Seronok Berlibur, ‘Shopping’ Bukti GST Tidak Beri Kesan Papa Kedana

Share

Sehari dua ini rakyat Malaysia kelihatan bagai gembira gara-gara diberikan cuti ‘bersambung’. Cuti hujung minggu selama dua hari, ditambah pula dengan cuti pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, menyaksikan mereka sibuk menyusun aktiviti masing-masing.

Digaris-garis masa media sosial, dapat kita saksikan ada yang mengambil cuti tambahan dan berlibur bersama keluarga di pusat-pusat pelancongan. Ada yang ke Pulau Pinang, Langkawi, Pangkor, dan ada pula yang ke Sabah atau Sarawak.

Juga dapat dilihat suasana di pusat-pusat membeli-belah bagai tiada ‘surut’nya. Sejak awal dibuka hinggalah ia hampir ditutup, ia menjadi tumpuan ramai. Ada yang ber’shopping’ sakan, dan ada juga yang sekadar mencuci mata bersama sahabat rakan.

Ada mereka peduli bila membayar GST ketika beli tiket kapal terbang? Ada yang tidak mahu bayar GST ketika beli baju baru? Ada yang jatuh miskin bila bayar secawan kopi mahal? Ada yang mengamuk enggan bayar GST ketika membeli-belah dan berlibur? Semua gembira saja kita lihat tersenyum berswafoto, bukan?

Keadaan ini bagai tiada beza antara sebelum menggunakan sistem cukai GST atau selepas sistem itu dikuatkuasakan. Dulu pun begitu, dan masyarakat Malaysia kekal begitu gaya hidupnya. Malah mereka semakin galak merancakkan proses ‘buang duit’ begitu.

Namun jika diteliti, mereka-mereka inilah yang begitu kuat mengeluh, marah-marah bila kerajaan melaksanakan GST. Seolah-olah kerana GST, mereka melarat hidup tak makan, dan tidak dapat lagi beli baju baru. Padahal, pantang keluar telefon pintar baru, pasti mereka ‘sambar’ walau yang lamanya masih elok boleh digunakan tanpa masalah.

Bila ditegur, mereka melenting marah. Mereka beri alasan konon membela nasib orang miskin yang turut dikenakan GST. Padahal, golongan miskin itu sememangnya miskin sebelum GST dilaksanakan. Malah ada yang lebih miskin di zaman SST berbanding di zaman GST.

Kenapa? Kerana di zaman SST dulu mereka satu sen pun tidak mendapat bantuan kewangan dari pihak kerajaan. Sudahlah hasil cukai kerajaan hanya ‘seciput’, malah rakyat berpendapatan rendah tidak menerima agihan kembali.

Namun kini golongan ini sekurang-kurangnya terima juga BR1M sebagai pulangan. Jadi, alasan yang digunakan untuk marahkan GST itu tidak relevan untuk mereka guna bagi menyalahkan kerajaan. Mereka tetap mampu berlibur, dan yang miskin lebih terbela. Jadi, apa yang hendak disungutkan?

Sekiranya benar GST menjadikan mereka susah dan papa kedana, maka wajarlah mereka marah. Jika pendapatan mereka berjumlah RM5,000 sebulan, tapi terpaksa membayar cukai sebanyak RM4,000, maka wajarlah mereka marah.

Tapi apalah salahnya jika sebahagian kecil saja dibayar kepada kerajaan melalui cukai dan hasil itu dikembalikan menerusi pelbagai cara seperti bantuan kewangan, pendidikan, kesihatan dan keperluan lain kepada mereka yang lebih memerlukan?

Apakah hati dan nafsu mereka begitu keras sekali mementingkan diri, namun tidak dapat menyelami denyut nadi kehidupan golongan yang berpendapatan rendah dan memerlukan di sekeliling mereka?

Jadi pada pandangan penulis, tidak perlulah berlaku ‘poyo’ terlebih. Jika prihatin sangat, apa kata tidak perlu bercuti di hotel 5 bintang, sebaliknya sedekahkan semua kos percutian itu kepada golongan miskin dan kurang bernasib baik.

Tidak perlulah habiskan wang minum di Starbucks, makan ‘lobster’ di restoran eksklusif atau bergaya mengenakan beg tangan LV, sebaliknya dermakan semua wang itu kepada ibu tunggal, anak yatim, asnaf dan mereka yang memerlukan.

Peliknya, golongan ini begitu lokek memasukkan not RM5 ke dalam tabung masjid, tapi begitu murah hati membayar secawan kopi panas berharga RM15 sambil mengutuk kerajaan di media sosial? Begitu tinggi sekali pekerti mereka?

Pada penulis, rakyat Malaysia perlu buang budaya negatif begini. Pemikiran penduduk negara maju tidak ‘bodoh’ begitu. Jika masih kekal dengan mentaliti kelas ketiga begitu, maka tidak hairanlah jika golongan inilah yang paling banyak diperbodohkan pembangkang. Masih tak sedar diri lagi? Terserahlah…

Leave a Reply