PELABURAN PENGANGKUTAN AWAM BUKAN UNTUK POPULARITI POLITIK

Oleh Jee

Berpolitik bagi Barisan Nasional bukan sekadar menabur janji di kala menjelang pilihanraya 5 tahun sekali tetapi merancang dan membangunkan negara untuk dinikmati rakyat mengatasi segala-galanya. Salah satu janji yang ditepati kerajaan Barisan Nasiona adalah memastikan pengangkutan awam darat terus dipertingkatkan agar perhubungan mampu dipermudah dan perjalanan di darat adalah selamat dan selesa.

Pada masa yang sama, kemampuan kerajaan dan rakyat juga diambilkira serta dititikberatkan tatkala keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu yang mengakibatkan kos sara hidup yang semakin meningkat. Maka negara ini memerlukan barisan kepimpinan yang berpandangan jauh untuk memastikan satu plan pengangkutan awam darat yang efisien, menyeluruh dan tidak membebankan kerajaan mahupun rakyat.

Dalam cita-cita kerajaan Barisan Nasional menuju ke negara maju pada 2030 nanti dan dijangka pertambahan penduduk di Malaysia juga akan meningkat sehingga 32.5 juta. Begitu juga kepadatan penduduk akan bertambah di setiap kawasan bandar terutamanya di Lembah Kelang. Oleh itu, masalah yang pasti dihadapi masyarakat bandar dan luar bandar adalah perhubungan jalan darat dan jika tidak diatasi, negara bakal berhadapan dengan satu fenomena mobiliti masyarakat yang sentiasa tersekat di mana akhirnya perkembangan ekonomi negara juga akan turut terjejas.

Untuk meningkatkan pembangunan negara, sejarah telah membuktikan hubungan di antara bandar dan luar bandar memerlukan akses perjalanan yang teratur dan jelas di mana pada awal pemerintahan Barisan Nasional, jalan-jalan raya baru dibuka dan diteruskan dengan pembinaan lebuhraya. Namun, ia masih tidak dapat mengatasi kepesatan dan kesesakan jalanraya setelah kerajaan lalu hanya menumpukan kepada automobil nasional dan lambakan
kenderaan-kenderaan lain di jalan raya.

Maka, kerajaan Barisan Nasional dengan kepimpinan PM Najib Razak telah merancang satu Pelan Pengangkutan Awam Nasional yang mampu mengatasi segala rintangan perjalanan rakyat bukan saja untuk penduduk di bandar tetapi juga untuk rakyat di seluruh pelusuk negara. Oleh itu tercetuslah perancangan untuk pengangkutan alternatif yang pasti menepati kemampuan rakyat iaitu membangunkan infrastruktur rel.

Di dalam perancangan Pelan Pengangkutan Awam Nasional ini, kerajaan telah memperluaskan pembinaan infrastruktur rel mengelilingi sekitar Lembah Kelang dan juga meliputi di kawasan-kawasan berhampirannya. Dengan terbinanya rangkaian Mass Rapid Transit (MRT) yang mampu menghubungi dari Sungai Buloh ke Kajang kemudian ke Putrajaya serta dipermudahkan lagi dengan perkhidmatan feeder seperti ETS dan KTM Komuter, masyarakat bukan saja dapat mengharpakan perjalanan yang saling berhubung malahan lebih menjimatkan masa dan kos perjalanan.

Malaysia bukan sebuah negara yang terpinggir dari arus pembangunan ekonomi dunia di mana setelah Republik China mengumumkan inisiatif ekonomi globalnya di dalam rancangan ‘One Belt One Road’, Malaysia bersedia untuk menyertainya. Inisiatif oleh kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia ini telah dimanfaatkan kerajaan Barisan Nasional apabila Republik China bersetuju bekerjasama dengan Malaysia di dalam projek ECRL yang mampu meluas dan
mempermudahkan perhubungan di sekitar Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Bagi rakyat di Selatan Semenanjung Malaysia pula, kerajaan telah mengumumkan satu perancangan yang boleh dikatakan menyamai standard pengangkutan dunia apabila projek High Speed Rail (HSR) KL-Singpura bakal dimulakan. Keretapi yang berkelajuan tinggi ini mampu membawa penumpangnya dari Kuala Lumpur ke Singapura dalam jangkamasa 90 minit sahaja.

Kesemua pelaburan pembinaan infrastruktur pengangkutan rel ini pasti akan menelan belanja yang sangat tinggi tetapi manfaat jangka panjangnya akan dinikmati rakyat akhirnya. Kini, dunia telah mengiktiraf usaha kerajaan Barisan Nasional apabila baru-baru ini satu laporan dari Forum Ekonomi Dunia (WEF), di dalam sektor pengangkutan, Malaysia berada di kedudukan ke-11 di antara 138 negara.

WEF memperakui yang rakyat Malaysia bukan sekadar menikmati kualiti infrastruktur pengangkutan rel bertaraf dunia malahan dengan kadar tambang yang tidak membebankan langsung. Dengan ini, Malaysia telah berjaya mengatasi kedudukan standard pengangkutannya berbanding negara-negara jiran lain seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Di dalam mengutamakan kepentingan rakyat, polisi kerajaan Barisan Nasional adalah inklusif yang pasti mengambil berat pembangunan di Sabah dan juga Sarawak. Oleh itu, pengiktirafan WEF juga melihat perancangan kerajaan yang melangkaui projek infrastruktur mega Lebuhraya Pan Borneo sebagai satu lagi faktor penting di dalam Indeks Pengangkutan.

Pembangunan pengangkutan awam bukanlah satu topik yang popular untuk dicanang di dalam kempen-kempen politik malahan terdapat usaha-usaha pembangkang dan media-media mereka yang kerap mempersoalkan perbelanjaan infrastruktur bertaraf dunia ini. Hanya kerajaan yang mengutamakan rakyatnya saja yang akan berani mengambil cabaran ini.

Dengan mengutamakan kepentingan masa depan rakyat yang mengatasi populariti politik, maka kepimpinan Barisan Nasional yakin yang rakyat akan terus melihat perancangan pengangkutan ini sebagai satu ‘game changer’ yang mampu dimanfaatkan dalam masa jangka panjang. Kita tidak hairan dengan pelbagai tuduhan dan juga kritikan di pihak pembangkang kerana suatu hari nanti, mereka juga akan bersama-sama memanfaatkannya.

Yang penting,Barisan Nasional hari ini telah memembuktikan yang mereka telah diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang berwawasan dan berpandangan jauh untuk dihargai rakyat.

Siapa taja pengangkutan udara mewah untuk Anwar?

Leave a Reply