Pesuruhjaya PAS Kedah Lebih Sayangkan Mahfuz Dari Parti?

Share

Hari ini media melaporkan tentang kenyataan dari Pengerusi Lembaga Disiplin PAS, Dr Daeng Sanusi Mariok, yang mengatakan parti itu tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin yang ‘curang’ dan melanggar disiplin PAS.

Penulis difahamkan, kenyataan tersebut dibuat beliau ketika media bertanya tentang status Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar yang sebelum ini dilihat begitu lantang mempersoal, menyindir dan menyerang partinya sendiri.

Berdasarkan kepada kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin itu, penulis simpulkan bahawa masih belum ada laporan atau aduan mengenai salah laku Mahfuz kepada PAS. Mungkin atas alasan itu, tiada sebarang tindakan disiplin dilakukan terhadap Ahli Parlimen PAS tersebut.

Pada pandangan penulis, memang benar apa yang dikatakan Dr Daeng Sanusi itu. Memang begitulah resmi parti, sebarang tindakan disiplin perlulah diambil mengikut prosedur dan ketetapan perlembagaan parti. Jika tiada aduan, maka keputusan tidak boleh dibuat.

Namun begitu, timbul persoalan penulis tentang kenyataan dari PAS Kawasan Pokok Sena sebelum ini yang mengherdik Ahli Parlimen mereka itu supaya meletak jawatan dan keluar dari PAS. Kenyataan itu dibuat kerana mereka mendakwa Mahfuz menjadi ‘duri dalam daging’ di dalam PAS.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah juga dalam kenyataannya mencabar Mahfuz supaya keluar dari PAS kerana Ahli Parlimen Pokok Sena itu sering menghentam PAS secara terbuka dan tindakan itu menjejaskan nama baik jemaah parti.

Malah, Presiden PAS sendiri, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya ‘mengusir’ Mahfuz supaya keluar meninggalkan PAS sekiranya tidak berpuas hati terhadap pendirian parti berkenaan.

Dari sudut logik, bermula dari PAS Kawasan sehinggalah ke peringkat tertinggi pucuk pimpinan PAS membuat kenyataan senada terhadap Mahfuz. Soalnya, apakah kenyataan itu dibuat sekadar suka-suka tanpa sebab yang konkrit?

Sekiranya Mahfuz tiada melakukan apa-apa kesalahan disiplin dalam PAS, apakah semua pihak itu akan bersuara begitu lantang mengenainya? Jika perkara kecil, selalunya mereka tidak akan bersuara di dada media dan mendapat liputan meluas, bukan?

Jadi, penulis yakin bahawa kenyataan-kenyataan keras itu dibuat berdasarkan kepada kesalahan disiplin Mahfuz yang dianggap melampau dan menjejaskan PAS di mata umum. Maka kerana itulah ia disuarakan berulang kali dan senada.

Perosalannya, mengapa PAS Kedah berdiam diri dan tidak membuat laporan atau aduan rasmi menggesa Lembaga Disiplin PAS supaya bertindak mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pokok Sena itu?

Akar umbi sudah bersuara, Naib Presiden sudah menggesa, hatta Presiden sendiri pun sudah memberi ‘lampu hijau’. Tapi Pesuruhjaya PAS Kedah masih lagi tidak berani mengambil tindakan terhadap Mahfuz? Sayang sungguh dia pada Mahfuz?

Pada pandangan penulis, rasionalnya Pesuruhjaya PAS Kedah perlu memilih satu antara dua. Pilih satu antara dua sama ada sayangkan PAS atau sayangkan Mahfuz. Beliau perlu berterus terang demi kepentingan dan survival PAS di mata ahlinya.

Mengapa Adun Salor dipecat dari parti, sedangkan Mahfuz tidak? Pada penulis, ia adalah kemungkinan kerana adanya pemimpin PAS di Kelantan yang berani membuat aduan disiplin terhadap Dato’ Husam Musa. Tapi PAS Kedah terlalu ‘bacul’ untuk membuat laporan?

Maka itu, tidak hairanlah jika Mahfuz terus berani menghentam PAS dan menyalahi aspirasi parti. Jika arwah Tan Sri Azizan Razak masih hidup, penulis yakin sudah lama nama Mahfuz sudah tersingkir dari ‘kamus hidup’ PAS di Kedah.

Mungkin kerana itulah orang PAS di Kedah lebih hormat dan sayangkan arwah berbanding Pesuruhjaya PAS Kedah yang sekarang. Tegas arwah demi prinsip Islam dan maruah parti, bukan pertualang yang cuba merosakkan parti dari dalam…

(Visited 14 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!