Campur tangan asing undang petaka

Oleh: Zulkiflee Bakar

MASIHKAH kita ingat, pada tahun 1998, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri berang apabila Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Al Gore mengkritik keputusan beliau memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dr. Mahathir menggesa rakyat supaya menolak campur tangan asing dalam urusan negara ini. Bagi beliau, jika itu dibiarkan berlaku maka ia boleh menjemput petaka kepada Malaysia.

Sememangnya campur tangan asing tidak akan dibenarkan oleh mana-mana juga negara yang merdeka dan berdaulat.


LIHAT sahaja apa yang berlaku di Iraq apabila kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara berkenaan. Sehingga kini Iraq masih dilanda pergolakan yang tiada berkesudahan. GAMBAR HIASAN/ REUTERS

Lihatlah sahaja apa yang berlaku di Iraq, Mesir dan beberapa negara Arab lain apabila kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara-negara berkenaan.

Sehingga ke hari ini, negara-negara tersebut masih dilanda pergolakan yang tidak berkesudahan sedangkan kuasa asing terlibat sudah pun meninggalkan negara berkenaan.

Justeru tidak ada apa salahnya apabila Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan surat terbuka kepada semua parti-parti politik di negara ini dengan menegaskan, ‘’mereka yang mahu orang asing campur tangan dalam hal ehwal Malaysia untuk mendapat keuntungan politik adalah ‘tidak beriman dan budiman’.

Sambil mengingatkan kejatuhan kerajaan Melayu Melaka, Abdul Hadi turut menegaskan, segala skandal dan kemelut negara perlu diselesaikan secara dalaman, tanpa mengira betapa buruknya sistem dalaman itu.

Bagaimanapun beberapa pihak tidak berpuas hati dengan ketegasan Abdul Hadi. Mereka menyifatkan Pas yang telah meninggalkan Pakatan Harapan diketuai oleh DAP semakin lunak nada politiknya dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Hakikatnya, bukan soal lunak atau tidak, tetapi isu 1MDB yang menyaksikan Jabatan Keadilan (DoJ) AS mengemukakan saman sivil adalah urusan negara ini.

Tidak kira apa bentuk pun cara kita menanganinya, biarlah rakyat atau pihak di Malaysia menyelesaikannya. Tindakan menyokong DoJ yang kita tahu benar-benar bermotif politik adalah perbuatan tidak bermoral dan harus ditentang habis-habisan.

Ia bertepatan dengan hujah Abdul Hadi dalam surat terbuka tersebut yang menegaskan, “Apa pun keputusan isu dalam kita, biar mahkamah kita sendiri menyelesaikan atau mahkamah rakyat kita menyelesaikannya.

Sebodoh-bodoh dan sezalim-zalim dalaman kita, biar kita yang tanggung sendiri dan akhirnya berkat kesabaran, pasti sedar dan insaf.’’

Bagaimanapun bagi ‘juak-juak’ dan penyokong Pakatan Harapan, mereka menyifatkan tindakan Abdul Hadi itu sebagai usaha untuk berbaik-baik dengan UMNO. Mereka membandingkan pendirian beliau dengan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikatakan sentiasa bersikap keras dengan parti kerajaan itu.

Tetapi mereka lupa dan sengaja melupakan bahawa kalau dikaji kenyataan-kenyataan Allahyarham Nik Abdul Aziz terhadap UMNO dan isu dalam negara, Allahyarham sendiri secara tegas pernah menolak sebarang campur tangan asing berkaitan isu dalaman negara ini, contohnya dalam kes pemecatan Anwar.

Oleh itu tidak perlulah mana-mana pihak mahu terus memainkan sentimen dengan memperalatkan nama Allahyarham. Kalaupun tidak bersetuju atau mahu meraih sokongan politik, janganlah sampai apa pun tindakan yang boleh membantu mencapai matlamat pembangkang maka ia boleh dihalalkan.

Begitulah juga dalam soal campur tangan ini. Janganlah kerana perbezaan politik kita sanggup membiarkan orang asing memperkotak-katikkan negara ini. Ia bukanlah soal surat terbuka ‘Lebai malang’ kepada ‘jembalang politik’ seperti mana satu tulisan yang disiarkan oleh sebuah portal propembangkang baru-baru ini, tetapi ia adalah soal maruah negara.

Mana-mana juga rakyat yang cintakan negara ini dan mencari rezeki di tanah air tercinta ini tidak akan mengizinkan orang asing untuk mengajar kita bagaimana mengendalikan sesuatu isu. Tindakan membandingkan campur tangan DoJ dengan kebanjiran warga asing di negara kita adalah hujah dangkal dan jumud oleh kelompok yang fikiran dan hati mereka sudah ‘berulat’ dengan politik kepartian sempit dan tidak bertamadun.

Justeru atas alasan apa sekalipun biarlah rakyat negara ini menentukan nasib masa depan Malaysia dan mengendalikan sendiri segala isu yang berlaku. Kalaulah pihak-pihak tertentu yakin bahawa isu 1MDB boleh memberi keuntungan politik kepada mereka, kenapakah beria-ia benar mahu ‘menyembah’ orang asing untuk campur tangan dalam isu tersebut? Di manakah maruah kita sebagai rakyat Malaysia?

Biarlah rakyat menentukannya dalam pilihan raya umum (PRU) nanti. Usahlah cuba memperbodohkan rakyat dengan memesongkan fakta-fakta berhubung isu tersebut.

Kelompok yang meminta campur tangan asing dalam isu berkenaan sebenar tidak yakin bahawa propaganda mereka bagi memburuk-burukkan kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berjaya.

Kekalutan dalam menentukan siapa Perdana Menteri dalam kalangan Pakatan Harapan dan isu pembahagian kerusi untuk bertanding dalam PRU yang masih belum menampakkan penyelesaiannya menyebabkan mereka terpaksa mencari modal lain untuk menumbangkan kerajaan BN.

Namun begitu tindakan meminta campur tangan asing adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan membuktikan pihak-pihak tertentu sudah muflis modal politik untuk menentang BN dalam PRU akan datang. Pada masa sama jika benar ada antara rakyat negara ini terlibat dalam tindakan oleh DoJ, maka tidak salahnya kalau kita menganggap ia satu pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan.

Utusan Online

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.