Malaysiakini ambil kesempatan guna ruang komen netizen

Portal berita pembangkang, Malaysiakini dilihat sengaja mengambil kesempatan menggunakan ruangan komen pembaca sebagai alat untuk membangkitkan suasana menjelikkan dalam kalangan masyarakat.

Pensyarah Kanan Hakcipta dan Penerbitan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Nora Nordin berkata, atas sebab itu editorial Malaysiakini tidak menapis komen tersebut walaupun ramai dalam kalangan pembaca menggunakan perkataan kurang sopan dan berbaur hasutan.

Kata beliau, lebih menyedihkan, apabila pembaca semakin rancak berbalas komen mengenai sesuatu isu hingga berlaku perselisihan, Malaysiakini bertindak membuat berita susulan daripada situasi yang berlaku itu.

“Apa tujuan dan niat sebenar Malayskiakini membiarkan komen-komen sedemikian kalau bukan mahu melaga-lagakan dan menimbulkan suasana ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Cukup menyedihkan apabila pengamal media baharu seperti Malaysiakini gagal menterjemahkan penulisan berita dengan tanggungjawab dan tindakan seperti ini telah memalukan industri media tempatan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan portal Malaysiakini yang terus menyiarkan komen pembaca walaupun menyentuh perkara subjudis dan sensitiviti masyarakat negara ini seperti institusi raja dan agama.

Sehubungan itu, Nora menggesa supaya pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan yang serius terhadap Malaysiakini dan turut memantau portal serta blog lain yang menyediakan ruang komen secara terbuka daripada pembaca.

Sementara itu, bekas Profesor di Jabatan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Safar Hasim berkata, meskipun Malaysiakini meletakkan peringatan bahawa komen tersebut tidak mewakili pandangan mereka namun itu bukan alasan untuk lepas tangan.

Kata beliau, tindakan undang-undang masih boleh dikenakan terhadap Malaysiakini kerana mereka yang bertanggungjawab memperkenal dan mengendalikan ruangan komen pada laman portal tersebut.

“Kita menyedari masyarakat berhak bersuara dan kita bukan menyekat mereka daripada menyuarakan pandangan masing-masing tetapi kalau pendapat yang bersifat emosional, tiada fakta yang kukuh dan hanya menimbulkan persepsi serta fitnah, apa ertinya bersuara?

“SKMM dan pihak polis perlu melihat perkara ini secara serius,” katanya.

Utusan

2 thoughts on “Malaysiakini ambil kesempatan guna ruang komen netizen

  • August 27, 2017 at 11:22
    Permalink

    Malaysiakini dan Free Malaysia Today..kedua-dua media ini dikuasai oleh mereka pro pembangkang..mereka bijak..cukup menyakitkan hati apabila mereka mengambil pendapat pendapat orang islam yang liberal dan tidak punyai asas agama memberi ulasan dalam portal mereka dlm isu-isu agama islam.. atas alasan kebebasan bersuara dan kebebasan hak..mengapa mereka menganggu urusan keagamaan islam kita?Apakah kerajaan menghalang mereka mengamalkan agama mereka..begitu besar binaan2 gereja,tokong, kuil tertegak diatas bumi Malaysia,apa lagi mereka nak?
    kerajaan patut mengambil tindakan terhadap portal2 spt ini..sebelum berlaku perkara2 yg tidak diingini!

    Reply
  • August 27, 2017 at 17:11
    Permalink

    Ambil tindakan terhadap Malaysiakini kerana komen2 negatif akan memberi impak yg negatif juga.

    Reply

Leave a Reply