KWSP Nikmati Pulangan Tinggi Daripada Pelaburan Di AS – Najib

Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Amerika Syarikat (AS) merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan globalnya bagi membolehkan pencarum menikmati dividen tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pelaburan KWSP di AS telah membawa pulangan tinggi sebanyak 11.1 peratus berbanding kira-kira 7.0 peratus apabila melabur di pasaran tempatan.

“Mereka yang mendapat manfaat (daripada pelaburan di AS) ialah kakitangan, pencarum KWSP (daripada) dividen anda. Oleh itu, kita mesti mempunyai strategi global untuk melabur di AS. Ini bukan suatu yang baharu, ia telah bermula sejak 2008,”katanya pada majlis “Jom Bersama TM”, di sini, hari ini.

Najib berkata pelaburan di luar negara ini akan bertambah dari semasa ke semasa di mana keputusan untuk melabur tersebut dibuat oleh jawatankuasa pelaburan syarikat terbabit dan bukan oleh Perdana Menteri atau ahli-ahli politik.

“Saya tidak mengarahkan dia (syarikat terbabit untuk melabur), tetapi saya meminta supaya investment (pelaburan) (yang ingin dibuat) dipilih mengikut kriteria iaitu pulangan terbaik di samping risiko yang rendah. Kita perlu mengimbangi (pelaburan kita) antara dua perkara itu.

“Bila kita sudah invest (labur) dan dapat untung, kita akan bawa balik (keuntungan tersebut). Seperti yang dilakukan oleh Khazanah (Nasional Bhd) yang melabur di AliBaba (Group) dan Khazanah berjaya jana pulangan lebih dari US$1 bilion,”katanya.

Selain itu, Najib turut membidas kenyataan tidak berasas daripada sesetengah pihak berkenaan rancangan pelaburan KWSP di AS yang disifatkan oleh beliau sebagai cuba untuk mengelirukan dan menaikkan kemarahan rakyat.

“Apabila saya diundang oleh Presiden Donald Trump ke Rumah Putih, saya pergi ke sana sebagai mewakili sebuah negara yang berjaya. Saya ke sana bukan untuk melutut atau meminta sedekah atau pinjaman daripada beliau (Trump).

“Saya ke sana untuk memaklumkan kepada beliau yang negara kita mempunyai kemampuan menjadi pelabur global,”katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.