Kerajaan Tidak Belanja Boros, Ikut Had Dan Berhemah – Najib

Share

Kerajaan tidak boros apabila berbelanja sebaliknya menekankan perbelanjaan mengikut kemampuan dan had serta berhemah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita tidak boleh tergesa-gesa untuk berbelanja dan terpengaruh untuk berbelanja. Kalau meminjam duit perlulah untuk pelaburan produktif,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kewangan 2016, di sini hari ini, Najib berkata kerajaan akan memastikan hutang negara berada di bawah paras 55 peratus.


Menurutnya, pada 2016 hutang negara berada pada paras 52.6 peratus.

Menurut Najib asas ekonomi kini dalam keadaan yang begitu baik dan positif kerana kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang tepat dan berani.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sijil kepada Zoraidah Ahmad pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kewangan 2016


Katanya kerajaan tidak memilih semata-mata meraih populariti atau menjadi orang yang popular bahkan sanggup berkorban demi kepentingan negara dalam jangka masa pendek dan panjang.

“Kalau kita ini sebagai pembangkang, kita tidak perlu berpijak atas realiti, sebaliknya kita boleh menjanjikan sesuatu semata-mata meraih sokongan. Tetapi, kemungkinan mereka (pembangkang) sendiri tidak ikut melakukan kalau mereka dapat kuasa.

“Sebaliknya, kita sebagai sebuah kerajaan, tidak boleh bersikap demikian. Apa keputusan yang kita lakukan, mesti berpijak di bumi nyata dan bertanggungjawab. Keputusan yang kita buat pasti tepat, (kerana) kalau salah buat keputusan, kesan buruk kepada ekonomi dan rakyat,” tegas Perdana Menteri.


Najib berkata langkah dan pandangan tepat membolehkan kerajaan mengurus ekonomi negara dan kewangan kerajaan dengan baik walaupun terdapat banyak ketidaktentuan dan tidak dapat diduga.

“Tahun ini kita berusaha untuk meningkatkan lagi pencapaian ekonomi kita antara. 4.3 peratus dan 4.8 peratus. Di samping itu, kita pun lihat bahawa asas fisikal konsolidasi yang dijanjikan dan dilaksana pada 2009, defisit fisikal kita berada pada 6.7 peratus, dan tahun lepas pada 3.1 peratus.

“Tahun ini, Insya Allah, kita dapat mencapai 3 peratus. Jadi, sedikit demi sedikit, kita menjurus kepada bajet berimbang dan satu hari nanti, kita akan dapat memenuhi matlamat yang kita hendak capai,” kata Najib.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata kerajaan telah mengambil langkah seperti melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) walaupun ada pihak yang berkata bahawa GST akan menyebabkan kerajaan menjadi tidak popular.

“Sebagai Perdana Menteri, saya sanggup buat kerana saya percaya GST merupakan langkah yang amat tepat untuk ekonomi. Bila harga minyak merundum jatuh, kita kerugian RM35 bilion hasil negara. Kalau tidak ada GST. memang ekonomi negara kita akan tersungkur. Tetapi bila kita buat GST, Insya Allah tahun ini, dijangka mendapat hasil dalam lingkungan RM45 bilion.. .Belum tahu lagi tetapi itulah jangkaan kita.

“Ini bererti bahawa kita boleh tentukan hasil negara kita berada pada tahap yang baik dan segala perkhidmatan yang hendak diberikan kepada rakyat dapat kita lakukan,” katanya.

Mengenai Pusat Transformasi Bandar (UTC), Najib berkata tidak negara di dunia yang menyediakan perkhidmatan UTC seperti Malaysia yang memberikan keselesaan kepada rakyat dalam urusan membuat pasport dalam satu jam serta mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia dengan bayaran RM1.

“Percayalah, negara berada pada landasan yang benar, dan bila kita buat secara gigih, dan akan capai apa yang diharapkan. Saya mahu lonjakan yang besar dan mahu menjadikan Malaysia antara 20 negara pertama di dunia menjelang 2050. Itulah aspirasi, hasrat dan impian kita, dan saya percaya kita boleh mencapai itu,” katanya.

Najib juga berkongsi dua pegangan Pengasas AliBaba, Jack Ma iaitu ‘keputusan besar’ dan ‘sangat cekap’ bagi memastikan Malaysia mencapai lonjakan berganda dalam pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dalam ucapannya berkata sebanyak 6.9 juta permohonan diluluskan bagi menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017.

Beliau berkata projek perintis My Beautiful New Home (My BN Home) di Lekir, Sitiawan telah mencapai prestasi yang cemerlang dengan satu unit rumah dapat disiapkan dalam tempoh sembilan hari, dan dijangka 50 unit di Lekir itu dapat siap dalam tempoh tiga bulan.

“Kementerian Kewangan juga telah mengenal pasti UTC baharu yang akan dibina di Perlis, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor. Semua termasuk pembangkang memuji UTC kerana dapat membuat pasport dengan pantas.

Dalam pada itu, Mohd Irwan meminta penjawat awam memberi maklumat tepat kepada rakyat agar rakyat dapat memahami bahawa keadaan ekonomi negara berada pada landasan yang betul dan akan terus maju.

— BERNAMA

Leave a Reply