PR1MA penuhi semua agenda bumiputera – PM

Share

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) memenuhi agenda bumiputera tidak hanya dari segi pemilikan rumah tetapi juga membangunkan ekosistem kontraktor, usahawan dan profesional golongan tersebut.

Menurut Perdana Menteri, PR1MA juga mencapai matlamatnya dalam melonjakkan menilai nilai hartanah terhadap tanah rizab Melayu menerusi pembinaan rumah-rumah berkualiti di atas tanah berkenaan.

‘‘Setakat ini, kerajaan sudah meluluskan dan mengagihkan peruntukan RM3.9 bilion, saya diberitahu bahawa PR1MA memerlukan suntikan kecairan tambahan, saya memberi jaminan sebagai sebuah kerajaan, kita akan tetap memberi sokongan kepada PR1MA untuk kewangan yang mencukupi dan ini akan ditentukan sedikit masa lagi.

‘‘Usah ragu-ragu, ini adalah komitmen kerajaan, kita hendak sediakan 500,000 unit rumah tetapi tidaklah dalam sekelip mata, hendak membina rumah pun memakan masa dengan memerlukan DO (Development Order) dan sebagainya tetapi perca­yalah, insya-Allah sasaran kita akan dapat kita penuhi,’’ katanya ketika berucap dalam program Rakan Bumiputera PR1MA 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Program yang julung kali diadakan itu menghimpunkan lebih 1,800 usahawan dan profesional bumiputera yang terlibat dalam pelbagai jenis kerja pembinaan, perundingan dan per­­khid­­­matan sokongan bagi projek-projek PR1MA di seluruh negara.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.

Jelas Najib, setakat ini, Perbadanan PR1MA telah mengagihkan kontrak-kontrak bernilai lebih RM15 bilion kepada 574 firma bumiputera yang terlibat dalam rantaian bekalan dan pembangunan vendor PRIMA.

Beliau memberitahu, bagi tahun lalu, sebanyak 8,000 unit rumah PR1MA telah berjaya disi­apkan dan sebanyak 17,000 unit dijangka dapat disiapkan tahun ini dan 35,000 unit pada tahun hadapan.

‘‘Kita hendak rumah ini memiliki unsur-unsur teknologi kerana saya impikan anak-anak kita dan generasi baharu nanti bila membesar biarlah di rumah dan komuniti yang berkualiti, bukannya rumah sudah robek, atap bocor dan dinding reput, kita tidak hendak keadaan itu,’’ katanya yang bersyukur rumah PR1MA dijual pada harga 20 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Tegasnya, agenda perumahan adalah keutamaan kerajaan sebagaimana tumpuan ter­hadap agenda pengangkut­an awam, kos sara hidup, pendidikan, kesihatan dan jaminan pe­kerjaan.

‘‘Saya beri jaminan sebagai Perdana Menteri dan ketua kerajaan bahawa kerajaan pimpinan saya akan menjamin kelangsungan PR1MA, insya-Allah kita akan mengagihkan dan menjual rumah PR1MA secara adil kerana mesti mengimbangi nisbah penduduk di Malaysia,’’ katanya.

Dalam pada itu, menurut Abdul Mutalib, berdasarkan perangkaan sehingga Julai lalu, sebanyak 139,393 unit rumah PR1MA berada dalam pelbagai peringkat pembinaan berbanding sebanyak 267,902 unit yang telah diluluskan pembangunannya.

‘‘Daripada 89 projek pembangunan bernilai RM22.4 bilion yang ditandatangani, sebanyak 55 projek bernilai RM12 bilion atau 62 peratus telah dianuge­rahkan kepada syarikat bumiputera berlandaskan merit, melalui program pembangunan vendor, PR1MA komited menyediakan peluang sama rata kepada firma-firma bumiputera supaya boleh berkembang dalam sektor hartanah,’’ katanya.

Katanya, dari segi pemilikan rumah, sebanyak 10,241 unit rumah PR1MA telah dijual dan daripada jumlah tersebut 68 peratus atau 6,963 unit bernilai RM1.74 bilion dimiliki golongan bumiputera.

Utusan

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!