4 Bulan ‘Aura’ Dapat Tewaskan PAS Di Kedah?

Share

Jika dilihat pada propaganda parti ‘cap bunga’ di seluruh negara, mereka bermati-matian yakin mampu menawan negeri Kedah di sebelah utara sana. Mungkin dakwaan itu dibuat berdasarkan negeri asal kepimpinan utama parti itu yang berasal dari negeri tersebut.

Seperti sedia maklum, Pengerusi dan anaknya, Timbalan Presiden, sememangnya berasal dari Kedah. Jadi, bagi membayangkan mereka ini ‘hebat’ dan ‘maha-dewa’ pengaruhnya, maka mereka mendakwa negeri itu berada ‘dalam tangan’ mereka.

Sebelum ini, puak parti ‘cap bunga’ kerap mendakwa kerana Timbalan Presiden merekalah maka BN berjaya merampas kembali negeri Kedah dari tangan Pakatan Rakyat. Jika disanggah pandangan itu, maka meroyanlah mereka menafikan hujah dan fakta yang diberi.

Padahal, mereka sendiri pun tahu bahawa Timbalan Presiden mereka yang ketika itu berjawatan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah hanya kembali ke Kedah dan membantu kempen BN kira-kira 4 bulan sebelum PRU ke-13 berlangsung.

Penulis amat ‘kagum’ jika anak bekas Perdana Menteri itu sebegitu hebat jika benar dia hanya memerlukan 4 bulan saja untuk memastikan PAS di Kedah tumbang dan memberikan kemenangan kepada BN pada tahun 2013 dulu.

Namun benarkah anak bekas Perdana Menteri itu begitu hebat? Hanya kerana dia, maka PAS tewas di tangan BN? Hanya 4 bulan saja turun padang, maka dia jadi punca penyebab BN berjaya mendapat 22 Dun dan 10 Parlimen ketika itu?

Sekiranya terlalu hebat sekali ‘aura’nya itu, maka penulis cabar dia buktikan kemampuannya untuk merampas Kedah dari tangan BN pada PRU ke-14 nanti. Jika benar propaganda ‘cap bunga’ itu, kita perlu lihat sendiri ‘aura’nya pada pilihan raya kelak.

Dia punya kelebihan sebenarnya. UMNO Kedah sebelum ini berikan dia tempoh kira-kira hampir 3 tahun untuk menjaja diri di seluruh negeri itu. Dia pula begitu sibuk bergaya mempromosi dirinya melalui aktiviti-aktiviti swafoto dan ‘jejak berjubah’ di depan rakyat.

Mempergunakan kerajaan negeri dan jentera parti selama tempoh hampir 3 tahun itu, pastinya amat mudah baginya untuk merampas Kedah dari tangan BN, bukan? Dan kini, ditambah pula kira-kira setahun dua sebagai Timbalan Presiden ‘cap bunga’, pastinya peluang untuk menewaskan BN di Kedah berada dalam genggamannya.

Sekiranya dilihat pada atas kertas berdasarkan garis masa, tiada masalah baginya untuk kembali ‘beraja’ di Kedah. Hanya empat bulan diperlukan untuk dia hancurkan Kerajaan PAS di negeri itu, inikan pula diberi kesempatan selama 3 tahun ‘menjual diri’ dan hampir 2 tahun berkempen parti barunya itu, bukan?

Soalnya, benarkah dia mampu? Dengan keadaan parti ‘cap bunga’ yang huru-hara akibat pemilihan Ketua Bahagian, perebutan jawatan besar dan kecil di segenap penjuru kawasan yang tidak dapat disembunyikan, mampukah dia?

Bagaimana pula dengan ‘perang dalaman’ yang sedang dihadapi di negeri itu yang sengit melobi diri dan ‘bersepak terajang’ berebut menjadi calon pilihan raya? Nampaknya makin ramai yang sudah nampak ‘sopak’ dan ‘busuk perut’ di dalam parti berkenaan di Kedah?

Pada pandangan penulis, puak ‘cap bunga’ tidak perlulah berbohong tentang realiti politik di Kedah. Di negeri itu, hanya dua parti saja yang diterima rakyat. Dua parti itupun hanyalah UMNO/BN dan PAS, parti ‘cap bunga’ tidak masuk dalam senarai pun.

Sebagai contoh, puak ‘cap bunga’ di Pendang kononnya yakin dapat tawan Parlimen itu dan dua Dun di dalamnya pada PRU ke-14 nanti. Bercakap tentang parlimen, BN yang kuat itu pun agak sukar untuk menang dan berjaya menewaskan Mat Sabu pada PRU ke-14 yang lalu, tapi ‘cap bunga’ pula yang baru setahun jagung dakwa mampu ‘tawan’ Pendang?

Dua Dun lagi ialah Sungai Tiang dan Tokai. Sungai Tiang dimenangi wakil rakyat BN dengan memperoleh hampir 19,000 undi dan PAS pencabar paling hampir menerima hampir 12,000 undi. Jadi berapa undi yang ‘cap bunga’ boleh dapat?

Manakala di Dun Tokai pula, PAS menang dengan mendapat hampir 18,000 undi, dan BN pula lebih 12,000 undi. Jadi celah mana undi untuk ‘cap bunga’? Dari mana asasnya keyakinan ‘cap bunga’ untuk menawan Pendang pada PRU ke-14 nanti?

Dari cakap besar puak ‘cap bunga’, mereka sepatutnya tidak meminjam dari PAS, PKR, PAN mahupun DAP yang kini menjadi ‘abang besar’ mereka. ‘Cap Bunga’ perlu menang bersendirian majoriti dari 36 Dun di Kedah dengan hanya menggunakan ‘aura’ Timbalan Presiden saja. Mampu?

Justeru itu, tidak perlulah gebang besar di depan rakyat. Propaganda menipu sebegitu tidak diredhai Allah. Jika benarpun mahu menang dan beri keyakinan pada rakyat, usahlah guna cara bohong. Bukan saja orang meluat, hanya dapat dosa saja.

Saranan penulis, puak ‘cap bunga’ simpanlah angan-angan untuk rampas Kedah itu dilain episod. Itupun jika ‘cap bunga’ tidak ‘layu’ dan ‘ditalkinkan’ pada masa akan datang. Jika ‘terkubur’, penulis hanya mampu ucapkan ‘salam takziah’ saja…

Leave a Reply