Sampai Bila Perlu Dibiar Tidak Beretika?

Share

Menarik sungguh diperkatakan tentang kenyataan Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Mahdzir Khalid, yang mengingatkan kembali guru-guru di negara ini tentang Perintah Am kakitangan awam yang sebelum ini seolah langsung tidak dihiraukan.

Bukan saja profesion perguruan, Perintah Am tersebut sebenarnya merangkumi keseluruhan pegawai-pegawai awam lain di kementerian, jabatan dan agensi lain yang tertakluk pada peraturan tersebut. Apa mereka fikir Perintah Am itu hanya sekadar hiasan semata-mata?
Ada juga pemimpin politik pembangkang yang kononnya cuba menjadi ‘hero’, cuba membela salah laku dan pelanggaran etika perkhidmatan awam tersebut. Melucukan, mereka yang cuba jadi ‘hero’ itu rata-ratanya tidak tinggi pendidikannya dan hanya menggunakan logik akal sahaja.

Kata seorang Ahli Parlimen dari utara yang popular dengan sifat ‘harum manis’nya, menghentam kerajaan itu merupakan satu kaedah bagi guru meluahkan perasaan mereka. Kononnya jika dipendam, boleh sakit jiwa jadinya…


Jika dilihat pada latar belakang ahli politik yang derhaka parti itu, khabarnya SRP pun dia tidak lulus. Tapi dek kerana akalnya yang pandai buat lawak bodoh dan berjaya mempengaruhi mereka yang malas berfikir, maka bolehlah dia jadi ahli parlimen.

Suka penulis bertanya, sekiranya dia memiliki syarikat. Ada pula pekerja syarikatnya yang tidak berpuas hati padanya dan melepaskan geram dengan menghentam kepimpinan serta syarikat secara terbuka sehingga menjejaskan imej syarikat di mata umum, apa tindakan yang wajar diambil?
Katakanlah pekerja itu dipanggil mengadap dan diminta untuk tidak berbuat demikian, namun pekerja itu sebaliknya lebih kuat menghentam syarikat selepas itu, apa pula tindakan yang perlu diambil? Apakah wajar dibiarkan atau diambil tindakan disiplin oleh pengurus sumber manusia?

Di dalam perkhidmatan awam, sememangnya ia bukanlah sebuah syarikat. Amat jarang kita dengar penjawat awam dipecat melainkan terlalu melampau perbuatannya. Selalunya cuma diberi amaran, dipindahkan tempat bertugas atau tidak menerima kenaikan gaji atau pangkat.


Misalnya di zaman ‘diktator’ dulu, penjawat awam yang dikenal pasti tegar pembangkang atau tidak patuh pada perintah ‘diktator’, mereka kebiasaannnya ditukar ke kawasan pedalaman atau ‘disejukbekukan’ di jabatan paling ‘lembab’ dan menyusahkan.

Tapi guru-guru di negara ini, khabarnya ada yang sudah melampau dan melanggar Perintah Am. Itupun baru diminta beri surat tunjuk sebab saja. Bukan diberhentikan pun. Itu pun sudah ada yang melatah seolah-olah dipecat dari jawatan? Tapi kalau terbukti buat kesalahan besar dan dipecat sekalipun, apa masalahnya?

Cuba rujuk apa kata NUTP dan CUEPACS berkenaan isu ini. Ada mereka salahkan Mahdzir? Langsung tidak! Itulah komen mereka yang tahu tanggungjawab dan peraturan perkhidmatan awam. Berkawan baik dengan Mat Sabu belum tentu tahu apa erti etika penjawat awam!


Penulis menyarankan supaya mereka yang cuba membela penjawat awam yang melakukan kesalahan itu supaya balik belajar subjek perkhidmatan awam di Malaysia, etika penjawat awam dan seumpamanya. Fahami betu-betul apakah itu penjawat awam dan tanggungjawab mereka. Tahu betul-betul tentang ‘do & don’t’dalam sektor awam di negara ini.

Isu ini sebenarnya terlalu mudah difahami. Jika tidak mahu diambil tindakan, maka jangan langgar peraturan, pekeliling atau etika perkhidmatan awam. Jika tidak sanggup patuh lagi pada semua peraturan tersebut, berhenti kerja saja.

Takut hilang pendapatan selepas berhenti kerja? Ketahuilah bahawa rezeki itu di tangan Allah dan bukan di tangan Jabatan Perkhidmatan Awam. Itu tindakan normal dan wajar. Setelah tidak lagi bergelar penjawat awam, maka naiklah ke pentas mana sekalipun yang rasa sesuai.

Pada pandangan penulis, apa yang ditegaskan Mahdzir itu merupakan suatu yang tepat. Di zaman ini sudah makin ramai yang tidak peduli pada etika perkhidmatan awam. Jika tidak, takkanlah banyak surat, keputusan atau perancangan jabatan yang ‘bocor’ di media sosial, bukan?

Soalnya sampai bila hendak dibiarkan pesalah-pesalah dari kalangan kakitangan awam itu? Sampai bila mahu biarkan mereka tidak beretika? Sampai bila mahu ‘dipejam mata’ kesalahan mereka? Hingga tercemar profesion perkhidmatan awam?

Sila rujuk dan fahami surat ikrar penjawat awam ketika mula sertai sektor awam sebelum ‘luahkan perasaan’. Jika tidak, jangan marah kalau orang gelar mereka sebagai tidak beretika dan wajar dipecat segera. Titik.

Leave a Reply