Jawatan PM: Pakatan Harapan bercakaran
Parti-parti dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP bercakaran sesama sendiri selepas Kongres PKR yang berakhir kelmarin menyatakan pendirian berhubung pemilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ketujuh.
Episod kecam-mengecam sesama parti mula ditimbulkan oleh ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim semalam yang menempelak tindakan PKR itu dengan mendakwa pengisytiharan Ketua Umum PKR sebagai perdana menteri merupakan satu perbuatan ‘sombong’.
Hari ini, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula meluahkan perasaan tidak puas hati dengan keputusan yang dibuat antara kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan itu menerusi satu surat terbuka.
Menurutnya, pimpinan Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu lebih sibuk menuba racun kesumat atas perlakuan silam, kurang fokus untuk mendengar denyut nadi rakyat malah mengambil kesempatan untuk mencalar perhubungan sesama parti.
“Apa yang berlaku di Kongres PKR adalah amat sedih dan mengecewakan sekali. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan PPBM jelas diserang, kongres yang seharusnya mampu dijadikan medan penyatuan bertukar menjadi medan melampias kekecewaan dan kemarahan lampau tanpa sedikit pun memikirkan soal sensitiviti semasa dalam misi bersama Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya.
“Kepemimpinan tertinggi PPBM ini seakan ‘dipaksa’ dan ‘diperangkap’ untuk menyatakan pendirian atas sokongan kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Anwar selaku Perdana Menteri ketujuh. Walhal tiada sebarang perbincangan apatah lagi kesepakatan yang dicapai mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.
Syed Saddiq turut mempersoalkan di sebalik tindakan memalukan Dr. Mahathir yang tidak mengangkat sepanduk Anwar PM ke-7 dengan mengaitkan keseriusan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan untuk bekerjasama dengan PPBM.
Katanya, janganlah kerana terlalu taksub terhadap Anwar sehinggakan soal perlembagaan, undang-undang dan strategi memenangi pilihan raya di belakangkan.
“Adakah mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan PPBM? Sejauh mana keikhlasan mereka menerima PPBM dalam Pakatan Harapan? Kalau kita kalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Datuk Seri Anwar tetap tidak boleh dinaikkan sebagai perdana menteri,” katanya.
Syed Saddiq berkata, beliau faham sejarah pahit lalu yang menyaksikan permusuhan penyokong Dr. Mahathir dan Anwar, namun adalah tidak adil apabila dalam kalangan ahli dibiarkan untuk terus disemarak api kebencian dan dendam kerana kesalahan lampau hingga rakyat terhukum.
“Kita hanya mewarisi pertelingkahan silam yang cukup menghukum rakyat, namun adakah kita sanggup untuk membiarkan rakyat menderita kerana kesalahan lalu dan kelemahan kita masa kini hinggakan UMNO mampu terus berkuasa. Ini bukan lagi salah UMNO,” katanya.
Utusan