DAP Berjaya ‘Jinak’ Parti ‘Kanyaq’, Tahniah…

Petang semalam difahamkan berlangsung mesyuarat ‘dewa-dewa’ Pakatan Harapan di bangunan Parlimen dan antara yang hadir adalah kepimpinan utama ‘cap bunga’ sebagai ‘teman sekatil’ baru gabungan pembangkang versi PRU ke-14.

Khabarnya beberapa perkara telah diputuskan, termasuk nama, logo dan manifesto. Logo dan manifesto difahamkan bakal dibuat baru, namun namanya dikekalkan sebagai Pakatan Harapan. Dengan keputusan itu, maka rasminya nama ‘Barisan Rakyat’ ditolak.

Bagi sesetengah pihak, nama hanyalah merupakan perkara kecil dan remeh. Namun bagi sebahagian pihak pula, nama mungkin merupakan antara elemen paling penting yang mewakili sesebuah pertubuhan.

Nama selalunya akan jadi sebutan. Sebagai contoh, Angkatan Perpaduan Ummah dan Pakatan Rakyat yang sebelum ini telah ditalkinkan. Walaupun ‘Barisan Rakyat’ dilihat lebih sedap dan mudah disebut, namun ia telah ‘dicantas’.

Jika tidak silap penulis, ‘cap bunga’ mahu gabungan pembangkang baru itu dinamakan sebagai ‘Barisan Rakyat’. Penulis tidak pasti siapa punya idea, namun nampaknya cadangan tersebut ditolak mentah-mentah oleh DAP, PKR dan PAN.

Apakah ‘Barisan Rakyat’ itu idea pengerusi ‘cap bunga’? Jika benar, tidak hairanlah dia seolah-olah kelihatan agak ‘kelat’ ketika ditemui media ketika itu. Mungkin cuba mengukir senyuman semanis mungkin, namun garis ‘kelat’ itu masih penulis dapat kesan. Cakap soal Melayu pun enggan?

Pada pandangan penulis, ‘kelat’ pengerusi ‘cap bunga’ mungkin wajar. Dia seorang ‘negarawan ulung’, perdana menteri paling lama berkuasa, ‘diktator’ dan ‘paling betul dalam dunia’, tergamak mereka menolak cadangan dari partinya?

Jika isu kecil seperti nama pun ditolak, apatah lagi tentang dasar-dasar gabungan, manifesto dan pembahagian kerusi nanti, bukan? Jangkaan penulis, jika umur panjang, mungkin kita akan berpeluang lagi melihat memek muka ‘kelat’ berkali-kali lagi selepas ini…

Lebih sinis, pengumuman nama tersebut hanya diberitahu oleh Mat Sabu, presiden paling junior dalam Pakatan Harapan. Jika ia diumum oleh Kit Siang, mungkin dia setaraf pengerusi ‘cap bunga’. Tapi Mat Sabu diberi penghormatan menidakkan ‘manusia paling betul dalam dunia’ itu?

Nampaknya, apa yang dikatakan oleh ‘superman DAP’ sebelum ini telah mula dilaksanakan. Warga emas itu telah mula ‘diperkuda’, ‘dikeldaikan’ oleh ‘de facto sebenar’ dalam gabungan pembangkang tersebut. Siapa paling dominan agaknya di antara DAP, PKR dan PAN agaknya?

Justeru itu, penulis ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada DAP kerana secara tidak langsung telah berjaya ‘mengawal’ dan mengekalkan ‘status quo’ meskipun cuba dicabar oleh ‘cap bunga’ sebelum ini.

Belum apa-apa lagi, nampaknya ‘cap bunga’ sudah ‘kowtow’ dan mungkin selepas ini agak mudah ‘dicucuk hidungnya bagi dimasukkan tali’. Mungkin agak ‘tua’ dan ‘liat’, namun jika PAS sebelum ini berjaya dijinakkan, inikan pula parti ‘kanyaq’ yang baru ditubukan, bukan?

Leave a Reply