Takkan Terpedaya Lagi Pada Retorik Politik Sindiran Warga Emas Itu…

Share
Meskipun sudah berusia lanjut, namun ternyata salah satu corak politik kegemarannya masih belum berubah. Dia masih gemar menjawab soalan yang diajukan secara sinikal atau sacarstik sebagaimana dia dulu.

Pagi tadi dia menjawab soalan pemberita lagi. Dia ditanya tentang dakwaan yang mengatakan media dikongkong kerajaan dengan lebih ketat di zamannya memerintah dan tentang khabar palsu yang mengatakan dia sakit baru-baru ini.

Menyindir terhadap dua pertanyaan itu, dia menyindir beberapa media yang dikatakan ‘tidak dikongkong’ dan melabel dirinya sebagai ‘demon’. Manakala tentang sakit, dia menyatakan ramai yang mahu dia mati.

Bagi mereka yang mengenali gaya politiknya, mereka mudah dapat meneka jawapan seperti itu akan terpacul dari mulut warga emas itu. Dengan taktik sindiran, dia yakin ramai akan simpati padanya, menafikan dia sebagaimana didakwa dan akan menyebelahinya.

Namun begitu, sebagai manusia yang berakal, waras berfikir dan mampu rasional, mereka akan menyedari bahawa warga emas itu telah menggunakan gaya retorik politik itu berpuluh tahun sebelum ini, terutama ketika dia menjadi Perdana Menteri.

Jadi, tidak mudah bagi mereka yang mengenali corak politik Mahathir itu untuk terpengaruh dengan retorik yang dia pamerkan. Malah, mereka mungkin akan mencebik dan menggeleng-gelengkan kepala, kesal melihat dia masih lagi belum berubah sikap.

Pada pandangan penulis, rasanya tidak ramai yang mahukan dia mati. Mungkin juga ada, namun tidak ramai sebenarnya. Malah penulis yakin bahawa ramai yang mahu dia dilanjutkan usia, dipanjangkan umurnya.

Kenapa? Kerana pada pandangan penulis, terlalu banyak ‘hutang’ yang perlu dia lunaskan. Bukan saja kepada mereka-mereka yang merasakan pernah terjejas dari tindakannya dulu, malah pelbagai ‘everthing to hide’ yang perlu diperjelaskan sementara dia masih bernyawa.

Ia bukanlah bermaksud dia perlu menjawab semua soalan. Ramai lagi saksi-saksi hidup di negara kita. Namun, merungkai kebenaran dari ‘everything to hide’ di zamannya dulu perlu menyeluruh di kala dia perlu hadapi pembongkaran demi pembongkaran yang ‘ditutup rapat’ ketika dia berkuasa dulu.

Misalnya, media melaporkan tentang sidang RCI hari ini membongkarkan tentang arahan dari Tan Sri Nor Mohamed Yakcop kepada pegawai BNM untuk melakukan transaksi berjumlah USD$800 juta ke luar negara meskipun hadnya hanya USD$30 juta sahaja.

Pegawai itu bertugas sebagai peniaga matawang asing BNM bermula pada 1989 hingga 1998 dan berhenti bertugas daripada BNM pada tahun 2000. Berkuasa sangatkah Nor Mohamad dalam tempoh itu sehingga berani melanggar undang-undang institusi kewangan negara?

Persoalan yang timbul, siapa pula yang lantik Nor Mohamad sebagai Penasihat BNM dan berkuasa penuh untuk memecatnya dari jawatan itu? Apakah dia tidak tahu tentang arahan dan transaksi ‘mega RM’ itu? Kenapa pula didiamkan?

Penulis tidak menuduh sesiapa bersalah dalam persoalan ini, namun cuma mencari jawapan yang tepat dan benar berdasarkan kes yang sedang menjadi tumpuan ramai. Biarlah segalanya dirungkai ketika warga emas itu masih hidup berbanding dia sudah ditalkinkan. Kita mengharapkan agar dia insaf dan kembali ke pangkal jalan, itu saja.

Tentang media dikongkong di zaman dia memerintah berbanding kebebasan media di zaman ini, apakah tidak benar dakwaan itu?

Pada pandangan penulis, di zaman warga emas itu memerintah, kemudahan internet masih bertatih. Untuk akses internet pun ‘berjanggut’ menunggu. Tiada media online ketika itu, malah media sosial pun belum lahir lagi di Malaysia.

Namun, jika digambarkan ada akhbar yang mirip atau serupa Malaysiakini dalam bentuk akhbar di zamannya, maka penulis yakin jangka hayatnya mungkin hanya akan mencecah 3 bulan. Itu pun sudap cukup lama.

Mungkin bagi masuk seminggu beroperasi, akhbar pro-pembangkang itu akan diserbu pihak berkuasa, pejabat disita dan tindakan diambil terhadap pengendalinya. Langkah seterusnya memungkinkan ia diumumkan sebagai ‘haram’ dan ‘diharamkan’ selama-lamanya…

Cuba lihat apa yang berlaku pada lidah rasmi PAS, Harakah. Akhbar rasmi PAS itu ‘diburu’ KDN pada 1990, dan siapa yang hadkan keluarannya dua kali seminggu walaupun dapat permintaan hangat dari ahli PAS? Pada Februari 2000, ia hanya keluar dua kali sebulan.

Jika dilihat senario kebebasan media dulu dan sekarang, ia bagai langit dengan bumi. Dulu, jangan bermimpi untuk media pro-pembangkang dapat permit dengan mudah. Jika diberi pun, penerbitannya dihadkan secara berkala dan jika dilihat ‘melampau’, maka permitnya ‘terancam’ untuk dibatalkan.

Berbanding sekarang, bukan saja media pro-pembangkang dipermudahkan, malah ada yang diberi pengiktirafan oleh Perdana Menteri sendiri. Bukan setakat akhbar, malah media online pun banyak dan tidak ‘diburu’.

Justifikasi penulis rasional berdasar pemerhatian dan penelitian dua zaman. Ia sangat mudah dapat dilihat secara kasar, apatah lagi jika diteliti sehalus-halusnya. Maka jelaslah apa yang didakwa Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi itu benar, bukan?

Warga emas itu menyindir? Dia fikir orang akan terus dungu dan terpengaruh dengan retoriknya? Maaflah. Lebih 22 tahun ‘dikencing’, rata-ratanya sudah celik dan serik, serta enggan lagi terus ‘kuyup hancing’. Sudah-sudahlah ditipu hidup-hidup!

2 thoughts on “Takkan Terpedaya Lagi Pada Retorik Politik Sindiran Warga Emas Itu…

  • August 25, 2017 at 14:16
    Permalink

    Kita tak rasa segala apa yang sedang dibuat oleh OP (orang pencen) ini dipersetujui oleh anak2 dia, isteri dia dan juga sedara mara . Dilahirkan Islam mereka pasti akur dimana sesaorang itu harus berada pada tahap umur dia . Segala hal dunia seharusnya sudah dihentikan kecuali mengurus diri, mendengar hal anak cucu serta cicit.

    Percarian seharusnya sudah berhenti untuk akhirat . Disini boleh kita andaikan bahawa, OP ini tidak menerima sebarang pandangan selain dari apa yang difikirkan nya .

    Boboi tahu kemampuan dia . Boboi sedar jadi MB sudah terlalu tinggi buat dia kerana terbukti dia juga gagal ditahap itu .

    Reply
  • August 25, 2017 at 14:17
    Permalink

    Kecuali untuk akhirat . Ralat.

    Reply

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!