Kerajaan Ambil Berat Keperluan Rumah Rakyat – PM Najib

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa mengambil berat mengenai keperluan rakyat mendapatkan perumahan yang selesa dan mampu milik.

Beliau berkata projek perumahan yang dibina akan memberi keutamaan kepada golongan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan M40 (kumpulan berpendapatan 40 peratus sederhana).

“Sebagai kerajaan, kita turut mengambil perhatian terhadap kos sara hidup, kemudahan awam dan pengangkutan awam.

“Jika kita melaksanakan semua ini, kita percaya warga Wilayah Persekutuan akan terus memberi kepercayaan kepada kita,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) Residensi Pandanmas Kampung Pandan kepada 700 penerima di sini, hari ini.

Residensi Pandanmas, yang unitnya berkeluasan 850 dan 900 kaki persegi dan dijual pada harga RM280,000 dan RM300,000, adalah satu daripada projek Rumawip di Kuala Lumpur

Najib berkata unit itu, yang dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air serta berada di lokasi yang strategik, dijual pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran yang boleh mencecah antara RM500,000 hingga RM700,000.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak pemaju kerana berjaya menyiapkan projek perumahan itu sembilan bulan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Satu lagi keunikan projek ini adalah elemen subsidi silang dengan 300 keluarga setinggan kaum India yang menetap di kawasan ini hampir 30 tahun lepas akan mendapat rumah baharu yang ditawarkan pada harga RM42,000 seunit, katanya.

Menurutnya tawaran rumah itu adalah sebahagian daripada program penempatan buat kesemua keluarga itu dengan kerajaan akan memberikan 100 peratus pinjaman menerusi Yayasan Wilayah Persekutuan untuk membeli rumah itu.

Kebetulan, saya melancarkan Pelan Tindakan India Malaysia Ahad lepas. Hari ini, terbukti pelan tindakan itu bukan cakap kosong tetapi membantu semua golongan. Ini adalah komitmen kerajaan Barisan Nasional,kata beliau.

— BERNAMA

Leave a Reply