Cerita PAS Kedah, Perwakilan Dan ‘Auta’ 4 Faktornya…

Terkini di My KMU !!!!---->

Alhamdulillah, penulis mengikut rapat perkembangan Muktamar PAS kali ke-63 yang sedang hangat berlangsung di Kompleks PAS Kedah sejak ia bermula hingga ke saat ini. Mendengar bicara perbahasan perwakilan PAS sememangnya menjadi kesukaan penulis sejak dari dulu.

Ucapan perwakilan PAS Kedah hari ini menarik hati penulis. Salim Mahmood ketika berucap, menzahirkan keyakinan seluruh kepimpinan PAS Negeri itu untuk menawan Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti bersandarkan kepada empat faktor.

Faktor yang pertama katanya, PAS pernah berjaya merampas Kedah daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-12 yang lalu dan Salim yakin kejayaan itu akan dapat direalisasikan pada PRU ke-14 yang dikatakan bakal berlangsung tidak lama lagi.

Pada pandangan penulis, faktor pertama yang dikemukakan Salim ini menunjukkan kedangkalan PAS Kedah dalam menilai kemampuan sebenar mereka di negeri itu. Alasan itu tidak begitu realistik untuk meyakinkan ramai pihak.

Kenapa? Ia adalah kerana PAS Kedah dulu di bawah kepimpinan Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak amat ketara sekali perbezaannya dengan kepimpinan PAS Kedah yang sekarang. Pada penulis, Pesuruhjaya PAS Kedah sekarang ‘lembik sangat’ hinggakan begitu ‘takut’ untuk mengambil sebarang tindakan kepada golongan ‘harum manis’ di negeri itu.

Ia adalah amat berbeza dengan arwah Ustaz Azizan. Dato’ Phahrolrazi Zawawi dan konco-konconya pun tidak mampu ‘makan’ beliau dulu. Arwahlah insan yang membina kekuatan PAS di Kedah dulu. Dicampur dengan fenomena ‘tsunami’ politik dan masalah dalaman UMNO, maka PAS menang pada PRU 2008 dulu.

Lagi pun, jika hendak dibanding dengan Pesuruhjaya PAS Kedah sekarang, bagai langit dengan bumi, malah penulis yakin ramai penyokong PAS Kedah sendiri yang tidak kenal dengan beliau. Bertanding satu lawan satu dengan Dato’ Tajul Urus Md Zin pun kalah hampir 4,000 undi?

Siapa pernah dengar nama Ahmad Fakhruddin? Rasanya nama Mahfuz dan Phahrolrazi lebih popular, bukan?

Keduanya, Salim mendakwa ‘kejayaan PAS mentadbir Kedah dengan sangat baik ketika dengan berjaya menambahkan hasil negeri dan memberi kebajikan kepada rakyat Kedah’.

Cuba fikirkan, logik atau tidak faktor kedua ini? Jika PAS benar-benar mentadbir Kedah dengan baik selama sepenggal dulu, apakah mungkin rakyat akan kembalikan negeri itu kepada BN pada PRU ke-13 yang lalu? Cuba fikir rasionalnya.

Dengan pelbagai isu yang timbul dan memeningkan arwah Ustaz Azizan selaku Menteri Besar ketika itu, pemimpin PAS Kedah ketika itu begitu rakus dan gelojoh menikmati ‘harta rampasan perang’. Cuba imbas kembali apa yang berlaku sepanjang tempoh sepenggal itu.

Hakikatnya, kerakusan pemimpin PAS Kedah ketika itulah yang melemahkan pentadbiran arwah dulu. Dengan isu balak ‘cuci mangkuk’, Kolej Universiti Insaniah, projek ‘keli-k’, skandal pusat hiburan ‘tarian tiang’, pening arwah fikirkan kegagalan Exco-Exconya dulu.

Setelah beliau meninggal dunia, Phahrolrazi dan bekas Exconya kini menjadi pemimpin utama PAN. Malah difahamkan sebahagian besar lagi bekas Exconya kini berstatus ‘harum manis’ dan enggan keluar parti. Jadi apa rasional faktor kedua Salim itu?

Ketiga, Salim mendakwa ‘keadaan UMNO-BN yang berada dalam keadaan sangat lemah pada masa ini, buktinya dalam masa lima tahun Kedah telah mempunyai dua orang Menteri Besar’.

Dari mana Salim dapatkan fakta ini agaknya? Hanya dari mata kasar atau di media maya? Tahukah dia sebab sebenar Kedah mempunyai dua Menteri Besar dalam tempoh sepenggal ini? Atau dia terlalu naif dalam membuat analisis politik tempatan dengan fakta yang lebih tepat?

Tahukah dia bahawa UMNO hampir ‘mati’ ketika Dato’ Seri Mukhriz Mahathir mengemudi Kedah? Dia sibuk berswafoto macam pelancong di seluruh Kedah mempopularkan diri, tapi daftar pemilih hanya sekitar 13,000 orang saja dapat dikumpul dalam tempoh 3 tahun?

Apakah Mukhriz fikir dia boleh lagi kekal menjadi Menteri Besar dengan pencapaian itu sedangkan pilihan raya merupakan ‘perang undi’ dan menitik beratkan tentang angka. Malah, pencapaiannya dilihat lebih teruk dari arwah Ustaz Azizan di Kedah. Sekurang-kurangnya arwah bina kampus KUIN dan Aman Central, Mukhriz apa ada?

Tahukah Salim dalam tempoh setahun saja menjadi Menteri Besar dan Pengerusi UMNO Negeri, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah telah berjaya mendapatkan 67,000 daftar pemilih pengundi baru? Salim dan PAS Kedah tahu mengira atau tidak?

Dari sudut daftar pemilih ini saja lulusan SPM itu jelas sudah jauh mengatasi lulusan luar negara anak ‘negarawan ulung’ yang tiap-tiap minggu naik kapal terbang berulang-alik dari Kedah ke ibu negara, bukan? Itu belum lagi disebut tentang gerakan-gerakan lain yang dibuat Ahmad Bashah lagi…

Jadi, faktor ketiga yang dikatakan Salim yang mewakili PAS Kedah itu juga nampaknya tidak boleh digunapakai, bukan?

Faktor terakhir yang dikemukakan Salim siang tadi untuk merampas Kedah pada PRU ke-14 nanti adalah kerana ‘PAS Kedah mengamalkan empat perkara asas dalam perjuangan iaitu siyasah, tarbiyah, dakwah dan khairiyah’.

Pada penulis, empat perkara asas yang disebut wakil PAS Kedah itu hanyalah perkataan Arab sahaja. Tiada yang signifikan bagi semua perkataan itu. Boleh dikatakan hampir semuanya ada di dalam parti politik Melayu beragama Islam di negara ini.

Bukan hanya UMNO, malah PAN pun mempunyai empat perjuangan tersebut. Malah jika ditanya Mat Sabu, mungkin Presiden PAN itu akan tambah 10 lagi asas perjuangan partinya dan diungkap menggunakan istilah bahasa Arab.

UMNO juga ada siyasah (politik), malah kekuatan politik parti inilah yang memerdekakan dan memerintah negara hingga ke hari ini bukan? Tarbiyah dan dakwah? Jika tidak ada tarbiyah dan dakwah di dalam UMNO, apakah Salim fikir akan wujud kementerian khas untuk menjaga hal ehwal agama Islam dan meramaikan lagi saudara-saudara baru di negara ini?

Khairiyah? Inilah kepakaran UMNO! Tanpa khairiyah, penulis yakin amat mustahil untuk UMNO menjadi tunjang kepada BN untuk terus mentadbir negara sejak di zaman merdeka hingga kini. Lebih membanggakan lagi, khairiyahnya UMNO adalah secara holistik! Orang PAS pun jauh disudut hati mengakui khairiyah yang diperoleh dari UMNO, cuma tak mahu mengaku saja…

Jadi penulis berpesan kepada Salim mahupun PAS Kedah, jika mahu menawan Kedah, carilah faktor yang kukuh dan benar-benar meyakinkan. Jika hanya bersandarkan kepada ‘surface’ atau jumlah ‘like’ di Facebook, nanti ramai pula yang akan ketawakan PAS Kedah.

Saranan penulis supaya PAS Kedah berpegang pada realiti dan berpijak pada bumi yang nyata. Bak kata perwakilan PAS Kawasan Kuala Kedah, jika hendak lengkapkan saf kepimpinan PAS Kawasan pun payah dan banyak lagi jawatan yang kosong tidak terisi, janganlah cakap besar.

Orang Kedah bukannya ‘buta’ tidak tahu hakikat PAS di Kedah yang terkial-kial mengawal ahlinya dari ‘dicuri’ PAN. Berdepan dengan PAN pun PAS Kedah sudah ‘berpeluh jantan’, inikan pula untuk berdepan UMNO-BN Kedah. Sila cermin diri terlebih dahulu, harap maklum.

5 thoughts on “Cerita PAS Kedah, Perwakilan Dan ‘Auta’ 4 Faktornya…

  • April 30, 2017 at 23:47
    Permalink

    “Pada penulis, empat perkara asas yang disebut wakil PAS Kedah itu hanyalah perkataan Arab sahaja. Tiada yang signifikan bagi semua perkataan itu. Boleh dikatakan hampir semuanya ada di dalam parti politik Melayu beragama Islam di negara ini.

    Bukan hanya UMNO, malah PAN pun mempunyai empat perjuangan tersebut. Malah jika ditanya Mat Sabu, mungkin Presiden PAN itu akan tambah 10 lagi asas perjuangan partinya dan diungkap menggunakan istilah bahasa Arab.”

    cuma 2 ungkapan menggunakan bahasa Arab tidak akan disebut oleh mat sabu iaitu:
    1. Taqiyyah
    2. Nikah Mut’ah

    hehehehehe

    Reply
  • May 1, 2017 at 09:50
    Permalink

    Sebagai orang Melayu Islam, pendirain Pas sekarang memang melayakan mereka di beri peluang memerentah Kedah,Kelantan dan Terenganu.Jangan di biarkan Umno menjadi terlalu angkuh berkuasa,hingga nanti melupakan pula siapa diri mereka ketika mereka di landa badai .Orang Melayu jangan takut memberi tempat kepada PAS selagi mereka mempertahankan Melayu Islam dan menetapkan bahawa PM mistilah Islam.Orang Melayu juga tidak boleh membiarkan PAS lemah ,bagi memantau tingkah laku Umno.Zamah keangkuhan Umno semasa Mahathir tidak boleh berulang,takut kronisma,penyalah gunaan kuasa ,korupsi dan perkosaan harta negara kembali bermaharajalela.

    Kegelojohan beberpa pemimpin bawahan Umno sudah mula terserlah ,bila Pas mengundurkan diri dari bertahaluf dgn rakan lama nya,mereka cukup gembira.Di Pulau Pinang dan Kelantan suara sumbang gembira kononya peluang mereka kian cerah telah mula kedengaran.Mereka hanya suka pesaing mereka lemah untuk membolehkan mereka menang,,tapi mereka tidak pernah berusaha utk memperbaiki diri sendiri.Melayu Islam kena ingat,jangan terlalu memberi muka kepada makhluk yg boleh bertukanr menjadi musang berbulu ayam.

    Reply
  • May 1, 2017 at 10:34
    Permalink

    Dalam blog lain M menyatakan kenyakinan dia yang pakatan tetap menang tanpa . Apa lagi yang boleh diluahkan Olih seorang yang sudah bekerja keras dan berbelanja bukan sedikit untuk merealisasi angan2 peribadinya .

    Namun pakar U turn super veteran ini pulak bakal buat satu benda bertaraf super U turn dengan memasti BN menang dalam PRU 14 nanti . Itu pulak yang ditulis . Kita percaya walau belum meneliti tentang Isi yang tersirat disitu .

    Kita sedar Kita bukan sedang menonton piala FA tapi politic . Dalam politic negara bermacam sudah terjadi dan boleh berlaku . Tak Ada wajib, mustahil, harus dalam politic Malaysia, maka berlapang dada dan buang zham, syak dan waham .

    Reply
  • May 1, 2017 at 10:35
    Permalink

    ….tanpa PAS …(ralat)

    Reply
  • May 1, 2017 at 18:49
    Permalink

    Synonim dengan nama, lahirnya PAS memang bermatalamatkan untuk menubuh peneraju negara atas landasan Islam 100 %. Itu merupakan asas diawal penubuhan mereka. Masa berlalu, pemimpin silih berganti dan PAS kehilangan ramai pemimpin besar mereka yang taraf nya taraf ulamak.

    Kini rakyat tahu dan kenal siapa pemimpin mereka. Sekadar Khalid Samad , Mahfuz dan Mat Sabu… ulamak kah mereka ?. Dari sini kita simpulkan PAS sebuah parti yang merupakan blend mereka2 yang kecewa diadukkan dengan sedikit yang berpendidikan agama. Walau pun nama2 tersebut sudah pun keluar dari parti dan menubuhkan parti serpihan tetapi mereka itulah yang pernah menggelar diri mereka mujhaidin Islam walau tiap seorang dari mereka mengumpul rekod peribadi yang bolih mencemar perkataan Islam itu sendiri jika dikupas dan didedah.

    Mereka berjuang diatas kalimah membenteras rasuah, kemungkaran dan ketidak adilan. ,Soal nya siapa yang rasuah,siapa zalim , siapa ingkar dan siapa taat. Apa yang rakyat sedar mereka dendang satu lagu, satu irama yang sekian lama didendangkan tanpa mengerti maksud lirik. Contohnya LGE bekas sekutu mereka nyanyikan lagu perangi rasuah sekian lama kerana lagu itu lagu hit yang sedap didengar . Ternyata LGE tidak faham erti lirik lagu itu walau dia memang fasih menyanyikannya.

    Reply

Leave a Reply