Batal Debat, Mahathir-Nazri Makan Cendol Di Kuala Kangsar · MYKMU.NET

Batal Debat, Mahathir-Nazri Makan Cendol Di Kuala Kangsar

Share

Setelah gagal untuk berdebat Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad akhirnya hanya menikmati cendol dan laksa di bawah sebuah pondok di kawasan perniagaan makanan Dataran Lembah di sini hari ini.

Mohammed Nazri yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO menikmati juadah tersebut bersama Mahathir setelah berjumpa di tepi dataran Sungai Perak di sini pada pukul 4.25 petang.

Polis sebelum ini menolak permohonan acara debat anjuran Kumpulan Media Karangkraf itu yang dijadualkan diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah.

Menurut perancangan awal acara berkenaan dilaporkan akan bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, Kati, Kuala Kangsar.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan sebelum ini berkata, permohonan berkenaan ditolak atas empat sebab iaitu lewat mengemukakan borang pemberitahuan sepertimana yang termaktub di bawah Seksyen 9(1) APA 2012 iaitu penganjur perlu membuat pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah 10 hari sebelum perhimpunan.

Terdahulu, Mohammed Nazri bersama kira-kira 50 orang penyokong menunggu Mahathir lebih tiga jam di pintu masuk MRSM Kuala Kangsar.

Menurut Nazri, beliau tetap hadir ke MRSM tersebut walaupun debat di antara beliau dan bekas perdana menteri itu yang sepatutnya berlangsung hari ini, tidak dapat diadakan kerana tidak mendapat permit polis.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika ditanya mengenai acara debat yang yang telah ditangguhkan sehingga 7 April ini berkata pihak penganjur masih belum memaklumkan mengenainya kepada pihak polis.

“Sudah tentu, (mereka perlu menghantar notis kepada polis),” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Polis ke-210 di Pulapol, Kuala Lumpur.

Beliau ditanya sama ada polis akan membenarkan debat itu yang telah ditangguhkan sehingga 7 April dan sekiranya ia menimbulkan kebimbangan mengenai isu keselamatan.

Leave a Reply