Kenaikan Kos Sara Hidup: Sila Salahkan Diri Sendiri…

Share

Penulis tidak nafikan bahawa kos sara hidup di zaman ini sememangnya tidak sama seperti 20 tahun lepas. Ia memang suatu yang normal berlaku. Kos sara hidup pada tahun 1995 misalnya adalah jauh lebih tinggi berbanding tahun 1975. Itu fakta.

Namun bagi segelintir pihak yang lemah mindanya, mereka begitu cepat terpengaruh dengan propaganda pembangkang yang menjadikan kenaikan kos sara hidup sebagai satu kesalahan dan meletakkan kesalahan itu kepada pihak kerajaan. Padahal, ia suatu yang normal!

Bila kita mengatakan bahawa orang dulu langsung tidak merungut dengan kos kenaikan sara hidup, ada pula yang mengatakan ‘dulu lain sekarang lain’. Kononnya dulu walau gajinya kecil, namun mampu membeli banyak barang. Langsung dikaitkan pula dengan nilai ringgit kini…


Benarlah dulu gajinya kecil dan mampu beli banyak barang. Tapi barang apa yang dibeli dulu? Orang dulu ada beli telefon pintar seawal usia sekolah rendah? Orang dulu ada beli kopi Starbuck? Orang dulu menonton wayang premium dengan ‘popcorn’ dan pakej VIP?

Orang dulu tidak membazir wang mereka. Mereka tahu bagaimana susahnya untuk mencari wang. Makan nasi dengan garam atau kicap kampung, adalah satu kebiasaan. Sebulan sekali dapat makan lauk ayam adalah suatu yang mengembirakan!

Orang dulu tidak serakah pakai iPhone 7s atau Samsung S8. Telefon awam sudah memadai dengan beberapa keping syiling di dalam kocek. Harga tiket Cathay pula tidak sampai RM3 untuk duduk diposisi selesa sambil makan kuaci 5 sen sebungkus.


Orang dulu juga tidak merengek minta RM10 dari ibu bapa untuk ‘top up’ telefon pintar, apatah lagi untuk beli data internet. Orang dulu bawa bekal ke sekolah, malah ramai yang langsung tidak belanja wang saku 20 sen yang diberi ibu. Masuk tabung untuk kegunaan masa depan…

Orang dulu tidak naik motosikal ke sekolah. Naik basikal pun tidak, ramai yang berjalan kaki dengan sepatu murah berharga RM2 dibeli terus dari kilang. Main bola sepak pun ramai berkaki ayam dan hanya yang berada saja yang pakai ‘boot’ getah bersulam kain berwarna hitam.

Tidak seperti sekarang, serba serbinya nafsu orang zaman ini yang senang-senang belaka. Celik mata, iPad dan gajet di depan mata. Media sosial menjadi satu kewajipan. Serakahnya mahu lengkap dan miliki segalanya. Padahal, gajinya tidaklah seberapa.


Bagi yang bergaji besar, ramai yang beri alasan kononnya tidak mahu lihat anak hidup susah seperti mereka dahulu. Dibelikan segalanya walau terpaksa berhutang kad kredit. Padahal, kerana diajar hidup susah oleh ibu bapa dahululah yang berjaya membuat mereka berjaya dan bergaji besar sekarang.

Dan kini mereka manjakan anak dengan keselesaan? Padanlah generasi sekarang bila tidak dapat apa yang dihajati, mereka akan mengamuk. Tidak dapat telefon pintar, ada yang sampai menyeranah ibu. Tidak dapat motosikal, ada yang tidak mahu ke sekolah?

Apabila tidak dapat memenuhi kehendak yang dihajati nafsu serakah mereka, maka tanpa segan silu mereka akan menyalahkan kerajaan. Kononnya tidak pandai menguruskan ekonomi negara hingga hidup mereka tertekan dengan kenaikan kos sara hidup.

Padahal, kos sara hidup hanya melibatkan keperluan asas untuk hidup saja. Tapi gara-gara kehendak mereka yang tidak terbatas, maka kehendak-kehendak nafsu mereka itu sengaja ditukar menjadi satu keperluan.

Mereka jadikan telefon pintar satu keperluan. Mereka jadikan restoran segera satu keperluan. Mereka jadikan wang saku anak ke sekolah RM5 sehari satu keperluan. Mereka jadikan bercuti 3 kali setahun sebagai satu keperluan. Kenapa tidak jadikan jet peribadi sebagai satu keperluan juga?

Pada pandangan penulis, semua orang mahu hidup senang dan mewah. Semua mahukan Vellfire, rumah ‘disneyland’ bertingkat-tingkat dengan kolam renang, percutian mewah ke London dan Eropah, serba-serbinya mahu hebat dan besar.

Itulah nafsu, suatu yang Rasulullah SAW ingatkan kita lebih 1,400 tahun yang lampau. Nafsu itulah yang beraja dalam diri dan perlu dikekang. Padahal, setiap sen yang kita terima dan kita belanjakan akan dipersoal di akhirat kelak.

Untuk memenuhi kehendak nafsu juga maka ramai yang rasuah. Ada yang mementingkan diri enggan membayar zakat pendapatan, apatah lagi cukai GST. Malah ada pula yang sanggup menunjuk kebodohan diri menyalahkan kerajaan dalam apa jua kegagalan memenuhi kehendak nafsunya.

Padahal, segalanya adalah terpulang pada diri sendiri. Jika ukur baju pada badan sendiri, mereka tidak akan jadi begini. Jika hidup cara Rasulullah SAW dan para sahabat dulu, penulis yakin mereka tidak akan mengejar kemewahan dunia.

Tapi berapa ramai yang sedar tentang hakikat ini? Berapa ramai pula yang mampu mengawal nafsu serakah? Berapa ramai pula yang terlalu rendah pemikirannya sehingga berjaya diperbodohkan pembangkang? Semoga sedarlah kita semua sebelum terlambat…

Leave a Reply