SU Agong PKR Halau PAS Keluar, Naib Presiden Pula Rayu Kekal Tahaluf Siyasi

Bercelaru betul reaksi PKR sehari dua ini gara-gara Dewan Ulama dan Pemuda PAS Pusat yang sedang bermuktamar di Alor Setar meluluskan usul cerai talak tiga dengan PKR.

Semalam dengan selamba egonya Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution buat kenyataan menghalau PAS keluar dari kerajaan Selangor, siap minta disegerakan keputusan muktamad memutuskan tahaluf siyasi.

“Adalah lebih molek sebarang keputusan dimuktamadkan segera dan tidak dilengah-lengahkan kerana jika PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan Keadilan (PKR) secara muktamad, perkara bermaruah dan terhormat yang perlu dibuat ialah bagi semua ahli PAS yang mempunyai jawatan di dalam kerajaan Selangor meletakkan jawatan sejurus selepas keputusan memutuskan hubungan itu dimuktamadkan,” itu respon Saifuddin semalam.

Nadanya langsung tak berlapik, nampak jelas sudah tak sabar sangat nak mengusir PAS, macam tinggi keyakinannya tanpa sokongan PAS pun PKR boleh terus pertahan penguasaannya di Selangor pada PRU14 kelak.

Tapi tak sampai 24 jam Saifuddin tunjuk ego, alih-alih hari ini Naib Presiden PKR Dr Shaharuddin Badaruddin pula keluarkan kenyataan berbeza dari Setiausaha Agong partinya.

“Bagi kami, kita telah bersama PAS selama 18 tahun sejak 1999 lagi dan sejak itu kita masih kekal bertahaluf siyasi.

“Jadi, kami merasakan ianya wajar dikekalkan kerana ianya merupakan penghubung antara PKR dengan Pakatan Harapan,” kata Shaharuddin seperti diberitakan media hari ini.

Apa yang disuarakan Shaharuddin itu mungkin hanya pendapat peribadinya sementelah lagi kenyataan itu dibuat ketika dia memenuhi jemputan hadir ke muktamar PAS. Kiranya sekadar menghormati majlis oranglah. Ada asasnya di situ.

Tapi dua kenyataan saling bercanggah dalam masa kurang 24 jam dari dua kepimpinan tertinggi PKR itu agak mengelirukan ramai ahli dan penyokong bawahan PKR, silap-silap boleh jadi gila iseng kerana mereka tak tahu nak pilih mana satu pendirian hakiki PKR.

Mana taknya, bila Saifuddin keluar kenyataan ego usir PAS, pantas saja penyokong PKR di media sosial menyokong dan bersorak-sorak sambil mencemuh pemimpin dan penyokong PAS. Tapi bila hari ini Naib Presiden PKR bercakap dengan nada mendayu memujuk PAS, terus haru biru jadinya.

Justeru itu, PKR terutama Presidennya, Wan Azizah Wan Ismail kena tampil perjelaskan kenapa wujud percanggahan ini, setidak-tidaknya dapatlah meredakan kekeliruan ahli dan penyokong PKR, Jika tidak, harus makin ramai orang bawahan PKR mati kutu dan jadi bengong tak keruan sepanjang hayat. – MyKMU.Net

One thought on “SU Agong PKR Halau PAS Keluar, Naib Presiden Pula Rayu Kekal Tahaluf Siyasi

  • April 29, 2017 at 17:50
    Permalink

    Kita seolah2 sudah boleh agak apa kesudahan dengan satu perkahwinan yang dimenterai secara tangkap muat, terdesak dan terpaksa dibuat. Ikatan perkahwinan hanya kekal dengan adanya kasih sayang bukan dengan paksaan.

    KIni, bolehlah kita anggap segala kepuraan mereka sudah berakhir dengan lucutnya satu ikatan longgar tanpa sebarang jaminan dari awalnya.

    Reply

Leave a Reply