Pejabat Mufti Bidas Portal FMT, Malaysiakini Tidak Jujur Melaporkan Isu

Share

KUALA LUMPUR – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan membidas laporan berita yang dikeluarkan portal Free Malaysia Today dan Malaysiakini yang dikatakan bercanggah dengan kesimpulan yang ingin dinyatakan.

Pejabat Mufti melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook semalam berkata tajuk artikel yang dikeluarkan portal tersebut secara jelas memberikan sentiment negative kepada institusi fatwa.

“Jika hanya melihat tajuk tanpa membaca kandungan, pembaca jelas akan menafsirkan bahawa Mufti melarang perbuatan khalwat dalam teksi, Uber, serta GrabCar.


“Ia juga memberi sentimen negatif kepada institusi fatwa yang sering dikaitkan dengan hal-hal yang negatif walaupun ia adalah sebaliknya.

“Tanpa menafikan saranan berkenaan, kami berpandangan sekiranya pihak Malaysiakini jujur dalam memberi laporan, sewajarnya kesimpulan akhir kami yang mengharuskannya berserta dhawabit yang telah kami sebutkan, lebih wajar dijadikan tajuk utama,” ujarnya melalui kenyataan tersebut.

Melalui kenyataan tersebut, Pejabat Mufti turut menegaskan tajuk artikel berkenaan seakan mengejar ‘visitor hits’ itu bakal mengundang perasaan tidak senang pembaca Islam dan bukan Islam dengan isu yang ingin disampaikan.


“Ini juga mengundang komentar negatif yang boleh mencemarkan kredibiliti dan pendirian Pejabat Mufti yang konsisten membawa gagasan keterbukaan yang berlandaskan syarak serta keharmonian antara kaum dan agama.

“Sebagai contoh yang berkaitan, isu Uber dan UberEATS yang mana secara jelas Mufti Wilayah Persekutuan memberikan solusi yang meleraikan kekeliruan pemandu Uber dan UberEATS Muslim, tidak pula dijadikan laporan oleh Malaysiakini dan Free Malaysia Today,” katanya lagi.

Pejabat Mufti turut menasihati kedua portal pro pembangkang itu untuk lebih berhati-hati dalam memberikan laporan kerana kebanyakan laporan-laporan berita yang dikeluarkan sebelum ini, tidak mencerminkan sikap media yang jujur dalam melaporkan sesuatu isu.


Leave a Reply