Muktamar PAS: Jangan Bunyi Saja Kuat…

Sedang hangat berlangsung Muktamar PAS kali ke-63 di Kompleks PAS Kedah sekarang. Bermula pada 27 April, kita disajikan dengan dentam-dentum hentaman pimpinan PAS terhadap PAN dan DAP setiap hari.

Tidak kurang juga dengan hentaman para perwakilan PAS terhadap PKR dan parti ‘cap bunga’, hingga memaksa Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengumum awal pendirian ‘tutup pintu’ terhadap ‘cap bunga’. Manakala PKR pula, sedang menanti untuk ‘diceraikan’ khabarnya.

Sebelum muktamar berlangsung, difahamkan bahawa fokus utama muktamar PAS kali ini selain strategi parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, ia juga akan menjadi medan untuk menetapkan keputusan tahaluf siyasi dengan PKR.

Bibit-bibit awal menunjukkan masa depan yang gelap bagi hubungan PAS dengan PKR. Mulanya Dewan Ulama PAS sebulat suara mengusulkan agar PAS tidak lagi mengkaji semula, bahkan mahu hubungan tahaluf siyasi dengan PKR diputuskan.

Kemudian, Dewan Pemuda PAS pula senada dengan usul ulama PAS itu dan membawa usul yang sama untuk diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti yang merujuk kepada Majlis Syura PAS Pusat. Khabarnya akan keputusan akan dibuat pada muktamar ini?

Melihat pada perkembangan ini, ia bagaikan bunyi guruh di langit. Begitu kuat bunyi di sana-sini, kilatnya sabung-menyabung membuat ramai terpaku menanti apakah hari akan hujan. Soalnya, apakah hujan benar-benar akan turun dan apakah PAS sudah berani membuang air di tempayan?

Pada pandangan penulis, PAS bukanlah terlalu berani sangat. Pendirian mereka pun tidaklah sekuat mana pun dalam usul memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR. Bunyi di mikrofon saja yang lebih, tapi mungkin hanya sekadar menjual politik air liur saja kepada perwakilan dan penyokong yang hadir.

Jika benar Dewan Ulama PAS serius dalam usul mereka, penulis yakin mereka akan menggesa supaya ketiga-tiga Exco PAS di Selangor melepaskan jawatan hari ini. Tidak perlu bertangguh-tangguh lagi untuk pemimpin melepaskan semua jawatan dalam Kerajaan Negeri itu.

Sekiranya Dewan Pemuda PAS bukan ‘buih pepsi cola’, pastinya merekalah yang paling vokal mendesak supaya semua perhubungan dengan PKR diputuskan serta merta. Tidak perlu lagi berdolak-dalih membahas usul, mereka boleh ugut letak jawatan yang baru dimenangi jika Masjlis Syura enggan memutuskan hubungan dengan PKR.

Ketika semua pemimpin PAS di Pulau Pinang meletak jawatan dari Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng sebelum ini, apakah mereka perlu menunggu keputusan dari Majlis Syura terlebih dahulu? Secara ‘gentleman’, mereka lepaskan semua jawatan, bukan?

Lagipun, bersuara saja tanpa disusuli dengan tindakan tegas, ia bagai bermain meriam buluh. Bunyinya berdentum kuat, tapi langsung tidak memberi kesan kepada sesiapa. Ia hanya lebih kepada ‘hiburan’ atau dari sudut politiknya, ‘syok sendiri’.

Maka kerana itulah penulis berpandangan PAS sebenarnya tidaklah terlalu serius untuk ‘ceraikan’ PKR. Jika PAS tidak jadi ‘ceraikan’ PKR, pastinya mereka akan keluarkan 1,001 alasan untuk merasionalkan keputusan tersebut. Bukan kita tidak kenal dengan perangai PAS, bukan?

Pada hemat penulis, agenda utama Muktamar PAS kali ini bukanlah medan untuk persediaan parti itu menghadapi PRU ke-14 atau memutuskan hubungan dengan PKR, namun paling utama untuk parti itu memperlihatkan sama ada mereka benar-benar kembali kepada perjuangan asal PAS atau tidak.

Sehingga kini, selagi mereka hanya berdentam-dentum di atas pentas Kompleks PAS Kedah saja, tanpa mengotakan prinsip atau mempamerkan ketegasan perjuangan asal, ia tidak akan memberi sebarang makna. Buang masa saja.

Kita beri peluang hingga Muktamar PAS ini selesai. Jika ada keputusan yang dibuat, kita saksikan sama ada mereka berpegang teguh pada pendirian itu selama-lamanya, tetap istiqamah dengan Gagasan Sejahtera atau tidak? Jika ‘terkehel’, maka jelaslah bukan hanya Pemuda PAS saja, malah PAS semuanya memang ‘buih pepsi cola’!

One thought on “Muktamar PAS: Jangan Bunyi Saja Kuat…

  • April 30, 2017 at 22:33
    Permalink

    buang masa & sia2 sahaja selama ini PAS kononnya berdakwah(padahal bersekongkol kerana kepentingan politik semata yang mendambakan sokongan DAP & undi dari orang kafir) pada DAP agar dapat menerima kebaikkan Islam yang diperjuangkan oleh PAS

    sebenarnya DAP sedikit pun tidak medapat hidayah(menerima kebaikkan Islam) dari dakwah PAS semenjak PAS bersekutu dengan mereka dalam ‘pakatan rakyat'(2008) malah sejak dalam ‘barisan alternatif'(1998) lagi

    kalau ada bekas pemimpin PAS yang kini berada dalam PAN(dalam bahasa melayu ‘PAN’ disebut ‘KUALI—> menjadi perkakas untuk DAPur) berkata sokongan yang pernah diberikan DAP tentang perlaksanaan hudud itu adalah hasil dari tarbiyah(dakwah) PAS kepada DAP, ianya adalah satu kenyataan yang amat dangkal, syok sendiri atau boleh dikata kenyataan membodek secara terlampau tuan mereka iaitu lim kit siang & lim guan eng

    DAP pernah menyokong perlaksanaan hudud(malah speaker DUN Selangor hannah yeoh dari DAP pernah membenarkan hudud dibahaskan dalam DUN) itu hanya satu lakonan(berpura-pura untuk menipu orang Islam bahawa DAP kononnya tidak anti Islam) sahaja kerana DAP tahu hudud adalah sukar untuk dilaksanakan berbanding dengan pindaan terhadap hukuman dalam RUU 355 yang boleh dilaksanakan…kerana pindaan kepada RUU 355 boleh dilaksanakan maka DAP mengambil & menunjuk pendirian menentang…apakah DAP tidak boleh dikata anti Islam?

    berbalik dengan keberadaan PAS dalam 1.barisan alternatif(1998) & 2.pakatan rakyat(2008) yang kononnya untuk berdakwah memberi tarbiyah kebaikkan Islam kepada sekutu(terutama DAP & PKR) mereka dalam 2 gagasan/pakatan pembangkang tersebut, cuba kita lihat apa hasil dakwah PAS kepada PKR pula? dakwah apa kebendanya kalau anwar terus dengan aktiviti meliwat & nurul izzah pula menyokong orang Islam diberi kebebasan yang sama(dengan orang bukan Islam) & tidak boleh dihukum jika mereka mahu menukar agama keluar dari Islam(sebut ‘murtad’)?

    Reply

Leave a Reply