Kepemimpinan PPBM perlu adil – Exco Armada PPBM

Kepemimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) didesak supaya telus dalam perjuangan tanpa menjadikan individu tertentu yang ikhlas menganggotai parti sebagai mangsa seterusnya mengelakkan dominasi pihak berkepentingan peribadi.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pusat PPBM, Mohamad Taufik Abas berkata, tuduhan dilemparkan terhadap Muhammad Hafiz Azhar yang kononnya didalangi oleh sebuah parti langsung tidak berasas malah memperlihatkan kepincangan dalaman PPBM.

Menurutnya, desakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan juga Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir supaya Pengerusi Biro Keselamatan Armada itu dirujuk kepada lembaga disiplin parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Sanusi Junid amat mengecewakan kerana Muhammad Hafiz dikenali sebagai tonggak penting bagi gerak kerja jentera parti selama ini.

“Sebagai pelaku penting dalam gerak kerja PPBM selama ini, tuduhan serta tindakan terhadap Muhammad Hafiz amat mendukacitakan kerana persoalan dan penjelasan yang dimintanya bukan isu peribadi, sebaliknya demi mengukuhkan jentera parti.

“Sekiranya isu ini gagal dita­ngani dengan adil, tidak mustahil ia akan menghakis keyakinan serta sokongan golongan muda kepada PPBM yang sebelum ini dianggap parti alternatif, namun sebenarnya didominasi individu tertentu yang rakus mempertahankan kelangsungan peribadi,” katanya dalam sidang akhbar berkenaan Isu Semasa PPBM di Sri Hartamas, di sini hari ini.

Mohamad Taufik sebagai Pengerusi Biro Jaringan Luar Bandar PPBM berkata, sebarang tindakan mahupun isu berbangkit dalam kalangan ahli sewajarnya diselesai secara musyawarah bukannya menggunakan cyber trooper yang dilihat hanya mengeruhkan lagi keadaan.

“Sebagai kawan baik dan rakan seperjuangan, kami bersimpati kepada Muhammad Hafiz dan ingin mendesak kepemimpinan parti tampil menjelaskan isu dan kewajaran bagi apa sahaja tindakan yang ingin diambil terhadapnya.

“Mukhriz pasti lebih tahu siapa Muhammad Hafiz dan dari pada manakah pemuda ini. Tidak perlu bersandiwara kerana keberadaannya dalam parti hasil daripada perancangan Mukhriz sendiri,” tegasnya.

Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.