SurCaj Air Pulau Pinang: Siapa Pula Beroleh Manfaat Setelah Mat Sabu?

Selama 15 tahun di bawah kerajaan negeri Barisan Nasional dari 1993 hingga 2008, tidak pernah sekali pun tarif air dinaikkan. Itu fakta yang tidak boleh dinafikan oleh Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang. Pada tempoh berkenaan juga, tiada sebarang surcaj pernah dikenakan ke atas pengguna air di Pulau Pinang.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, (PBAPP) pada tempoh itu masih mampu memberi bekalan air bersih yang berkualiti dan perkhidmatan yang baik kepada rakyat negeri ini.

Di bawah pentadbiran Lim Guan Eng, kerajaan negeri telah menaikkan surcaj pada September 2013 dan terkini April 2017, sementara tarif air dinaikkan pada 2015. Jangan hairan, sungguh pun orang yang sama pernah memberi jaminan segala bagai tentang tiada kenaikan.

Apapun alasan yang diberikan, seperkara yang perlu kita faham ialah keuntungan yang diperolehi oleh PBAPP bakal meningkat, sekaligus memberi manfaat kepada kerajaan negeri, apatah lagi dengan laporan bahawa kadar penggunaan air per kapita harian negeri tidak pun menurun.

Sebelum ini, Mat Sabu pernah dilaporkan mendapat manfaat dari PBAPP apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bebas PBAPP pada 2009, apabila menerima elaun tertentu. Enam tahun kemudian, Mohamad Sabu ketika berucap dalam Muktamar PAS ke-61 mengumumkan perletakan jawatan yang dipegangnya dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Turut melepaskan jawatan ialah Mujahid Yusof Rawa (ahli lembaga pengarah Yayasan Islam & Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang) berikutan keputusan Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-61 itu menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan iaitu memutuskan hubungan dengan DAP, selain dua ahli Majlis iaitu Mhd Nasir Yahya (MBPP) dan Dahalan Fazli (MPSP).

Pada 29 Julai 2015, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow mengumumkan perlantikan semula dua anggota Majlis, Mhd Nasir Yahya (MBPP) dan Dahalan Fazli (MPSP) berkuat kuasa 1 Ogos 2015 berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri pada 29 Julai 2015.

Persoalannya, apakah Mat Sabu dan Mujahid Yusof Rawa juga telah dilantik semula ke dalam perjawatan di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang? Almaklum sahajalah, dahulu melepaskan jawatan kerana ingin mengejar jawatan di dalam PAS. Kini sudah bersama PAN, tentu hisab politiknya sudah berbeza.

PBAPP pernah menjadi tempat Mat Sabu menumpang dahan untuk berpaut. Dengan keuntungan yang bakal meningkat berikutan surcaj terbaru, tidak mustahil sesiapa yang dipilih untuk sertai “keluarga Lim” akan mendapat laba. Apatah lagi sedang ingin mempersiapkan jentera untuk menghadapi pilihanraya umum, maka pengumuman kenaikan surcaj bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Leave a Reply