Sogokan RM5 juta, Syed Saddiq berdolak-dalik

Sebaran :

Melangkah masuk ke bilik mesyuarat di sebuah hotel terkemuka di sini dengan wajah penuh yakin, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seterusnya berdiri di rostrum namun kemudian diminta berucap di sebuah meja yang telah siap dipasang mikrofon oleh pengamal media.

Beliau kemudiannya duduk dan memulakan sidang akhbar setelah lewat hampir setengah jam daripada jadual asal, pukul 11.30 pagi dengan memberitahu bahawa ada tiga pengumuman penting yang ingin dibuat kononnya tanpa pengetahuan pucuk pimpinan parti.

Syed Saddiq berkata, sebagai salah seorang pengasas PPBM beliau melihat wujud satu gerakan secara sistematik yang cuba mempengaruhi kepimpinan tertinggi parti supaya meninggalkan perjuangan mereka.

Seterusnya, pemuda berusia 25 tahun itu mendedahkan wujud cubaan mengeluarkannya daripada PPBM oleh rangkaian yang dikawal dari Pejabat Perdana Menteri dan dirancang oleh penasihat kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Habibul Rahman Kadir Shah.

Katanya, dia tidak akan terpengaruh dengan tawaran sebanyak RM5 juta berserta geran bagi membuka sekolah debat di seluruh negara itu sebaliknya mengingatkan gerakan tersebut jika terdapat serangan peribadi ditujukan kepada keluarganya, dia akan mendedahkan secara terperinci mereka yang terlibat kerana mempunyai bukti yang kukuh.

Menurut beliau, jika rangkaian tersebut berharap dengan membantu menganjurkan sidang media hari ini mampu menjual maruah dirinya, mereka adalah salah kerana dia tidak berminat dengan apa yang ditawarkan.

Selain itu, Ketua Armada PPBM tersebut mengumumkan mengenai keputusannya menolak tawaran melanjutkan pengajian Sarjana Pengajian Awam di salah sebuah universiti paling berprestij di dunia, Universiti Oxford sekali gus membuatkannya kehilangan biasiswa kira-kira RM400,000.

Pengumuman terakhir didedahkan Syed Saddiq adalah dia mungkin akan gagal dan tenggelam dalam perjuangannya jika tidak mengamalkan konsep politik baharu yang lebih memberi fokus kepada rakyat berbanding serangan bertali arus kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Namun, ketika ditanya mengapa dia tidak terus sahaja melaporkan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syed Saddiq dilihat berdolak-dalik dan kemudiannya memberitahu, hanya akan membuat laporan jika ada laporan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa diterima, biarpun sebelum itu baharu sahaja menyebut sogokan yang cuba diberikan kepadanya untuk keluar parti.

“Saya akan bincang dengan peguam, kalau ada apa-apa tawaran yang berkaitan rasuah, salah guna kuasa, saya akan laporkan terus kepada SPRM. Terutama jika mereka hendak guna serangan peribadi semua kerana jenayah sepatutnya tiada kompromi, kena laporkan.

Utusan


Sebaran :

3 thoughts on “Sogokan RM5 juta, Syed Saddiq berdolak-dalik

  • Jika Syed Sadik tidak berkata benar atau memfitnah, segeralah pihak yg berkenaan itu saman. Itu je cara yg sesuai untuk membuktikan.

    Reply
    • ini sadiq sigaraga punya agkara

      Reply
  • Ilmu ekonominya sangat rendah ,kononya dgn hantar pulang pekerja asing boleh tampung kehilangan cukai GST, bila PPBM hapuskan GST nanti.Sepatutnya beliau pergi saja belajar ke Oxford tu dulu ,supaya lebih layak utk mentadbir negara dan boleh memperkukuhkan lagi PPBM.Budak ni syok sendiri,je.

    Reply

Leave a Reply