Keluar Parti: Bila ‘Dia’ Mahu Ucap Tahniah Pada Diri Sendiri?

Semalam, kecoh diperkatakan tentang kembalinya bekas ahli PAS dan PKR, Tan Sri Muhammad Taib. Kembalinya beliau yang juga merupakan bekas Naib Presiden UMNO dan Menteri Besar Selangor ke pangkuan UMNO menjadi bahan sindiran sinis.

Seorang warga emas yang bagaikan enggan kembali ke tikar sejadah di usia tuanya turut menyindir Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kononnya tidak wajar memanggil MT UMNO dan membuat sidang media untuk mengumumkan tindakan Muhammad itu.

Pada pandangan penulis, tindakan Muhammad untuk kembali kepada UMNO merupakan satu tindakan biasa bagi mereka yang insaf setelah beberapa tahun bergelumang dengan perjuangan palsu dan retorik politik pembangkang. Itu biasa.

Namun begitu, mereka yang mengkritik sidang media Presiden UMNO itu mungkin tidak memahami mesej jelas yang cuba disampaikan.

Pada penulis, ia bukan saja bertujuan untuk memperlihatkan betapa ‘kosmetik’ dan ‘plastik’nya pakatan pembangkang, malah sidang media itu menunjukkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang berteraskan institusi politik yang membuat keputusan secara berjemaah atau konsensus.

Ia menjelaskan bahawa sebarang keputusan besar parti, termasuk mengenai permohonan seorang yang pernah mengkhianati parti itu dilihat sebagai suatu yang perlu diputuskan bersama, sekaligus tiada corak autokratik, malah demokrasi kembali subur di dalam UMNO selepas tamatnya era ‘kuku besi’ yang ‘maha-zalim’.

Apa yang berlaku semalam juga membezakan UMNO dengan parti serpihannya yang lain, khususnya parti ‘cap bunga’ yang sebelum ini memecat seorang pemimpin dan pengasasnya hanya melalui kiriman Whatsapp. Wujud sistem yang teratur dan rasmi di dalam UMNO.

Berhubung sindiran ‘tahniah’ warga emas itu semalam, ia merupakan satu tindakan yang menjadi kebiasaannya. Memang caranya suka menyindir. Ia bukan suatu yang luar biasa baginya. Jika Rasulullah SAW pun pernah dipersenda, inikan pula Najib dan Muhammad.

Cuma, penulis tertanya-tanya juga tentang bila lagi warga emas itu mahu mengucapkan ‘tahniah’ kepada pemimpin-pemimpin utama, ahli dan ribuan lagi ‘penyokong’ parti ‘cap bunga’ yang enggan lagi bersama partinya?

Antaranya adalah pengasas parti ‘cap bunga’, Kamarulazman Habibur Rahman dan Anina Saaduddin, Naib Presiden ‘cap bunga’, Dato’ Hamidah Osman dan adiknya Hamizura, serta ribuan lagi ahli dan penyokongnya telah membuat ‘pusingan U’.

Meskipun tidak jelas sama ada mereka akan kembali berjuang untuk UMNO atau tidak, ia adalah petanda jelas bahawa memang suatu yang serius sedang berlaku di dalam parti itu sama ada di peringkat tertinggi atau akar umbinya.

Sebelum ini kecoh diperkatakan pergaduhan hebat di antara kem ‘warga emas’ dan kem bekas ‘orang UMNO totok’ di dalam parti ‘cap bunga’. Sejak ditubuhkan secara rasmi dan kini berusia setahun ‘jagung’, semakin ramai yang keluar dari parti itu.

Jika dilihat pada alasan untuk keluar parti, majoritinya senada mengatakan mereka kecewa pada kepimpinan ‘cap bunga’ yang tebal dengan budaya kronisme, nepotisme dan tidak lagi menghiraukan suara akar umbi sebagaimana sebelum parti itu ditubuhkan.

Penulis tersenyum. Mungkin sudah ‘terhantuk, baru tengadah’. Mereka bagaikan tidak kenal pada warga emas itu. Sudah diberitahu bekas timbalannya yang dia pecat sebelum ini tentang gaya politiknya dulu yang terkenal dengan kronisme dan nepotisme, namun masih lagi tidak percaya? Sudah terkena, baru tahu…

Mungkin kerana itulah parti ‘cap bunga’ tidak berani secara rasmi untuk mendedahkan jumlah keahlian mereka yang sebenar kepada rakyat. Dikatakan kononnya sudah lebih sejuta, tapi di bahagian-bahagian khabarnya hanya puluhan dan tidak sampai 200 orang?

Keadaan terkini parti ‘cap bunga’ itu pada pandangan penulis amat memalukan. Bukan saja ia tidak mampu menandingi PAS, hendak dikata mampu menandingi PKR pun rasanya mereka tidak mampu. Itu pun ada hati mahu jadi Perdana Menteri? Tepuk dada, nilailah sendiri…

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.