas mini, kini mampu memiliki kenderaan dan rumah sendiri. Ada yang mampu beli sebidang tanah kecil. Sedangkan, kami semua dulu miskin.

Tentang soal gaya hidup, maka disinilah faktor kritikal sebenar yang menentukan seseorang itu miskin atau tidak!

Salah seorang rakan penulis, Abu (bukan nama sebenar) dulunya hanya berpendapatan RM500 sebulan termasuk ‘overtime’ dan kini berpendapatan kira-kira RM10,000 sebulan. Dia memiliki kenderaan, sebuah rumah dan sudah berkeluarga.

Seorang lagi rakan penulis pula bernama Atan (juga bukan nama sebenar), dulu berpendapatan RM550, kini berpendapatan kira-kira RM7,000 sebulan, memiliki kereta, motosikal, dua buah rumah dan juga sudah berkeluarga.

Tidak banyak beza peningkatan dari aspek pendapatan dan pemilikan harta antara Abu dan Atan. Namun beza yang sangat ketara ialah tentang gaya hidup mereka. Abu selalu ‘putus duit’ dan mengeluh ‘miskin’, manakala Atan pula sentiasa selesa dengan kehidupannya.

Kenapa jadi begitu? Ia adalah kerana pendapatan Abu adalah RM10,000, namun belanja bulanannya mencecah RM15,000 melibatkan perbelanjaan gaya hidup lebih 60 peratus. Restoran eksklusif, makanan segera, hampir setiap bulan melancong, kenderaan mewah dibeli baru dan rumah banglo 3 tingkat menjadi pilihannya.

Abu juga ‘mengajar’ keluarganya mengikut trend ‘Apple’ dengan iPhone, Macbook dan gajet yang terkini, tengok wayang hampi setiap minggu, sekolah di ‘private school’ dan pakaian yang berjenama hebat. Gaya hidupnya jelas memerlukan kos yang tinggi.

Berbanding Atan, dia memiliki kereta buatan luar negara tetapi ‘secondhand’, sebuah kapcai dibuat berulang alik ke masjid bersama anak lelakinya, sebuah rumah semi-D dan sebuah rumah kos rendah dibuat sewa. Belanja bulanannya tidak sampai RM4,000 sebulan.

Isteri Atan memasak di rumah, Atan pula manfaatkan ruang kecil di belakang rumah dengan kebun sayur mininya. Makan di restoran eksklusif dan makanan segera hanya anggaran sebulan sekali, serta hanya bercuti bersama keluarga setahun dua kali.

Lebih menarik, Atan mampu menyimpan pendapatannya hampir RM1,000 setiap bulan, yang membolehkannya menunaikan haji (pakej) dan sudah 4 kali dijemput Allah menunaikan umrah. Anak-anaknya pula tetap cemerlang di sekolah kebangsaan biasa!

Contoh dua rakan baik penulis ini juga hampir sama seperti golongan ‘miskin’ yang kononnya ‘miskin’ di negara ini. ‘Miskin’ di negara ini, mereka masih mampu beli telefon pintar mahal, beli data internet dan mengeluh ‘miskin’ di media sosial.

‘Miskin’ di negara ini juga memuat naik gambar menarik mereka bercuti di lokasi pelancongan di media sosial. Malah mereka tidak malu memuat naik gambar di gimnasium, Wira mereka jadi ‘Evo’, minum di Starbucks, namun kemudian mengeluh ‘miskin’.

Apakah ini yang ditakrifkan Saifuddin sebagai ‘miskin’ di negara kita? Atau mindanya sendiri yang gagal berfungsi waras dan tewas dengan keluhan ‘miskin’ yang sebenarnya mampu jadi ‘kaya’ ini? Apakah terlalu lemah minda Saifuddin atau sengaja berlakon tidak tahu berfikir?

Bila ditimbulkan isu gaya hidup sebegitu, maka akan ada yang mengatakan ‘takkanlah mahu mundur hidup seperti zaman dahulu?’. Penulis tidak bermaksud suruh mundur ke belakang. Namun jika mahu berbelanja, ukurlah baju di badan sendiri.

Abu misalnya setelah ‘dibasuh’ penulis dan beberapa rakan kami, telah berjaya mengubah kehidupannya. Hasilnya, dia kini memiliki dua buah kedai dobi layan diri dan tidak lagi bergaya semewah dulu. Paling penting, dia berjaya bayar kembali duit yang dipinjam dari kami dulu!

Justeru, mengulas mengenai ‘miskin’ di zaman ini, tidak perlulah terlalu bersandar kepada politik. Jangan pura-pura hidup susah sedangkan kita mampu jadi lebih kaya dari orang yang bergaji RM20,000 sebulan.

Asalkan berkat, bersyukur, bersedekah dan bijak membelanjakan rezeki Allah, insha Allah dibentangkan Allah rezeki yang melimpah ruah! Soalnya, sediakah kita mengubah gaya hidup dan berhenti mengeluh? Terserahlah jika mahu terus ‘miskin’ selama-lamanya…


Sebaran :

One thought on “Mudahnya Saifuddin Tertipu Dengan Keluhan ‘Miskin’

  • PKR sentiasa cuba hendak mengelirukan rakyat. Inilah pun senjata mereka bagi mengekalkan survival penerimaan rakyat dlm kancah politik hari ini. Politik kebencian disemai untuk meletakkan diri mereka sebagai suci dan sempurna , sedangkan mereka pun gagal teruk di Selangor

    Reply

Leave a Reply