‘Adakala Baju Mereka Basah Kuyup, Untuk Jaga Keselamatan Saya’

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan penghargaan kepada kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya kepada semua anggota dan pegawai yang terlibat dalam memastikan keselamatan beliau.

Perdana Menteri melalui catatanya di Facebook sebentar tadi berkata selain mengorbankan masa dan waktu, anggota dan pegawai PDRM tersebut turut mempunyai masa yang terhad untuk bersama keluarga tersayang.

“Mereka ini, boleh dikatakan mula bekerja sebelum saya celik. Balik kerja, kadang-kadang anak-anak mereka pula dah tidur. Penat berdiri, berjaga, makan tak tentu masa, dan ada juga masanya basah kuyup pakaian mereka sebab disimbah hujan atau berjemur di bawah terik matahari.

“Inilah yang dilalui setiap hari oleh sebahagian anggota pasukan PDRM yang menjaga keselamatan saya. Pengorbanan mereka bukan setakat tenaga dan masa malah waktu bermesra dengan keluarga tersayang juga terhad.

“Semua ini supaya saya dapat menjalankan tugas sebagai PM dengan sebaiknya,” katanya memetik kenyataan di status tersebut.

Sempena peringatan Hari Polis ke-210 ini Najib turut menyeru agar warga PDRM terus memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakayt di negara ini.

“Zaman dahulu, kerjaya seperti guru dan polis disegani dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Kini, kadang kala kerana kesilapan segelintir kecil, yang lain dicemuh.

“Sebenarnya, sebilangan besar dalam kalangan anggota polis kita berkhidmat dengan penuh dedikasi, berhemah tinggi, dan bertanggungjawab. Sempena Hari Polis tahun ini, marilah kita terus mengeratkan kerjasama di antara pasukan polis dan komuniti.

“Saya ingin berpesan kepada semua warga PDRM: – pakailah lencana dan baju seragam anda dengan penuh bangga, dan berikanlah perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Lindungi dan bantu mereka; sebagaimana kita melindungi dan membantu keluarga dan kawan kita sendiri,” katanya lagi.

Leave a Reply