Najib Hadir Hari Pahlawan Di Putrajaya, Sambutan Di Seluruh Negara

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menghadiri sambutan Hari Pahlawan 2017 yang dilangsungkan dengan penuh istiadat di Dataran Pahlawan Negara di sini.

Ketibaan Najib bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada 9 pagi disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Turut serta ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Selepas menerima tabik hormat daripada 606 anggota serta bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), perdana menteri kemudian melakukan pemeriksaan barisan Kawalan Kehormatan Utama melibatkan 103 anggota dan empat pegawai PDRM, diketuai Timbalan Supt Polis Mohd Farid Padzillah.

Majlis diteruskan dengan upacara Tiupan Paluan Akhir, iaitu Jalur Gemilang diturunkan disusuli dengan bacaan sajak ‘Pahlawan’, oleh gabungan penyajak daripada PDRM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Presembahan pantomin di Dataran Pahlawan Negara

Penonton kemudian disajikan dengan persembahan pantomin pengisahan sejarah pejuang-pejuang negara yang mengkhususkan Ops Kelisa oleh Pasukan F atau F-Team PDRM yang melakukan operasi membanteras pengganas komunis di Mentakab, Pahang pada 1986.

Usai persembahan, tiupan Paluan Fajar dibunyikan diikuti Jalung Gemilang dinaikkan, simbolik kepada semangat bangkit melawan pasukan keselamatan sebelum sesuatu operasi dilancarkan disusuli bacaan doa sebagai tanda majlis berakhir.

Di KOTA KINABALU, lebih 3,000 orang hadir memeriahkan sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Sabah di Kompleks Sukan Likas.

Sambutan penuh adat istiadat kepahlawanan itu dimulakan dengan acara tabik hormat Diraja daripada kawalan kehormat dianggotai tiga pegawai dan 100 anggota panji-panji Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja diikuti pemeriksaan kawalan kehormat oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin; Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Wakiman dan menteri-menteri Kabinet Sabah.

Sambutan itu diteruskan dengan tiupan ‘Paluan Akhir’, pelbagai persembahan termasuk deklamasi sajak dan persembahan khas seni mempertahankan diri serta hadirin turut bertafakur seketika bagi mengenang pahlawan negara yang terkorban.

Di PETRA JAYA , KUCHING, seramai 150 pesara tentera dan polis menerima pingat sempena istiadat sambutan peringkat negeri Sarawak yang berlangsung di Atrium Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak..

Seramai 75 orang pesara tentera menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan lima pesara polis menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) masing-masing daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Abdul Taib Mahmud.

— BERNAMA

Leave a Reply