Anwar Mahu PAS Semata-Mata Untuk Jadi ‘Kuda Politik’?

Agak mengejutkan apabila seorang banduan diberikan keistimewaan untuk memberi kenyataan kepada media. Apatah lagi banduan berkenaan bukanlah disabit kesalahan kecil, malah satu jenayah yang abnormal, tidak bermoral dan memalukan.

Namun kenyataan pemimpin tertinggi PKR itu sudah ‘terlepas keluar’, maka kita dapat fahami corak pemikiran yang dimiliki banduan jenayah itu. Tiada yang mengejutkan, bahkan bagai sudah dijangka kenyataannya begitu.

“Namun saya perlu menjelaskan bahawa komitmen PKR teguh dan kukuh bersama Pakatan Harapan seperti mana yang dizahirkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sejak awal lagi.

“Apa yang diusulkan dan dipersetujui Biro Politik sebelum ini adalah tidak memusuhi PAS, mengkaji kemungkinan mengelak pertarungan tiga penjuru. Pertimbangannya adalah menggembeleng seluruh kekuatan dalam menghadapi Umno-BN dalam PRU-14.”, kata banduan tersebut.

Dari kenyataan diatas, adalah jelas bahawa PKR sememangnya berpegang kepada keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PAS pada PRU ke-14 nanti.

Namun begitu, banduan itu menjelaskan bahawa pendekatan PKR perlu tidak memusuhi PAS semata-mata bagi mengelak pertandingan 3 penjuru pada PRU kelak.

Dari kenyataan itu, adalah terbukti bahawa PKR mengambil keputusan untuk tidak bermusuh dengan PAS hanya kerana bermotifkan politik semata-mata. Parti itu tidak mahu pertembungan 3 penjuru di antara parti di dalam Pakatan Harapan dengan PAS dan BN.

Meneliti lebih lanjut, tiada sebarang kenyataan yang melambangkan semangat ukhuwah mahupun persaudaraan, atau sebarang unsur murni yang menyatukan atas prinsip moral atau agama. Ia hanya menyentuh soal politik semata-mata.

Pada pandangan penulis, banduan itu sedar bahawa PKR tidak mungkin akan berjaya memenangi banyak kerusi sebagaimana yang berlaku pada PRU ke-13 lalu. Malah, kemungkinan dengan sentimen penyokong PAS kini, kubu kuat PKR di Permatan Pauh pun turut terancam.

PKR dan khususnya Dato’ Seri Azmin Ali mungkin sedar bahawa tanpa PAS, amat sukar bagi mereka untuk memenangi hati pengundi, khususnya di Selangor. Bahkan kerusi Azmin sebagai Menteri Besar Selangor amat terancam tanpa sokongan PAS.

Jadi, tidak hairanlah jika Azmin sanggup berdepan dengan pelbagai kemungkinan untuk cuba berbaik-baik dengan PAS sebelum PRU berlangsung. Mungkin jika benar pun Pakatan tetap menguasai Selangor, namun kebarangkalian orang lain dilantik menjadi Menteri Besar adalah sangat tinggi berbanding dirinya selepas ‘diceraikan’ PAS.

Tumpuan sebenarnya adalah pada PAS sendiri sama ada parti itu tetap pendiriannya untuk terus istiqamah dengan ketegasannya untuk tidak menjadi ‘keldai tunggangan’ semula seperti dulu.

PAS sebelum ini bertegas rela ‘kalah politik’ asalkan perjuangannya kekal diredhai Allah SWT. Kata mudahnya, biar kalah PRU asalkan tetap mendapat redha Allah. Persoalannya, apakah PAS sanggup buat ‘u-turn’ dan kembali berkiblatkan politik seperti sebelum ini?

Kita sama-sama nantikan PRU ke-14. PRU kali ini akan menjelaskan siapa PAS dan apakah ‘warna sebenar’ parti itu. Antara negeri tumpuan adalah Kelantan, Selangor, Kedah, Johor, Perak dan Pulau Pinang, manakala umumnya adalah di peringkat Persekutuan.

Apakah langkah PAS akan tetap konsisten bersama Gagasan Sejahtera? Atau gagasan itu akan ditalkinkan dan PAS akan menyertai Pakatan Harapan bersama ‘cap bunga’, PKR dan PAN yang dikuasai DAP? Sanggupkah PAS khianat pada perjuangan asalnya dan jadi seperti Mahathir?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.