Geram PAS Berubah Sikap, ‘Warga Emas’ Serang Bertalu-talu?

Sejak akhir-akhir ini, penulis melihat ‘warga emas’ yang sewajarnya tidak lekang dengan tikar sejadah itu kian galak menyerang PAS. Macam-macam yang dia kutuk parti itu. Tidak cukup tentang isu-isu semasa, dia hentam ungkit kisah lama.

Baru-baru ini penulis tersengih apabila mendapat tahu bahawa Mahathir menuduh Amanat Haji Hadi pada awal 1980’an dulu sebagai punca berlakunya peristiwa Memali di Baling. Kononnya Memali berlaku melibatkan sekumpulan aktivis PAS mahu jatuhkan kerajaan yang dipimpinnya?

Lantas dia mengungkit kembali kisah silam tentang ‘solat dua imam’, ‘ibu tidak mengaku anak’ dan kesan-kesan buruk yang berlaku di zaman itu. Skandal forex BNM dia ‘tidak tahu’, tapi tragedi Memali tahu pula dia. Tertanya-tanya juga penulis dibuatnya…

Mungkin benar kesan-kesan Amanat Haji Hadi itu berlaku seperti yang dikatakan ‘warga emas’ itu. Namun itu semua sudah berlalu. Ia cuma berlaku di zaman dia memerintah. Di zaman ‘kuku besi’, zaman ‘maha-firaun’, zaman ‘diktator’, di zaman ‘maha-zalim’.

Zaman-zaman itu sudah berlalu. UMNO, BN dan pucuk kepimpinan sudah berubah serta membawa pendekatan baru. Mungkin banyak ‘najis-najis’ di zaman itu, maka teruklah kepimpinan masa kini menerima kesan buruknya. Padanlah teruk benar membersihkan kekotoran silam berkenaan.

Kita semua sudah tentu tahu tentang konsep ’cause and effect’. Setiap apa yang berlaku sudah tentu memberi kesan. Mungkin di zaman ‘serba zalim’, ‘serba kronisme’, ‘serba nepotisme’ dan ‘serba diktator’, maka ia menjadi punca PAS bereaksi sedemikian.

Lazimnya, manusia hanya akan bertindak balas apabila tidak dapat lagi menahan tindakan terhadapnya. Maka mungkin atas dasar dan tindakan ‘warga emas’ itu dari sudut mata PAS, maka terpacullah kata-kata begitu dari pemimpin radikal seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang terkenal keras di masa mudanya.

Namun kini tidak lagi. Pendekatan UMNO dan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak jelas berbeza. Dasar-dasar yang lebih realistik dilaksanakan. Tiada lagi ‘zalim’ atau ‘firaun’, tidak wujud lagi ‘kronisme’ atau ‘nepotisme’ peninggalan ‘warga emas’ itu.

Mungkin ada beberapa perkara dasar lama yang diteruskan, namun ditambahbaik dan diubahsuai supaya lebih memberi manfaat kepada semua rakyat, tidak kepada kaum-kerabat dan sahabat handai terpilih sahaja.

Maka berkemungkinan besar kerana perubahan tersebut telah mencetus reaksi balas dari PAS yang juga mengambil keputusan untuk berubah pendekatan terhadap UMNO dan Kerajaan. Tidak lagi keras, namun lebih ‘mesra’ dalam memberi teguran.

Lebih jelas lagi, boleh dikatakan tidak ada lagi ketaksuban melampau sebagaimana di zaman ‘warga emas’. Tiada lagi ‘solat dua imam’, tiada lagi ‘tidak hadir jemputan kenduri kerana perbezaan parti’, tiada lagi ‘ibu tidak mengaku anak’ dan kisah seumpamanya.

Jika ada pun, ia hanyalah terlalu terpencil, saki baki degil yang enggan melupakan kezaliman seorang ‘diktator’ yang dulu bermaharajalela dengan kuasa yang ada. Penulis yakin, ia lambat laun akan pupus ditelan dek zaman…

Justeru itu, untuk apa diungkitkan kembali kenangan di zamannya yang dia sendiri puncanya? ‘Warga emas’ itu pada pandangan penulis cukup bernasib baik, jika Allah SWT lanjutkan usia Almarhum Datuk Fadzil Noor, mungkin teruk dia ‘dikerjakan’ arwah kini.

Apa yang melucukan penulis, dia mendakwa arwah Ibrahim Libya kononnya mahu menjatuhkan kerajaan yang dipimpinnya ketika itu? “Memali berlaku kerana ajaran dari Amanat Haji Hadi yang berkata bahawa kalau mereka mati cuba nak menjatuhkan kerajaan kafir ini, mereka mati syahid,” begitu katanya?

Adalah sangat tidak logik sekiranya sekumpulan aktivis PAS yang berjumlah kurang 25 orang yang berada di Kampung Memali, Baling, mampu untuk menjatuhkan sebuah Kerajaan Persekutuan yang lengkap dengan tentera bersenjata.

Dengan PDRM, ATDM, TUDM, TLDM dan sebagainya, mampukah kumpulan arwah Ibrahim Libya yang rata-ratanya bersenjatakan parang berdepan dengan M16, kereta perisai, mortar, bazooka dan sebagainya? Rasanya hendak tawan balai polis pun tidak mampu, inikan pula mahu jatuhkan kerajaan!

Namun begitu, penulis berpandangan bahawa rakyat dan khususnya penyokong PAS dapat membuat penilaian sendiri terhadap ‘warga emas’ tersebut. Dia mungkin boleh menipu ‘budak kanyaq’, namun penulis yakin bahawa rakyat di luar sana tahu apa sebenarnya yang berlaku…

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.