PPBM berlaku krisis perpecahan teruk

Share

Insiden kekecohan yang berlaku dalam forum Nothing To Hide 2.0 semalam membuktikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengalami krisis perpecahan dalaman teruk.

Penganalisis Politik, Raja Petra Kamarudin berkata, ahli-ahli parti itu tidak bersatu di belakang Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun masalah tersebut cuba disembunyikan oleh Pengerusi PPBM itu sendiri.

Katanya, walaupun hanya mempunyai 29,000 ahli, mereka tidak mampu bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan.

“Nampaknya, beberapa bukti telah mula terdedah bahawa kekecohan dalam forum itu adalah kerja orang dalam parti itu sendiri. Sama ada ahli PPBM menyalahgunakan program itu dengan bertanyakan soalan-soalan kepada Dr. Mahathir yang terlalu sukar dijawab beliau atau parti itu sedang berpecah teruk di antara Kumpulan A dan Kumpulan B sekali gus kekacauan itu adalah hasil daripada pertelingkahan dalaman.

“Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa ia adalah kerja orang dalam sendiri dan kini cuba menyalahkan UMNO dengan mendakwa UMNO telah menghantar ejen provokasi untuk mensabotaj program itu,” katanya dalam blog beliau, malaysia-today.net, hari ini.

Dalam pada itu, Raja Petra berkata, hakikatnya, perpecahan dalaman PPBM telah pun berlaku sejak parti itu mula dibentuk.

Katanya, peristiwa semalam hanyalah ‘bom masa’ yang menunggu untuk meletup dan ia adalah pencetus untuk menamatkan riwayat parti itu.

Utusan

Leave a Reply