Yang di-Pertuan Agong – Antara Raja dan Kerajaan-Dr. Rais Yatim

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Muhammad V, Sultan Kelantan, akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April 2017. Baginda menggantikan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Sultan Kedah. Rakyat dan negara sekali lagi menyaksikan perubahan pucuk pimpinan di-Raja. Namun institusi Raja Berperlembagaan tidak berubah.

DYMM Sultan Muhammad V dipilih ke jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat ke-243 Majlis Raja-Raja (MRR)menurut Perkara 32, Perlembagaan Persekutuan pada 14 Oktober 2016 yang lalu. Baginda akan menjadi Ketua Negara Malaysia selama lima tahun dan dalam tempoh itu baginda tidak lagi terlibat dengan tugasan rasmi di-Raja di Kelantan.

Dalam tempoh itu juga baginda selaku Ketua Utama Negara yang berfungsi selaku Raja berkerajaan, tertakluk kepada pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara disyaratkan di bawah Per 40 Perlembagaan Persekutuan menjalankan tugas di-Rajanya mengikut nasihat Perdana Menteri selaku ketua kerajaan. Sekali gus Baginda tersyarat sebagai Raja Berperlembagaan.

Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Raja Berperlembagaan sentiasa bertindak atau berfungsi sebagai Ketua Negara, menaungi segala macam hal ehwal kenegaraan termasuk Islam, bahasa Kebangsaan dan adat istiadat. Urusan rasmi kerajaan Malaysia melalui semua jabatan di bawah fungsi Eksekutif, Kehakiman dan Legislatif (Parlimen) adalah di bawah dan atas nama baginda. Ini ternyata pada sampul surat rasmi kerajaan – “Atas Urusan Seri Paduka Baginda” keadaan yang lebih kurang bersamaan “On Her Majesty’s Service” di Britain.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai banyak tanggungjawab ulung di sisi Perlembagaan Persekutuan (melalui nasihat). Baginda adalah Ketua Utama Negara Malaysia; pemegang kuasa utama Parlimen; Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan; berkuasa mengampun, menangguhkan dan remit mana-mana hukuman di kawasan Wilayah Persekutuan dan di negerinya sendiri; melantik para hakim mahkamah keadilan; kuasa penentu Perkara 153 (keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputera Sabah, Sarawak); melantik pelbagai pegawai dan ketua jabatan di bawah Perkhidmatan Awam dan Diplomatik.

Baginda berhak sama ada bersetuju atau tidak bersetuju membubarkan Parlimen pada masa-masa tertentu. Kuasanya menentukan siapa boleh menjadi Perdana Menteri memang wujud tetapi belum pernah berlaku di mana syor ketua parti majoriti di Parlimen diketepikan pelantikannya sebagai Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong juga pihak berkuasa mengisytihar darurat atau menamatkannya (Perkara 150).

​Terdapat banyak huraian tentang jawatan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara yang sesungguhnya “mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikena dakwa dalam apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas” selagi atas nama jawatan Raja. Baginda tidak tertakluk kepada sistem tradisional seperti di negeri masing-masing di mana kesultanan turun-temurun dari bapa kepada anak.

Menurut suatu huraian almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Pertama di dalam bukunya Looking Back (edisi 1980), ilham mewujudkan sistem di-Raja Persekutuan muncul selepas beliau memerhatikan sistem pemilihan di-Raja di Negeri Sembilan di mana Yang di-Pertuan Besar dipilih oleh Undang Yang Empat. Dengan meneliti laporan Suruhanjaya Reid 1957, ketua negara bagi Persekutuan Tanah Melayu memang dicadangkan sebagai “Yang di-Pertuan Besar” – ini jelas menerapkan tesis Tunku Abdul Rahman itu. Cuma, di saat-saat akhir sebelum Merdeka tanggal 31 Ogos 1957 sebutan Yang di-Pertuan Besar ditukar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tempoh khidmat Yang di-Pertuan Agong tidak melebihi lima tahun. Tiada pilihan di sisi undang-undang bagi melanjutkan atau menambah tempoh itu. Jawatan tertinggi ini tidak memakai sistem institusi Raja Muda atau sistem Tunku Mahkota dalam perkara berkaitan naik takhta susulan kemangkatan atau lain-lain sebab yang memerlukan penggantian sebagai Raja sesebuah negeri.

Tajuk mengenai Yang di-Pertuan Agong di sisi perundangan negara diakui banyak. Pelantikan Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada tuntutan Perkara 32 hingga 36 serta Jadual 3 (Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong), Jadual 5 (berkaitan Majlis Raja-Raja) dan Jadual 8 (Peruntukan tetap yang dimasukkan dalam Perlembagaan Negeri-negeri Beraja) Perlembagaan Persekutuan. Kehendak Perlembagaan ini tidak boleh diketepikan atau diabaikan kerana jika mana-mana peruntukannya tidak dipatuhi akibatnya ialah naik takhta seseorang Raja itu mungkin dicabar atau dipertikaikan sebagai tidak sah.

Rentetan pelbagai peristiwa 1993 – 1994 yang boleh dianggap sebagai krisis Eksekutif dan Raja-Raja menimbulkan beberapa natijah yang layak dianggap mencabar Institusi Raja. Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan, khasnya menghilangkan taraf kekebalan daripada proses dakwaan atas perkara-perkara sabitan jenayah yang dilakukan mana-mana Raja.

Kedaulatan

Mulai 1994, susulan pindaan Perlembagaan 1993, sebutan sembah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) dihentikan. Acara sembah Yang di-Pertuan Agong dengan mengangkat tangan ke paras muka juga dihentikan dan diganti dengan sekadar tunduk kepala di hadapan baginda. Dengan bermulanya pemerintahan DYMM Sultan Muhammad V, Oktober lalu, amalan tradisional di-Raja ini dipulihkan.

Prosiding sivil juga selepas Pindaan Perlembagaan 1993 terhadap mana-mana Raja, termasuk Yang di-Pertuan Agong, dibolehkan asalkan dengan kebenaran Pendakwa Raya (Peguam Negara) dan diproses di bawah bidang kuasa Mahkamah Khas yang kuasa-kuasa perlunya di bawah Perkara 182. DYMM Sultan Kelantan, almarhum Raja Perlis, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah antara pihak-pihak di-Raja yang pernah menzahirkan kepada penulis keengganan menerima pindaan-pindaan meluas Perlembagaan ketika itu.

Ada rungutan yang mengaitkan dakwaan bahawa tidak semua pihak di-Raja menandatangani persetujuan merubah status berkaitan kedaulatan, kebesaran dan keistimewaan Raja. Sesungguhnya perkara besar ini seharusnya diteliti melalui suatu kajian dan semakan terperinci untuk memastikan sama ada benar atau tidak keputusan mesyuarat MRR 1993 itu sebulat suara setuju meminda bahagian-bahagian Perlembagaan Persekutuan berkaitan kedaulatan Raja-Raja.

Yang di-Pertuan Agong adalah jawatan Ketua Negara yang dicipta oleh Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan, “Maka hendaklah ada seorang kepala utama negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong…” dan klausa (2) Perkara 32 memperuntukkan bagi Permaisuri Agong. Kedua-dua personaliti di-Raja ini mendahului semua orang dan pihak di dalam negara. Peruntukan ini berkuat kuasa semenjak negara mencapai kemerdekaan 1957. Sebelum itu Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu yang di bawah jajahan British tidak ada mempunyai seorang Raja bertaraf Agong atau Supreme Ruler. Pada zaman itu British berurusan secara langsung dan berasingan dengan Raja sesebuah negeri.

Ada pihak-pihak dalam kalangan pakar Perlembagaan mengatakan bahawa institusi MRR itu sebenarnya adalah institusi ‘pengimbang’ kepada sistem pemerintahan secara Persekutuan. (Misalnya, jika apa-apa perubahan hendak dilakukan kepada Perkara-perkara berkaitan hal-ehwal di-Raja termasuk kedaulatan, kedudukan dan keistimewaan mereka, atau Perkara 152 (bahasa Kebangsaan), 153 (hak-hak keistimewaan orang Melayu), 160 (adat dan kemelayuan), MRR berhak dan hendaklah terlebihdahulu dirundingi).

Rakyat Malaysia yang bertradisi dan berteraskan budaya bangsa akan sentiasa menghormati institusi Raja. Walaupun sebahagian daripada takrif dan amalan kedaulatan Raja Melayu itu sudah diubah suai pada tahun 1993 dan 1994 melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan dan institusi Raja terus terpelihara dan hidup subur.

Apa-apa unsur atau perbuatan yang menjurus kepada menghina institusi Raja akan menerima padahnya di sisi Akta Hasutan 1948 yang telah dikemas kini melalui pindaan-pindaan mutakhir.

Manakala selesai pertabalan DYMM Sultan Muhammad V pada tanggal 24 April 2017 akan tersempurnalah satu lagi tradisi Raja Berkerajaan bagi Malaysia tercinta. Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, wajib menjelmakan prinsip Rukunegara kedua – Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Simbolisme dan isi ‘setia kepada Raja’ bererti setia kepada negara.

Utusan Online

Leave a Reply