Tiga Tuduhan Zakaria Arshad Adalah Pembohongan – FGV

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Lembaga, Dato’ Dr. Omar Salim menafikan dakwaan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (Bercuti) FELDA Global Ventures Holding Bhd (FGV), Dato’ Zakaria Arshad diarah bercuti kerana enggan melaksanakan perjanjian pelaburan yang ingin dibuat oleh ahli lembaga Pengarah FGV.

Dalam kenyataan akhbar hari ini Dato’ Dr. Omar Salim menegaskan tiga perkara yang diberitahu oleh Zakaria adalah bercanggah dengan kata putus yang dibuat oleh FGV.

1. Jawatankuasa Eksekutif Lembaga bagi pihak Ahli Lembaga Pengarah FGV ingin menjelaskan bahawa berita yang memetik kenyataan Zakaria berkenaan peruntukan dana sebanyak GBP 100 juta untuk pengembangan perniagaan FGV Cambridge Nanosystem Ltd (FGV CNS) adalah tidak benar.

2. Dakwaan bahawa menyatakan FGV CNS mengalami kerugian sebanyak RM117 juta dalam tempoh tiga hingga empat tahun lalu juga tidak benar. Kerugian yang dicatatkan oleh FGV CNS dari 2014 hingga April 2017 adalah GBP5 juta atau kira-kira RM27.5 juta. Kerugian ini berikutan FGV baru mengambil alih FGV CNS pada Disember 2013 dan memerlukan masa melakukan perubahan dan masih diperingkat pembangunan produk.

3. Dakwaan Zakaria bahawa beliau menolak perancangan FGV untuk melabur RM300 juta bagi pengambil alihan 30% kepentingan dalam kilang krimer adalah tidak benar. Jawatankuasa Pelaburan (IC) FGV tidak pernah meluluskan cadangan terbabit kerana faktor perniagaan. Ini berikutan nilai pertumbuhan kerjasama berkenaan kepada FGV dan kebolehupayaan sinergi dengan perniagaan hiliran FGV tidak dapat ditentukan,

Tambahnya lagi, kesemua kenyataan yang dibuat oleh Zakaria hanyalah tuduhan memandangkan ia tidak pernah dibentangkan kepada Lembaga Pengarah FGV dan tidak mendapat kelulusan dari IC.

Zakaria baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan dalam sebuah akhbar tempatan memperkatakan perjanjian tidak munasabah yang dibuat oleh FGV selain telah berusaha untuk menghalang perjanjian pernigaan itu dari terlaksanan.

“Sekarang mereka (lembaga FGV) mahu mengembangkannya, mereka memerlukan 100 juta pound lagi. Bagi saya ini adalah tidak masuk akal, kami sebuah syarikat perladangan,” kata Zakaria yang dipetik dari akhbar tersebut.

Zakaria mengeluarkan kenyataan tersebut selepas diarahkan bercuti dan berhadapan siasatan dalaman. Arahan tersebut berikutan pengauditan PricewaterhouseCooper’s (PwC) ke atas anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd mendapati FGV kerugian berpuluh juta ringgit hasil urusniaga kurang cermat antara Delima Oils dengan syarikat Safitex.

Safitex Trading LLC yang berpangkalan di Dubai gagal membuat pembayaran kepada Delima Oils sejak tahun kewangan berakhir 31 Dis 2015 (FY15). Baki hutang sebanyak US$8.3 juta itu menyebabkan pendedahan kekurangan yang dilaporkan dalam semakan PricewaterhouseCooper’s (PwC) pada setiap suku.

Walaupun pengurusan FGV dan Delima Oils menyatakan bahawa baki itu akan dapat diperoleh sepenuhnya ia tidak pernah terlaksana.

Sebaliknya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2016 hutang tersebut terus meningkat kepada US$11.7 juta dan melebihi had kredit yang dibenarkan bagi setiap audit kewangan berkanun PwC.

Selain Zakaria, tiga lagi individu yang memegang jawatan tertinggi turut diarahkan bercuti ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar.

Zakaria sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oils Sdn Bhd sejak 2014 sehingga Mac 2016 sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Ekseskutif FGV.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.