Ahmad Bashah Pun Mereka Tidak Mampu, Inikan Pula PM…

Tidak dinafikan bahawa parti ‘cap bunga’ dilihat agak aktif turun padang di kawasan utara di semenanjung Malaysia, khususnya Kedah. Mungkin kerana negeri asal mereka, Pengerusi dan Timbalan Presiden dua beranak kerap dilihat berkempen di sana.

Namun sejak akhir-akhir ini, bagaikan tidak cukup dengan dua beranak tersebut, Penasihat DAP dan Timbalan Presiden PKR pun sanggup datang ke negeri berkenaan memperhebatkan dakyah politik mereka, menghasut rakyat Kedah.

Keadaan ini begitu melucukan hati penulis sebenarnya. Memang benarlah mereka meletakkan sasaran untuk menjajah Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, namun nampaknya begitu berhempas pulas di negeri itu.

Jika diperhatikan dari siri-siri ceramah propaganda mereka, boleh dikatakan semua hujah yang dikemukakan hanyalah merupakan isu-isu yang dikitar semula. Yang diulang-ulang hanyalah isu nasional yang sudah dijawab dengan fakta sahih.

Ada juga diselang seli dengan jenaka menghina pemimpin UMNO tertentu, khususnya Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. Menghina bagaikan ‘halal’ dan tidak berdosa bagi mereka.

Bila diceritakan dakyah-dakyah tidak benar, disulam dengan jenaka menghina pemimpin UMNO, maka ramailah pengikut tegar yang mereka bawa bertepuk tangan, ketawa berdekah-dekah. Padahal, penduduk tempatan mula muak dengan perangai buruk mereka…

Yang menghairankan, pemimpin yang menjaga Kedah itu selama ini dipandang rendah mereka. Ahmad Bashah diperlekeh kononnya hanya berkelulusan SRP, sedangkan kelulusan beliau tidaklah serendah itu (MCE, setaraf SPM).

Beliau dimomokkan dengan gelaran ‘mat lena’ dan sering dipersenda puak ‘cap bunga’. Imej beliau dihina di depan para penyokong bola sepak di dalam stadium negeri yang telah dipergunakan bagi tujuan politik.

Tapi, jika terlalu rendah tahap pendidikan Ahmad Bashah, dikatakan ‘lena’, tapi beliau telah berjaya membuat ‘negarawan ulung’ anak beranak, ‘de facto’ DAP dan ‘adik emas’ Anwar terpaksa berhempas pulas di negeri pimpinannya?

Puak Pakatan Harapan ini semua mendakwa hanya tidak mahu Najib. Kononnya mahu menjatuhkan Najib seorang saja, tapi kenapa mereka tidak berani turun padang dan ‘menyerang’ parlimen Pekan atau Pahang umumnya? Sebab mereka sedar mereka tak mampu ‘makan’ Najib?

Jika Ahmad Bashah tumbang sekali pun di Kedah, apakah ia akan memberi kesan kepada jawatan Najib sebagai Perdana Menteri jika beliau tetap menang di Pekan dan BN tetap membentuk kerajaan pusat selepas PRU ke-14?

Pada pandangan penulis, Ahmad Bashah yang mereka gelar ‘mat lena’ itu sudah cukup menggerunkan mereka. Kononnya mereka semua lulusan universiti ternama luar negara, tapi terkial-kial berdepan dengan lulusan MCE? Malulah…

Mungkin sebab ragu, untuk tewaskan Ahmad Bashah di Kedah pun mereka ‘tidak lepas’, apatah lagi mahu menakluk Pekan dan Pahang, bukan? Pada penulis, mereka hanya beromong kosong mahu jatuhkan Najib, realitinya jauh panggang dari api.

Pada hemat penulis, tindakan mereka itu juga menunjukkan bahawa mereka hanya mengejar kuasa untuk individu tertentu. Tidak mampu jadi Perdana Menteri, bagaikan ‘gila talak’, mereka dambakan jawatan Menteri Besar.

Namun jika Ahmad Bashah pun mereka tidak mampu kalahkan nanti pada PRU ke-14, maka eloklah kemas kain baju dan pindah saja ke Tanah Suci. Elok bersara politik terus dan bertaubat pada Allah. Itu lebih baik…

Leave a Reply