Dia Bukan Tukang Tilik Yang Hebat, Selalu Meleset…

Gambar Hiasan

Bukan sekali dua, namun dia sudah berkali-kali ‘menilik’ masa depan beberapa pemimpin politik sepanjang 22 tahun pemerintahannya. Antara pemimpin yang ditilik itu, ada yang disingkirkan terus dari kepimpinan dan ada juga yang beruntung dibentang karpet merah untuk ke puncak tertinggi.

Dia cukup berpengaruh dulu. Memperguna dan mengawal media arus perdana, dan kebetulan belum wujud lagi media sosial ketika itu, dia digambarkan begitu ulung sehingga hampir tiada cacat cela sepanjang dia berkuasa.

Apatah lagi dia cukup berkuasa menduduki kerusi empuk sebagai Perdana Menteri, semua kementerian, jabatan, agensi mahupun GLC, tunduk akur dan terpaksa ‘melutut’ padanya. Jadi, jika dia tersalah ’tilik’ sekalipun, dia tetap dilihat bagaikan ‘dewa’…

Jika tidak, bagaimana seorang budak muda yang lulus ‘atas pagar’ di Universiti Malaya dulu ditatang bagai minyak yang penuh. Meskipun dibantah oleh pemimpin yang kenal rapat dengan budak itu, dia tetap degil mempertahankan ’tilikannya’.

Budak itu diangkat menjadi pemimpin. Tidak lama kemudian, dia melantik budak itu menjadi menteri penuh. Dia buka pula jalan yang begitu selesa kepada budak muda itu sehingga mendaki secara ‘ekspres’ hingga berjaya menyandang jawatan Timbalan Presiden UMNO dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri.

Ketika itu, berapa ramai pemimpin yang lebih berpengalaman dan banyak berjasa pada parti dan negara yang tidak berpuas hati dengan ’tilikan’ dan tindakannya itu. Cuma ketidakpuasan hati itu tidak berani disuarakan secara terbuka, khuatir ‘dicantas mati, terbenam tak mampu bangkit lagi’.

Namun bila budak itu sudah kuat berpengaruh dan berani ‘naik kepala’, mencabar kedudukannya sebagai ‘dewa’ yang disanjung, dia gunakan segala pengaruh, kuasa dan autoriti yang ada untuk ‘matikan’ karier politik budak itu.

Setelah bejaya menyumbat budak yang sudah dewasa itu ke dalam jeriji besi, dia berlakon minta maaf pada semua kononnya dia tersalah ’tilik’?

Dan begitu juga dengan penggantinya dulu. Dia angkat, dia puji tinggi setinggi langit. Menang besar dibuatkan BN pada PRU yang berlangsung pada ketika itu. Namun bila penggantinya ‘tidak mendengar wahyunya’, mulalah dia lancarkan serangan demi serangan.

Menyedari media dikawal penggantinya, dia buka blog dan jadi blogger. Di depan rakyat, sekali lagi dia ‘mohon maaf’. Kononnya kali ini pun dia ‘tersalah tilik’. Dia ingatkan ‘Mr Clean’, tapi dia mendakwa ’tilikan’nya salah lagi.

Pada pandangan penulis, jika tilikannya itu membabitkan keputusan yang berkait tentang hal ehwal peribadinya seperti mahu makan apa malam ini, meramal anak sulungnya akan pakai tudung menutup aurat, tidak mengapalah kerana ia tidak memberi kesan kepada negara.

Namun bila yang ‘ditilik’nya itu membabitkan pemimpin tertinggi yang bakal mencorak dasar dan menentukan hala tuju negara, dan kemudian dia ‘tersalah tilik’, maka penulis berpandangan bahawa dia bukan seorang ‘tukang tilik’ yang hebat atau oleh diyakini benar.

Pada hemat penulis, kredibilitinya sebagai ‘ahli nujum’ sangat meragukan dan amat merugikan negara. Spekulasinya bukan saja akan menjejaskan imej pemimpin tertinggi negara, malah menjejaskan imej tanahair dan merugikan prospek ekonomi negara ini.

Jika ‘raja bomoh sedunia’ dikecam hebat kerana ritual-ritualnya sebelum ini, apa kurangnya dia dengan tilikan-tilikan meleset yang memalukan negara? Pada penulis, dia juga layak dilihat setaraf dengan ‘raja bomoh’ terkenal itu, bukan?

Dia membuat ’tilikan’ kononnya Dato’ Seri Najib Tun Razak akan jatuh pada PRU ke-14 nanti? Bagaimana jika ’tilikan’nya kali ini juga tidak menjadi kenyataan? Siapa yang mahu dia salahkan jika ’tilikan’nya itu meleset?

Mahu disalahkan SPR kononnya tidak telus dan sudah ‘dibeli’ oleh BN? Mahu gunakan alasan konon peti undi jatuh dalam sungai? Atau dia mahu kata kononnya BN menang kerana pengundi import dari Bangladesh yang diangkut menggunakan pesawat jumbo?

Saranan penulis padanya, sudah-sudahlah memalukan diri sendiri. Rakyat di negara ini amat terkejut dan malu selepas dia berkelakuan buruk bagai ‘menjilat kahak sendiri’ gara-gara bersekongkol dengan DAP. Kembalilah ke pangkal jalan dan bersaralah dari dunia, tumpukan pula hari akhirat…

Leave a Reply